SAJIAN PUISI ARISEL BA
Monday, August 04, 2003
 
PUISI EFEKTIF BERKOMUNIKASI
MELALUI AKTIVITI DEKLAMASI PUISI

Oleh: Arisel Ba

Perkataan susastera itu memberi makna kepada kita sebagai, kesusasteraan, seni yang menggambarkan keindahan dengan bahasa ( novel, cerpen atau puisi), pengetahuan dalam hal sastera atau karya-karya yang tergolong dalam seni sastera. Dan bagi golongan remaja, penghayatan susastera yang mereka berminat hanya tertumpu kepada novel dan cerpen dan sedikit sekali yang meminati puisi, apatah untuk menulis atau membaca
puisi.

Justeru itu, melalui bimbingan ini, golongan remaja dibawakan satu pendekatan komunikasi interpersonal dan komunikasi massa untuk menjana minda mereka supaya terpikat dengan genre puisi dalam perkembangan susastera Malaysia. Semoga setiap puisi yang dideklamasikan itu lebih tajam menusuk, efektif dan komunikatif.

Nantinya, dalam menjawab persoalan, 'Bagaimana Memikat Remaja Menghargai Susastera', pembaca remaja dapat mengikutinya dalam huraian langgam bahasa yang mudah, terutama dalam teknik Seni Deklamasi Puisi. Mengapa negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, British, Perancis pada setiap tahun memperuntukkan sejumlah wang yang banyak bagi mengadakan Hadiah Sastera bagi para sasterawannya?

Di negara kita, Malaysia ada bermacam pengistirafan daripada Kerajaan seperti Hadiah Sastera Malaysia, Anugerah Pejuang Sastera dan Anugerah Sasterawan Negara.

Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) ada menganjurkan Hadiah Cerpen Esso-Gapena, Hadiah Drama Esso-Gapena, Hadiah Puisi dan lain-lain ke arah menggalak rakyat meminati susastera.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sendiri ada menyediakan pelbagai hadiah dalam rangka menghargai susastera, misalnya Sayembara Novel Remaja, Sayembara Novel Kanak-Kanak, Sayembara Novel Abad 21 dan lain-lain yang diadakan secara berkala.

Utusan Melayu selain menyediakan Hadiah Sako untuk novel, terdapat juga Hadiah Sastera Public Bank-Utusan saban tahun.

Hadiah-hadiah yang disediakan itu bukan sahaja menghargai para sasterawan, malah ianya menghargai susastera itu sendiri supaya berkembang bersama budaya bangsa Malaysia dalam sebuah negara, Malaysia yang sedang menuju taraf 'negara maju' menjelang tahun 2020..

Di negara Sweden, Akademi Sweden setiap tahun memberikan Hadiah Novel bagi Kesusasteraan di samping Hadiah Novel untuk Kedoktoran, Kimia, Fizik.

Kita bertanya lagi. Mengapa susastera dihargai sama tinggi dengan ilmu-ilmu pengetahuan yang lain? Ilmu kedoktoran, kimia dan fizik memberikan jasa murni kepada manusia untuk kesembuhan daripada penyakit di samping memberikan kemudahan
bagi manusia, agar manusia hidup lebih enak dan bahagia.

Kalau ilmu-ilmu pengetahuan itu memberikan kebahagiaan kepada manusia dalam bidang jasmani, yakni kesihatan tubuh manusia, maka susastera memberikan kebahagiaan bersifat rohani kepada tubuh manusia.

Susastera memberikan kebahagiaan, kesenangan pada manusia. Setiap orang menjadi senang dan bahagia selama membaca karya susastera. Setiap orang lebih mengerti kepada manusia lain di mana pun di dunia ini.

Pembaca dan pendengar karya susastera lebih mengerti akan kesulitan orang lain, penderitaan orang lain, keinginan orang lain, watak orang lain, sehingga pembaca dan pendengar lebih luas pengetahuannya mengenai manusia lain.

Untuk apa? Agar manusia dapat berkomunikasi dan saling mengerti satu sama lain. Kalau manusia sudah berkomunikasi dan saling mengerti pasti tidak akan terjadi pertengkaran, permusuhan, dan saling membinasakan. Kalau manusia saling mengerti antara satu sama lain, akan terjadi saling kasih mengasihi antara manusia. Akan terbentuk hidup yang damai antara manusia. Inilah sebabnya Hadiah Novel juga memberikan hadiah yang sama bagi orang yang gigih memperjuangkan perdamaian dunia.

