SAJIAN PUISI ARISEL BA
Wednesday, October 15, 2003
 
SAJAK UNTUK NAKHODA
Puisi Kamar Arisel Ba

Nakhoda, mentari pagi dimataku.
Semalaman gerimis tumbuh disana.
Lalu kuhulur tangan kananku.
Kubelai angin semilir subuh.
Embun masih di hujung lalang.

Nakhoda, kaukah bersamba di dada maya.
Terlepas dari gemercing drum dan teriakan organ
Menjadi kuda liar dan menghambur.
Kau mahu pergi dan pasrah, Nakhoda! Tapi lupakan
kerana pergi dan pasrah bukan akhir sebuah perjuangan

Mutakhir ini kunampak kau menyorotkan tubuhmu.
Keluarlah dari gua pertapa dan Swing! Melangkah terus
Demikian bila gitar bass bergetar. Lalu kau mulai
samba di dalam maya. Aku pun bergelek. Bukan dangdut gerudi
Turun naik temponya cepat dan ria. Lambada!
Katamu. O, aku mahu berundur kerana terasa lelah.
Kau angin jantan,Nakhoda! Teruskan….

begitu aku membaca firasatmu.

15 Oktober 2003
Kuantan, Pahang

Tuesday, October 14, 2003
 
KARYA SIBER BUKAN KELAS DUA: ARISEL BA
( BICARA PENGARANG )
Terbit di BH, Khamis – 9 Oktober 2003


Arisel Ba atau nama sebenarnya Subari bin Ahmad tidak menoleh ke belakang sejak puisinya Gua Bama tersiar di Dewan Sastera pada 1976.. Selain puisi, beliau turut menulis cerpen, drama pentas, berita dan rencana. Kalau dulu sajaknya tersiar di Dewan Sastera, Berita Minggu dan RTM, kini karyanya tersebar melalui Internet. Ikuti wawancara IMLAN ADABI dengan pengarang ini.


Soalan

Arisel menulis puisi sejak 1976 dan kini terus bertahan. Apakah rahsia
stamina Sdr sedangkan ramai penulis generasi 70-an lain sudah lama bersara
daripada dunia sastera?

Saya masih aktif menulis dan tetap bertahan. Rahsia stamina itu tidak ada. Bagi saya, bila celik mata, selepas selesai solat dan berdoa, ilham datang menujah. Pada setiap masa saya mengandaikan diri saya melalui proses belajar. Cuma sejak tahun 1999 saya tidak lagi menghantar karya baik puisi atau cerpen ke media cetak kecuali jika ada rakan dari media cetak yang memintanya. Mungkin mulai 2004 saya akan mula menghantar semula karya saya ke media cetak. Dalam tempoh itu hingga kini, saya aktif menulis dan menyiarkan karya melalui medium internet.

Saya tertarik dengan cara Sdr deklamasi puisi. Dari mana Sdr mempelajari
asas sebagai antara deklamator yang baik?

Untuk mencapai tahap saya sekarang, saya perlu rajin belajar, menonton dan menghayati setiap deklamator mendeklamasikan puisi.. Saya juga terbabit sebagai panel penilai bagi Sayembara Puisi Kemerdekaan anjuran GAPENA sejak tahun 1987 dan berpengelaman lebih 10 tahun sebagai panel penilai. Saya mendeklamasi puisi menggunakan tenaga suara dari arah perut. Amalan ini saya dapat dari bengkel vokal dalam teater. Ramai mahaguru saya yang memberi didikan untuk berada ditahap sekarang. Misalnya Rendra, Hamid Djabar, Sutarji, A.Samad Said, A.Ghafar Ibrahim dan yang benar-benar mempengaruhi saya ialah Idris Tintin (Pekan Baru, Riau).

Saya sudah menganalisis beberapa e-mel Sdr yang penuh dramatik ketika
membaca puisi. Apakah usaha ini dibiayai sendiri atau mendapat bantuan
daripada mana-mana pihak?

Saya mendapat kerjasama rakan-rakan sekomuniti PENYAIR . Ia boleh dilayari di http://www2.communityZero.com/penyair . Sebenarnya jika kita akrab dengan internet, kuasa ada ditangan kita. Apa yang saya alami, golongan remaja yang berminat dengan internet manakala golongan veteran sastera hanya beberapa orang yang aktif seperti Zaharah Nawawi.

Arisel juga kerap menulis di alam siber khususnya di Indonesia. Apakah
tanggapan Sdr terhadap karya siber?

Saya berpendapat bahawa susastera di alam siber lebih demokratik. Saya menulis di situs-situs yang banyak diaplikasikan oleh rakan-rakan penulis di Indonesia antaranya situs cyebersastra, situs diskusi Yahoo seperti Puisikita dan Penyair yang cukup popular. Saya telah melayari melalui internet di lebih 40 situs sastera yang dipelopori oleh penulis dari Indonesia dengan kepelbagaian lamanweb. Saya dapati pelayar siber di Indonesia menerima karya-karya saya sama sebagaimana mereka menerima karya dari penulis Indonesia. Ini terbukti bila beberapa puisi saya berjaya dicetak bersama penulis Indonesia yang lain iaitu antologi puisi Graffiti Gratitude yang dicetak pada tahun 2001. Khabarnya antologi kedua sedang dicetak dan karya saya digabung bersama. Di alam siber genre puisi akrab dengan nama-nama seperti Nanang Suryadi, Medy Loekito, Yono Wardito, Sutarji, Hamid Djabar, Eka Budianta, Ikranagara, Afrizal Malna, Acep Zam Zam Noor, Saut Sitomorang, Cunong Nunuk Suraya, dan ramai lagi. Karya di alam siber tak kalah kualitinya dari karya di media cetak. Kesannya sama terhadap pembaca dan khalayak. Cuma membedakannya adalah mediumnya.

