SAJIAN PUISI ARISEL BA
Monday, February 16, 2004
 
GELIAT ORANG DESA 1*
Sajen Arisel Ba

Mak Minah dan Pak Mat ada tiga anak perempuan
Siti, Seri dan Suri diberi nama permata kesayangan
Suatu hari Mak Minah dan Pak Mat ambil keputusan
Tiga anak perempuannya mesti segera dikahwinkan

Lalu Siti, Seri dan Suri dikahwinkan serampak
Kenduri kahwin pun diadakan, meriah dan semarak
Selepas diijabkabul, ketiga-tiga anak berbulan madu
Berduka Mak Minah dan Pak Mat tertimpa hutang beribu
.
Siti melancung ke Pulau Langkawi, menjerat rasian
Seri pula ke Pulau Tioman mengecap kelazatan
Suri khabarnya ke Pulau Pangkor menenun angan
Tergiang suara Mak Minah dan Pak Mat berpesan

" Nanti jangan lupa hantar berita”, kata Mak Minah
“ Ceritakan indahnya honeymoon, “ Pak Mat mencelah
” Mesti hantar berita pada kami, “ sambung Mak Minah
“ Hantar SMS, tulis kod iklan, “ Pak Mat memerintah

Seminggu kemudian mereka terima SMS dari Siti
'Standard Chartered' mereka tersenyum membaca berkali-kali
Mak Minah dan Pak Mat segera mencari iklan
‘Besar, teguh dan peramah ‘ - bahagia Si Siti rupawan.

Esoknya terima pula SMS dari anaknya Seri
' Nescafe ' mereka tersenyum membaca berkali-kali
Mak Minah dan Pak Mat segera mencari iklan
‘ Nikmatnya ke titisan terakhir" - bahagia Si Seri rupawan

Tiga minggu kemudian mereka terima SMS dari Seri
' Cathay Pacific ' mereka tersenyum membaca berkali-kali
Mak Minah dan Pak Mat tiba-tiba bertangisan selap
‘ 7 KALI SEMINGGU, 3 JAM SEKALI, NON-STOP! ‘

16 Februari 2004
Kuantan, Pahang

Terima kasih Sdr Mahadi Atan (adie_mma@yahoo.com) kerana berikan idea ini.


Sunday, February 15, 2004
 
BUAH BIBIR FEBRUARI 2004
Puisi Arisel Ba

Februari 2004 gempita gamat
buah bibir rakyat jelata menjadi nyata
sesudah ribuan hari di warung kopi berdebat
isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa

Lalu dua jerung jelmaan algojo hitam
ditampilkan ke gedung pengadilan
seorang bermata sepet mengendung briefcase hitam
seorang lagi VVIP, segak dan tampan

Februari 2004 curiah menyerlah,
masih aku belum menemui betul atau salah
kerana aku seringkali tertipu agenda pemerintah

15 Februari 2004
Kuantan, Pahang




 
BUAH BIBIR JANUARI 2004
Puisi Arisel Ba


Januari 2004 kisah sedih, ilu dan aku terpejung
buah bibir rakyat jelata berkisah puluhan versi
sesudah ribuan hari di warung kopi mendongeng
isu perogol disebat di khalayak ramai atau dikasi

Lalu perogol-perogol berhati haiwan
ditampilkan ke gedung pengadilan
mereka bernafsu iblis bermata syaitan
anak perempuan bawah usia menjadi korban

Januari 2004 menjelma mimpi ngeri,
masih aku belum menemui formula sejati
kerana aku seringkali igaukan upas cemeti

15 Februari 2004
Kuantan, Pahang








Powered by Blogger