SAJIAN PUISI ARISEL BA
Sunday, August 10, 2003
 
Sang Lelaki Berlidah Api
: Syafiqmuslim
Puisi karya Arisel Ba

mana gunung angkuh yang tinggi
pasti dijerkah azan solat ke seluruh cakrawala diri
sedang rahsia diri masih menjadi misteri
dan sang lelaki berlidah api
melayari jiwanya mencari nur Ilahi
malang sekali, diperlembahan tinggal novella rindu
berdesir dalam angin mencumbu
jejarinya mencumbui jari hari
lalu sesat dalam angkasa ragu

10 Ogos 2003
Kuantan, Pahang
HILANG SUARA GEMA MERDEKA
: pasca-merdeka 46 tahun
arisel ba

jika hari ini muka depan akhbar tanahair
menulis tentang kematian kemerdekaan suaraku
begitu banyak oknum sinis berkomentar
bahawa aku telah kehilangan suara gema merdeka
suara seorang pejuang kemanusiaan telah membisu

apakah seluruh warga akan berdukacita
televisyen mulai berlumba menayangkan riwayatku
atau ada upacara pengibaran bendera setengah tiang
penghormatan diberikan buat terakhir kali, oh sayang
kerana aku kononnya mengharumkan nama bangsa
apakah akan tercatat ketika Melayu disorot jenama
Melayu mudah lupa tidak menghargai hak asasi manusia

tiba-tiba selepas pasca-merdeka 46 tahun
tampil seorang aku dengan puisi di tangan
membaca setiap kata mentransformasikan gerak
dan tindakan sadis puisiku menggetarkan khalayak
apakah nanti seluruh bangsa ini sanggup tegak
menghadapi hujan kritik atas berbagai isu kemanusiaan.

apa pun, puisiku tidak pernah dibisukan
cuma puisi ini mungkin angkuh berbisik,
sekalipun akan membentur jika memekik
akankah banyak dinding dalam ruang gema
retak, pecah dan rontok mencair makna
ketika aku sangat percaya pada puisi,
suara tidak akan kehilangan jejak
biarpun gemanya mungkin mendap berselerak
jauh ke dalam nurani yang seringkali tinggal hampa.

Benarkah?
Realiti pasca-merdeka 46 tahun mewajah

10 Ogos 2003
Kuantan, Pahang



Powered by Blogger