SAJIAN PUISI ARISEL BA
Friday, November 21, 2003
 
IDUL FITRI
Subari Ahmad @ Arisel Ba

Setelah tiga puluh siang berlapar pedih
Setelah tiga puluh malam bertarawih
Melewati lailatul-qadar redha bertasbih
Demi-Mu Rabbani Ya Allah
Ketika dahiku sujud di atas sajadah
Fajar Idul Fitri menjelma sudah
Mengutus suci hati takbir zikirullah

Melafaz doa bahagia diberkahi Allah maha pengampun
Salam di Idul Fitri ke seluruh rantau, penuh pengharapan
Maaf Bermaafan zahir batin selangit persahabatan

Aku tetap di sini
Aku tetap di sini
Sedang menciumi bau syurga firdausi
Demi-Mu Rabbani Ya Allah
Ketika dahiku sujud di atas sajadah
Cahaya Idul Fitri menjelma sudah
Mengutus suci hati takbir zikirullah

1 Syawal 1424





Sunday, November 16, 2003
 
SMS DARI MEKAH
: Sdr AhKarim
Puisi arisel ba

Kau menjelma dari Mekah membawa khabar: menyetubuhi Ramadan
lalu kau benamkan pada dadaku. Kaabah yang pernah kausinggah itu

betapa panjang aspal telah kita tinggalkan, aku gelisah
tidak pernah kita persoalkan. Kita telah menjadi manusia
membebaskan ritual perkasihan Muhamad s.a.w

SMS tidak lagi beralamat. Kita mengirimkannya selagi gelombang
bergetar di angkasa raya Malaysia – Mekah dengan segala rindu
sebelum kita sama-sama tiba di pengkalan hayat

kita sekadar mengulangi kenangan. Mesej SMS hanya menyimpan
kata dan aksara, gagal menjana akal kita untuk merakam
kehidupan: berpuisi dan beriteraksi di alam siber

kita tahu tidak akan bertemu satu titik tuju. Lalu akan aku simpan
SMS-mu dalam telefon gengamku, selalu aku bawa dalam saku bajuku.

16 November 2003
Kuantan, Pahang






















Powered by Blogger