Jelaslah, bahawa susastera berharga kerana susastera berguna bagi manusia. Bahasa adalah instrumen berkomunikasi kepada susastera. Dan bahasa sesuatu bangsa itu milik peribadi rakyatnya. Dengan bahasa, kita mampu berfikir. Dengan bahasa kita mampu melahirkan perasaan dan berkomunikasi serta berinteraksi antara seorang dengan seorang yang lain.

Oleh itu dalam proses menghargai susastera, kita wajar menjana minda kita untuk berjinak-jinak dengan puisi, kerana puisi bukan sekadar bahasa, puisi adalah perasaan, pemikiran, panorama budaya dan memartabatkan tamadun sesuatu bangsa yang relatifnya komunikatif.

BAGAIMANA REMAJA MENDEKLAMASI KARYA SUSASTERA

Bagi pengetahuan remaja, karya susastera yang tertua adalah susastera lisan kerana komunikasi bahasa bermula dengan bahasa lisan, sedangkan susastera adalah salah satu fungsi bahasa.

Bahasa dan susastera lisan telah lama merakam seluruh aspek kehidupan manusia. Segala bentuk kebudayaan dirakam dengan bahasa dan susastera lisan, segala bentuk filsafat, agama, ilmu pengetahuan dan lain-lain diturunkan dengan menggunakan bahasa lisan.
Bahasa dan susastera bertulis datang kemudian setelah peradaban manusia semakin maju dengan ditemukannya huruf-huruf, mesin tulis, mesin cetak dan komputer yang mampu
memenuhi agenda domestik dan jaringan antarabangsa.

Dan kini dengan kecanggihan komunikasi media elektronik, karya susastera telah berada ditahap yang tinggi dalam masyarakat dan tersebar begitu luas dan pantas sekali terutama melalui radio, TV dan komputer.

Dengan susastera lisan manusia purba atau nenek moyang kita mengekspresikan gejolak jiwa dan renungannya tentang hidup dan kehidupan. Emosi cinta kasih diekspresikan melalui puisi-puisi sentimental.

Binatang buas dijinakkannya dengan mantera dan jampi serapah. Asal usul nama daerah, hukum adat, dan bermacam-macam kearifan disampaikan lewat berbagai mitos, lagenda, riwayat, kisah dan lain-lain.

Melalui permainan rakyat dipersembahkan tragedi dan komedi. Tidak hanya itu. Nyanyian-nyanyian lagu rakyat digunakan untuk dekatkan diri dan menyatu dengan alam dan masyarakatnya. Inilah komunikasi pada era silam masyarakat kita.

Pendek kata susastera lisan telah memainkan peranan yang amat penting sebelum ada susastera tulisan dalam mengukuhkan martabat dan tamadun sesuatu bangsa. Disamping fungsinya yang banyak, susastera lisan juga mampu mengukuhkan solidariti; merapatkan hubungan kekeluargaan, menyegarkan pemikiran dan perasaan.

Nenek moyang manusia akan berkumpul untuk mendengarkan seorang pedendang atau pelagu menyanyikan lagu-lagu rakyat, baik terdiri daripada pantun seloka atau syair, menyampaikan secara berdikir atau bercerita mengenai kisah tentang renungan kehidupan yang mereka akrab sehari-hari.

Kelelahan bekerja di sawah ladang mereka tawari dengan bercerita, bernyanyi dan bersajak. Kegiatan kumpul berkumpul seperti itu menjadikan mereka akrab dan saling mengenal sehingga hubungan kekeluargaan terbina komunikasi interpersonal dengan baik.

Sesuai dengan namanya, susastera lisan, tentunya ia dilisankan baik dengan suara yang nyaring ataupun secara suara yang perlahan. Seorang atau sekelompok orang menyampaikan hasil karyanya sementara sekelompok lain mendengar dan menikmatinya.

Tradisi deklamasi karya susastera, terutama puisi dan dideklamasikan untuk orang lain, memang suatu tradisi yang amat panjang. Hal ini membuktikan bahawa 'deklamasi karya
susastera' memang ada peranan yang penting dalam seni susastera.

Walaupun zaman yang serba canggih ini susastera telah ditulis, susastera tulisan, namun masyarakat tetap berkeinginan dan bahkan menyenangi pendeklamasian susastera
secara lisan.

Ini menunjukkan, walaupun tidak sepenuhnya benar, pada dasarnya karya susastera adalah untuk dibacakan, divokalisasi, dan ditampilkan yang dirumus sebagai deklamasi.

Kecenderungan sekarang, orang lebih senang mendengarkan pendeklamasian karya susastera bila dibandingkan dengan membaca sendiri karya berkenaan terutama puisi. Rasanya lebih mudah mereka menangkap pesan karya susastera yang dibacakan
itu daripada mereka membaca dan memahaminya sendiri.

