SAJIAN PUISI ARISEL BA
Saturday, June 19, 2004
 
ANAK-ANAK SENJA DI REL KERETAPI
Puisi Arisel Ba

Tatkala aku membaca Aur Gading yang terpinggir
Dari gelombang kemajuan Putrajaya
Anak-anak senja dengan hidup miskin di sanggar
Redup anak mata mereka dan deras degup jantungnya.

Aku masih mampu melayani sebak di dada
Dalam mengikuti irama risauku sedang mereka
Telah nyali dengan rinduan yang berlipatan
Mereka masih gagah memijak duri-duri zaman
Pantas mengepung usia, mengepung lorong kehidupan
Sejak subuh tumpu malam belajar memeta angan

Di setiap episod murung ini tiada janji yang ditepati
Anak-anak senja di rel keretapi tidak menagih janji
Ada baucer tuisyen tersimpan masih di laci kerani sekolah
Ianya bukan dongengan yang lebih hebat dari cinta
Dan hanya ada tembang nyanyian Negaraku
Lebih merdu dari igauan hati merindu
Dan aku dengan rasa melulu tangkas kutantang
Segala pedih dan payah kemiskinan menikam ini
Dan bagaimana aku mulai membaca segala kisah
Mencekam resah, gelisah dan hati penuh dendam

Aku menyimpan cemburu, memenjara ilham puluhan puisi
Sedang di selasar rasa iluku, mencari status dengan angka
Sambil aku mulai mengusir waktu dan kisah masa silam
Dan anak-anak senja di rel keretapi di Aur Gading
kuajar dengan perlahan cerita siput diternak dalam hatiku
Tengah malam, lebat hujan, aku menulis puisi sempoyongan.

13 – 15 Mei 2004
Kg Aur Gading,
Kuala Lipis

SALAM SEJAHTERA, CIKGU
: Sempena Hari Guru 16 Mei 2004
Puisi Arisel Ba


Wahai sekalian guru dan pensyarahku
Selamat sejahtera, Selamat Hari Guru
Didiklah anak-anak didikmu dengan berhemah
Khabarkan berita benar, berilmu falsafah
Meriahkan dewan syarahan dan bilik darjah
Bukan menabur khabar angin dan menyuntik dendam amarah
Dengan propaganda janji bohong dan ilmu tolol beku
Demi agenda perusak dalam pembinaan bangsa bermaruah

Selamat sejahtera cikgu, Selamat Hari Guru
Mendidik bukan kerana akujanji atau gaji tinggi
Mendidik kerana Allah, tauladani Nabi Muhamad sebagai guru
Semoga jasa baktimu, cikgu. Menjadi seteguh tugu dihati kami


16 Mei 2004
Kuantan, Pahang



MELAYU MENJANA PRASANGKA
Sajen Arisel Ba

Bismillah-hir-rahman-nirrahhim
Manusia Melayu di alaf baru
Masih menjana prasangka tidak menentu
Ada prasangka yang lugu
Ada prasangka yang berhantu

Melayu beribadah diprasangka riak
Melayu relax diprasangka pemalas
Melayu pakai baju baru diprasangka menunjuk
Melayu pakai baju buruk diprasangka zuhud
Melayu makan banyak diprasangka pelahap
Melayu makan sedikit diprasangka diet
Melayu perangai baik diprasangka buruk
Melayu perangai buruk diprasangka baik

Melayu selalu senyum diprasangka mengejek
Melayu selalu wajah masam diprasangka merajuk
Melayu bermuzakarah diprasangka mengumpat
Melayu pendiam diprasangka menyendiri
Melayu wajah menawan diprasangka pakai susuk
Melayu nampak ceria diprasangka melawak

mana kita tahu Melayu yang pendiam itu
kerana berzikir kepada Allah setiap waktu
mana kita tahu Melayu yang senyum itu
kerana bersedekah kerana Allah setiap waktu
mana kita tahu Melayu berwajah masam itu
kerana mengenangkan banyak berdosa kepada Allah

mana kita tahu Melayu wajah menawan itu
kerana bersih hati dan mindanya demi Allah
mana kita tahu Melayu yang ceria itu
kerana cergas cerdasnya dengan izin Allah

Jauhi perangai suka berprasangka
kerana ia bakal memusnahkan ukhwah bangsa
seperti musnahnya kayu dibaham api menyala
percayalah, sesuatu benda yang dilihat,
macam-macam rumusan boleh kita buat.
semuanya bergantung bagaimana kita melihatnya
wallahu'alam.


9 April 2000
Taman Seni Budaya Pahang
Kuantan

Dibacakan di Program Baca Puisi Kuantan pada 9 April 2000.



