SAJIAN PUISI ARISEL BA
Wednesday, March 17, 2004
 
PENGUNDI MAJORITI SENYAP
: Kepada Pengundi Atas Pagar
Sajak Arisel Ba

Tatkala pengundi majoriti senyap, diam
Politikus dan Calon Pilihanraya tidak duduk diam
Kerana mereka tidak boleh diam
Jika terus melihat pengundi majoriti senyap, diam

Jika di suatu kawasan, ada dua calon dari dua partai
Mereka berlainan ideologi, bertanding, merayu undi
Pengundi majoriti senyap tidak boleh diam
Jika Politikus dan Calon Pilihanraya tidak duduk diam

Diam-diam Politikus dan Calon Pilihanraya, bosor berisi?
Diam-diam pengundi majoriti senyap, dendam atau pedar hati!

17 Mac 2004
Kuantan, Pahang


.


Sunday, March 14, 2004
 
PENGUNDI JUJUR DAN ADIL
Sajak Arisel Ba

Kempen pilihanraya sudah bermula
Sebaik saja calon-calon diwarta
Bendera, poster calon dan sepanduk menggoda
Bijak memilih wakil, gemilang masa depan negara
Dan pengundi didatangi perayu pelbagai rupa

Perayu Pertama:
" Pelikat dan batek untuk kamu dan isteri, ya!
Cuma pangkah calon ini di petak kedua! “

Perayu Kedua:
" Baju T, Topi, Kipas dan Payung percuma
Pangkah disebelah logo partai ini, ya! "

Perayu Ketiga:
" Hamper makanan percuma untukmu sekeluarga
Sokong partai kami, ya! "

Perayu Keempat:
" Ini ada sedikit wang belanja keluarga, ingat!
Pangkah nama calon kita, dia tokoh penyelamat! "

Setiba hari mengundi
Pagi lagi dia dan isteri dalam baris, berdiri
Kata suaminya, “ Jangan lupa pangkah semua
Kerana dua calon itu saudara kita belaka
Mesti kita berlaku jujur, adil dan sama merasa! “ *

14 Mac 2004
Kuantan, Pahang

* Aturan Pilihanraya Malaysia, jika memangkah di semua petak,
Undi itu dikira sebagai undi rusak





Powered by Blogger