Ada juga tanggapan yang mengatakan karya sastera di Internet kurang
bermutu kerana pemilihan karya dilakukan oleh penulis sendiri. Apakah wajar
karya siber dianggap kelas dua?

Tidak benar. Realitinya, banyak yang bermutu walaupun karya itu terbit di internet. Di media cetak sekalipun, kita tetap bertemu dengan karya-karya yang dangkal, yang meloyakan. Dalam internet, karya susastera memang ditulis oleh mereka yang baru hendak belajar menulis hingga kepada penulis tersohor. Bagi saya, walau lebih banyak sampah sastera, tetapi ada juga karya bermutiara. Karya sastera di internet mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan karya di media cetak. Kebanyakan karya yang diterbitkan dalam puluhan situs di Indonesia melalui proses penapisan.

Di Pahang, wujud beberapa penulis yang berbakat besar seperti Marsli NO,
Daeng Ramliakil, Arifin Said, Ami Masra dan beberapa lagi. Namun kita ragu
kerana generasi barunya kurang mantap. Apakah mungkin berlaku kekosongan
dalam pengisian pengkaryaan suatu hari nanti?

Rakan seperjuangan saya seperti Aripin Said, Ami Masra, Rahman Haji Yusof, Yaakub Isa, Badaruddin MZ, Daeng Ramliakil, Marsli NO dan sederet nama lagi perlukan pelapis. Semasa saya menjawat jawatan Setiausaha Agung DPMP dari 1983 hingga 1993, memang saya mengatur strategi melahirkan seramai mungkin penulis pelapis melalui bengkel, seminar, kursus dan sebagainya. Dalam tempoh itu ramai bakat-bakat baru muncul tertapi mereka gagal bertahan. Ada yang bertahanpun, sukar bersaing dengan rakan penulis dari luar Pahang. Saya hairan DPMP mutakhir ini semacam gagal melahirkan penulis pelapis manakala Kerajaan Pahang hingga sekarang gagal menobatkan seorang Tokoh Sastera Negeri. Tokoh Budaya Negeri hanya sempat menobatkan Datuk Haji Zakaria Hitam atau Pak Zek. Bakat untuk menjadi penulis ramai, tetapi mereka tidak digilap oleh mentor yang berwibawa. Saya yakin pasti Pahang akan mengelami proses pemandulan dalam melahirkan penulis berwibawa selepas era kegemilangan Daeng Ramliakil dan Marsli NO berakhir.

Pada usia 50-an sdr masih belajar di Universiti Putra Malaysia. Apakah
pembelajaran itu tidak mengganggu tugas Sdr sebagai ayah, penyair, suami
sekali gus seniman berbakat?

Menimba ilmu bagi saya tidak ada garis penamat. Pembelajaran bagi saya tidak pernah mengganggu tugas saya sebagai ayah kepada tujuh anak dan suami. Selagi ide mengalir, saya setia menumpahkan setiap ide dalam bentuk tulisan yang akan berwajah puisi, cerpen, artikel atau apa saja yang bentuknya penulisan. Sebagai kakitangan Kerajaan, saya terbabit dalam memantau lebih 600 kampung di Pahang dengan lebih 7,000 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan mengembling usaha memajukan setiap kampong. Saya dari segelintir kumpulan kolar biru yang meminati susastera, dan saya amat percaya susastera hingga saat ini tidak mengecewakan gaya hidup saya, malah mampu menjernihkan permasalahan.Walaupun usia saya menjejak setengah abad, itu bukan garis penamat untuk saya bersara daripada dunia penulisan. Biarpun saya belajar dalam bidang non-susastera (kejuruteraan elektrikal dan mekanikal; komunikasi), pembelajaran yang saya alami boleh menjadi penataran untuk saya terus menjiwai susastera. Insya’allah.

Hari ini banyak badan penulis wujud. Apakah perlu ia dikelompokkan pada
usia tertentu atau untuk kaum tertentu saja?

Bagi saya, persatuan penulis baik yang bernaung di bawah GAPENA mahupun di luar sangkar GAPENA amat perlu wujud. Persatuan mampu menjana generasi muda untuk berkemahiran menulis baik susastera mahupun non-susastera. Dalam dekad mendatang, persatuan penulis bukan saja sebagai wadah pembinaan dan penataran susastera, tetapi amat wajar persatuan bertindak lebih profesional dalam menjaga kebajikan penulis. Ini penting kerana sekarang saya melihat bahawa soal kebajikan penulis sekadar omong-omong kosong dan gagal menjadi pelindung kepada sebahagian besar penulis di Negara ini. GAPENA sendiri masih mengejar bayang-bayang Melayu dengan menjejak ke seluruh ceruk rantau dunia, tetapi kebajikan penulis di Negara ini masih terabai. Isu tidak ramai warga yang minat membaca karya susastera dibiarkan menjadi isu yang gagal menggapai jalan penyelesaian. Saya tahu GAPENA sudah kaya, untuk apa kaya jika gagal berbakti kepada penulis.

Ends.



Powered by Blogger