Keghairahan bersusastera sepatutnya mendapat sambutan dan dukungan yang baik dari semua pihak terutama golongan remaja yang akan mewarisi peradaban budaya di negara ini dan sepantasnya pula usaha-usaha ini akan membesarkan hati kita.

Disamping hal itu sebuah seni, seni persembahan, ia juga mampu menangkal pendangkalan dan penipisan nilai-nilai kehidupan. Maknanya, dengan bersusastera, manusia dapat menambah mutu kehidupannya.

Bahkan ada yang mengatakan bahawa orang yang tidak suka dengan karya susastera sebahagian menunjukkan orang itu kurang kemanusiaannya. Kenapa? Kerana karya susastera adalah salah satu instrumen, iaitu jalan keempat menuju kebenaran
disamping agama, filsafat dan ilmu pengetahuan.

Kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi yang semakin canggih, resesi ekonomi yang semakin menghantu, penipisan harkat dan martabat kemanusiaan yang terus mencabar dalam era liberalisasi dan globalisasi telah membuat kehidupan semakin sepi. Dan Penghayatan Susastera sedapat mungkin cuba membina kemanusiaan yang murni dalam melengkapi hala tuju Wawasan 2020.

REMAJA DAN AKTIVITI DEKLAMASI PUISI

Aktiviti mendeklamasi puisi adalah satu aktiviti melafazkan puisi sama ada dengan cara bersahaja ataupun dengan penuh perasaan dan apabila sesuai diiringi dengan gerak laku.
Pendeklamasian puisi boleh dilakukan di hadapan kumpulan audien atau tanpa audien atau hanya mendengar melalui corong radio atau menonton di kaca TV atau monitor komputer multi-media.

Ketika era komunikasi dan teknologi maklumat meledak di Malaysia, komputer dilihat dapat diberi tugas sebagai penjana dan pengembang deklamasi puisi di alam siber secara maya melalui internet.

Misalnya jika anda mahu lebih efektif untuk menghasilkan satu deklamasi puisi yang unggul, anda perlu memiliki sebuah komputer, sebuah alat perakam digital dan perisian-perisian tertentu yang boleh memproses suara anda.

Anda perlu mendeklamasikan puisi yang anda minati dan dirakam menggunakan alat perakam digital. Kemudian fail suara anda itu dipindahkan menggunakan perisian pemindahan suara ke dalam komputer anda. Jika fail untuk suara deklamasi puisi anda itu dari jenis (wav) ianya perlu diconvert kepada fail (wma) dengan menggunakan perisian audio converter. Selepas itu anda boleh pindahkan fail itu ke mana-mana situs yang ada pelayanan audio dan anda boleh menikmati suara deklamasi anda melalui internet. Anda akan menjadi deklamator yang hebat dan suara deklamasi puisi anda itu dapat didengar di seluruh dunia apabila mereka melayari situs-situs berkenaan.

Melafazkan sesebuah puisi berasaskan kepada alunan suara sama ada tinggi atau rendah direntak-iramakan bagi memberi kefahaman dan membantu dalam penghayatan isi dan mesej sesebuah puisi.

Pada lazimnya pendeklamasian puisi yang baik perlu menguasai bahasa, memahami maksud dan menghayati mesej puisi, agar ianya benar-benar boleh mnyampaikan segala maksud dan perasaan yang terkandung dalam sesebuah puisi.

Dengan itu akan wujudkan satu kesatuan kefahaman dan penghayatan puisi antara penyair, deklamator dan audien yang cukup menarik, indah dan berwibawa. Tidak dinafikan lagi bahawa deklamasi puisi sudah menjadi aktiviti merakyat di negara kita. Tidak hanya di kota, di desa juga telah banyak diselenggarakan pendeklamasian puisi.

Hampir disetiap acara pertunjukkan kesenian di negara kita pasti akan ditampilkan deklamasi puisi. Misalnya Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan diadakan sejak tahun 1986. Baik ianya majlis perpisahan, majlis perlantikan, majlis peringatan dan lain-lain diselitkan deklamasi puisi.

Deklamasi puisi tidak sekadar selingan, malah telah dijadikan acara utama di majlis-majlis rasmi. Deklamasi puisi telah disayembarakan diperingkat sekolah-sekolah, kelab-kelab belia, persatuan-persatuan dengan menyediakan hadiah-hadiah menarik dan piala-piala serta tropi-tropi untuk diperebutkan.

Perkembangan aktiviti deklamasi puisi di negara ini amat pesat sekali. Minat dan bakat terutama golongan remaja mendeklamasikan puisi sebenarnya boleh dimulai sewaktu merka di bangku sekolah lagi.

