SAJIAN PUISI ARISEL BA
Thursday, November 06, 2003
 
MENGEJAR RESTU-MU
Puisi Arisel Ba

Tatkala aku membaca al-Quran
Aku memasuki pintu Ramadan minggu ketiga
Rambulan meninggalkan sabitnya
Tergesa-gesa meniduri malam, dan

Aku mahu segera melipat waktu
Membaca selembar warkah rindu
Dikejauhan, gamitan lebaran semakin dekat
Apakah sempat aku membaca ayat demi ayat

Sesungguhnya tatkala aku berpuasa
Ada khabar gembira memasuki telinga
Sedemikian sayup beduk ditabuh di dadaku
Aku pun melipat hari dan mengejar restu-Mu

5 November 2003
Kuantan, Pahang

Monday, November 03, 2003
 
FIRE !, NOT PAYE? *)
Sajen Arisel Ba

Di Sungai Siput terjadi suatu kisah
Ketika zaman komunis lawan penjajah
Bila negara diistihar dharurat
Segala barang diperiksa disekat

Ada pada suatu hari
Mr. Thompson kapten bistari
Meronda lombong dan sungai
Mahu tangkap Chen Peng, Abdullah CD

Setiba di tepi sebuah lombong tinggal
Satu platun home guard terkial-kial
Mr Thompson nampak komunis berceratuk
Di tepi lombong mereka makan sambil duduk

Setelah platun home guard tiba mendekat
Mr Thompson memberi arahan singkat
FIRE!…….FIRE!…..FIRE!, BODOH!, HOME GUARD, FIRE!….
Tuan, mana ada paye, depan sana ada lombong tinge!

Bila terdengar suara, gerombolan komunis cabut lari
Mr Thompson merajuk dan amat susah hati
“Saya kata tadi, Fire, maksudnya TEMBAK!…..”
“Maaf, kami dengar tuan sebut Paye, depan sana lombong semak!…”


3 November 2003
Kuantan, Pahang

*) Cerita ini dikutip dari bapa saudara saya, Arwah Sarjan Mejar Haji Serbaini Jaafar, tugas terakhirnya di Balai Polis Slim River, Perak.


Powered by Blogger