LUPAKAN KISAH SILAM KITA
: Sempena Ultah Perkahwinan ke 29
Puisi Arisel Ba

Suara basah berbisik itu bercerita kisah silam kita
Yang telah jauh dari danau ingatan
Tapi masih terukir di pohon sena
Di mana sandiwara perkasihan kita
Berbau hamis oleh zaman
Menyusuri jejak berduri kita bersama
Di sebuah hutan tua dan buram. Lalu kita
Menatap sekujur tubuh tua renta
Dan sesosok tubuh itu adakah tubuh kita
Diukir telanjang penuh malu tanpa angan
Lalu kita belajar melupakan kisah silam kita

22 Mei 2004
Kuantan, Pahang




NIRMALA BONAT
: Disebalik Tragedi Penderaan
Puisi: Arisel Ba

Pembantu rumah itu namanya Nirmala Bonat
Dia sekian lama memelihara derita akibat dera
Menjinakkan sunyi dalam kepekatan mata hitamnya
Dari kemilau rambutnya, menetes darah derita keringat

Dia bagai menguburkan masa depannya
Namun cahaya mentari Malaysia amat ramah
Membelai halus wajahnya, tapi tidak derita tubuh
Tanpa ada dendam namun hatinya lembut dalam lara
Akan imbas seterika panas, cawan besi dan air mendidih

Pembantu rumah itu namanya Nirmala Bonat
Sedang belajar menyimpan dera sadis laknat

23 Mei 2004
Kuantan, Pahang


PinTAR PROFesoR KAWAKan…
Sajen Arisel Ba

Dia Profesor kawakan
Disegani kawan atau lawan
Pintarnya mampu menewaskan komputer
Sehingga dapat gelaran Profesor Teror

Dia setia amat dengan makmalnya
Dia tekun dengan pelbagai ujikaji bio-teknologi
Kerana terlalu tekun dan gigih berujikaji
Hari siang atau malam, dia lupa
Dia lupa solat dan mandi
Untuk minum dan makan, dia lupa

Sudah seminggu dia tidak pulang ke rumah
Membuat isterinya cemas dan hati susah
Lalu isterinya suatu petang menelefon kepadanya….
"abang.. ingat ya, malam ini, malam Jumaat
abang mesti pulang ke rumah untuk solat
saya akan sajikan makan malam yang lazat.
Jaga kesihatan", pesan isterinya

"Ya, baik.. baik! abang janji..
agaknya dimana, ya untuk kita ketemui
di mana lokasi makan malam nanti?"
soal Professor itu lagi.

"Di rumah saja, bang..
Macam takbiasa pulak, oii saying!".

"Baik lah.., “ jawab Profesor Kawakan
“ Tapi dimana tu? Ya, ya, malam?
Nanti, nanti saya catatkan
alamatnya dulu...". Diam.


29 Mei 2004
Kuantan, Pahang




MAT REMPIT
Sajen Arisel Ba

Bila jelang dinihari, ngauman bergumam
Di Jalan Bukit Setongkol – Indera Mahkota
Berubah wajah menjadi arena lumba
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Mat Rempit dan puluhan motosikal siap sedia

Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Sepanjang malam
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!

Mat Rempit bermotosikal kejar mengejar
Mat Rempit bermotosikal berlumba sakan
Minah Motor di tepi jalan jerit memekik
Melaung semangat jantan meredah udara malam
Jalan Bukit Setongkol – Indera Mahkota
Padat sekali dengan motosikal bernafsu syaitan
Bingit sekali ngauman motosikal kejar mengejar

Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Sepanjang malam
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!

Mat Rempit kata, siapa jadi juara
Hadiahnya Minah Motor remaja jelita
Boleh satu, boleh dua, boleh tiga!
Boleh ditiduri untuk seminggu
Boleh ditiduri berdua atau bergilir
Ditabal sebagai Raja Rempit juga seminggu

Suatu dinihari jalan itu aku lalui
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Suuuuuuuuuut! Duar! Duar! Duummmmm!
Empat Mat Rempit berlanggar sesama sendiri
Dan khabarnya semua Mat Rempit itu mati
Minah Motor segera mencari lain ganti
Mesti menang lumba baru Minah Motor di kepit
Brummm ke hulu breemmm ke hilir preet preet pit
Mundar-mandir aduhai Minah Motor dan Mat Rempit

Selepas peristewa berdarah itu
Jalan Bukit Setongkol – Indera mahkota
Bila dinihari menjadi sepi sunyi
Tapi hanya aman dalam tiga minggu
Selepas itu ngauman motosikal bergema lagi
Brummm ke hulu breemmm ke hilir preet preet pit
Mundar-mandir aduhai Minah Motor dan Mat Rempit

Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Sepanjang malam

22 – 31 Mei 2004
Kuantan, Pahang




SKETSA SANG PENYAIR ( 1 )
Puisi Arisel Ba

Isteriku adalah rumah batini dengan desah nafas mendalam cinta basah, sedang anak-anakku bagai ladang salak dan manggis di belakang dapur puisiku siap dipetik, bagaimana aku?, ah!, seorang penyair yang hanya tahu mengetuk papan kekunci, sesekali membelai tetikus, mata tua menatap monitor penuh setia dengan mengawal tarian aksara, tiba-tiba sebuah puisi telanjang terdampar di atas tilam hari.


30 Mei 2004
Kuantan, Pahang


SKETSA SANG PENYAIR ( 2 )
Puisi Arisel Ba

Hujung jejariku menari-nari di atas telapak papan kekunci sedang nafas puisi yang tumbuh berbunga bersama nafas kehidupanku, memasuki monitor dengan kepantasan bunyi, menjelajah ke seluruh cip-cip CPU, tiba-tiba puisi-puisi itu menzahirkan dirinya di atas telapak tangan isteriku yang lembut tatkala mengurut cakar harimau dan rayap labah-labah ke seluruh tubuhku.

5 Jun 2004
Kuantan, Pahang


SKETSA SANG PENYAIR ( 3 )
Puisi Arisel Ba

Isteriku adalah wadah pemurnian nafsuku, dialah permata intan keluarga, dialah cahaya firdausi syurgaku, dialah penampung duka dan ceria, dialah sebahagian keperkasaan kerjayaku. Manakala ibuku semasa hayatnya adalah tikar ketika aku bersimpuh merasa ilu dan luluh hati di telapak kakinya, doaku moga sirna segala duka hidup, pergi jauh segala luka tubuh, terhapus segala dosa terhadap Allah dan manusia, demi doamu, ibuku, hasratku damai kekal dalam keluargaku, bagai kau, ibuku tatkala menyusukan aku waktu kecil kuhirup aroma wangi syurga dari tetesan air susumu, di mana masih terasa hangat pelukanmu, ibu menyejukkan kalbuku, di mana lembutnya suara basahmu berdoa meruntuhkan ruh jahat dalam jiwaku. Dan aku, penyair yang memilih kata menjadi makna masih terkial-kial berfikir besar dan kaki melangkah masih terseok-seok melintas setiap lorong dan jalan melangkah kaki ke masa depan yang entah bagaimana sketsanya. Aku tidak tahu!

6 Jun 2004
Kuantan, Pahang


MALAM DI LEMBAH TEMBELING
Puisi Arisel Ba

Lembah Tembeling, aku mulai merakam dengus desah nafasmu dan aku mencuil Gol, Kuala Atok, Merting, Pasir Sia dan Pasir Tambang dengan berakit. Aku masih ingat Pantun Melayu: Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Kini aku cuba mengubah pantun itu: Berakit-rakit menghilir sungai, berenang-renang di Jeram Ampai, bersakit-sakit dipasak ekonomi, bersenang-senang cita politik tercapai. Dan aku bertilamkan pasir berkelambukan alam mahu sedayaku merengkuh langit mengecup bulan, memeluk sungai dan aku kuyup basah kerana gara-gara malam di Lembah Tembeling bila tuma, tungau, pacat, lintah, nyamuk, agas, kutubabi merayapi khemahku lalu menakluki seluruh tubuh, di mana kulit tubuhku menangiskan darah, itukah asmaramu.

Malam di Lembah Tembeling, musikalisasimu merdu sajakku menderu mendayu di mana getarnya mengembangkan kelopak kenanga menguning berahiku, anggun dan santun perawanmu, segeralah salami percintaanku. Malam di Lembah Tembeling, rimba binalmu mengisi makna sajakku lalu aku rangkumi engkau dalam basah mimpiku dan dalam teduh hasratku, aduhai Lembah Tembeling, terima kasih kerana menumpangkan aku selama enam hari Kembara Berakit Lembah Tembeling di mana engkau malam dan siangku, unggas, rimba dan sungaiku, putih dan hitam musafirku, mimpiku dan mimpimu masih jauh bedanya. Dan malam di Lembah Tembeling ini aku memaknakan sajakku dengan kekeringan pembangunan fizikal dan kerohanian, itukah belati dendammu.

12 – 17 Jun 2004
Lembah Tembeling, Jerantut.


12 – 17 Jun 2004
Lembah Tembeling, Jerantut.










Powered by Blogger