Remaja di peringkat sekolah menengah rendah, iaitu bagi mereka yang belajar dalam tingkatan satu, dua dan tiga adalah tahap yang paling sesuai dan melahirkan kesan merakyat dalam pendeklamasian puisi. Bunyi dan rentak puisi serta gubahan isi dan mesej dengan jalinan bahasa yang indah adalah daya penarik yang berwibawa kepada mereka diperingkat awal remaja.

Disamping itu mereka telah mula mengenali bentuk-bentuk puisi melalui komponen puisi dalam program pembelajaran dalam bilik darjah dan melalui aktiviti kokurikulum Persatuan Bahasa Malaysia.Pada keseluruhannya, puisi adalah bentuk susastera yang
mengandungi unsur-unsur rentak irama dan nada yang digubah dengan ragam dan gaya bahasa yang indah, memang digemari oleh golongan remaja.

Akhir kata, ingatlah ada empat teknik untuk mendeklamasi puisi yang mudah iaitu menghafaz dan melafaz, melafaz dengan pergerakan, deklamasi cara paduan suara dan mendramatisasikan puisi.

ASAS MENDEKLAMASI PUISI

Pertanyaan yang sering diajukan oleh golongan remaja yang ingin dan sedang belajar mendeklamasi puisi adalah, "Bagaimana cara mendeklamasi puisi dengan baik?"
Pertanyaan ini sukar sekali untuk dijawab dengan satu rumusan kerana memang tidak ada rumusan paling tepat yang dapat menjawab pertanyaan itu.

Kalaupun dibuat rumusannya pastilah tidak akan pernah sempurna dan usaha membuat rumusan tersebut akan menjadi sia-sia sahaja. Kenapa? Kerana mendeklamasi puisi terdapat banyak aspek yang sifatnya yang amat peribadi.

Setiap orang mempunyai cara tersendiri dalam mendeklamasikan puisi. Apabila seseorang meniru cara orang lain mendeklamasi puisi maka orang tersebut telah meninggalkan keperibadiannya atau jatidirinya dan ia telah menampilkan orang lain yang keperibadiannya berbeda dengan dirinya sendiri.

Pada hal ia tidak akan pernah mampu menampilkan keperibadian orang lain pada dirinya dengan sempurna. Dan keadaan ini memerlukan latihan olah suara atau sesi latihan vokal yang keras dan penghayatan yang unggul.

Oleh sebab itu seorang yang akan mendeklamasi puisi, pertama sekali harus mampu menjadi dirinya dan mengenal keperibadiannya sendiri. Ia mesti berusaha untuk tampil
sepenuhnya sesuai dengan keperibadiannya.

Pancaran peribadi itu amat penting dalam persembahan baik secara sendirian mahupun kelompok. Orang yang meniru-niru itu besar kemungkinan tidak mampu berkosentrasi. Ia akan kehilangan keperibadiannya kerana ia selalu mengingat-ingat dan membayangkan bagaimana idolanya menampilkan diri.

Kehilangan kosentrasi dalam mendeklamasi puisi di depan umum bermakna telah kehilangan segala-galanya, termasuk kehilangan puisi itu sendiri kerana pada hakikatnya puisi adalah proses kosentrasi dan intensifikasi, proses pemusatan dan pendalaman. Proses demi proses. Proses demi proses.

Mendeklamasi puisi adalah keupayaan menyampaikan isi, perasaan dan fikiran yang terkandung dalam puisi itu kepada orang lain agar mereka memahami dan sanggup menikmati isi kandungan makna puisi tersebut.

Di samping itu deklamasi puisi juga merupakan keupayaan menggugah rasa seni dan mengelitik rasa indah para pendengar. Dengan demikian akan jelas sasaran yang hendak dicapai dalam mendeklamasikan puisi agar para pendengar dapat memahami dan
menikmati puisi tersebut dan untuk menyentuh kepekaan estetisnya.

Apabila hal ini tidak tercapai bermakna pendeklamasian puisi tidak akan mengenai sasarannya, maknanya pendeklamasian puisi tersebut telah hambar dan gagal.
Tentu dapat dinyatakan akan keberatan bahawa setiap orang berbeda kepekaan estetisnya kerana rasa estetik itu sendiri bersifat subjektif; indah bagi seseorang belum tentu indah
bagi orang lain; nikmat bagi seseorang belum tentu nikmat bagi orang lain. Rambut sama hitam, hati lain-lain. Tidur sebantal, apakala bermimpi, mimpi yang berlainan.

Walaupun keindahan itu bersifat subjektif namun pasti ada benang merah komunikatif yang menghubungkan seseorang dengan orang lain. Bagaimanapun berbedanya kepekaan seseorang dengan orang lain, namun apabila deklamator puisi mampu mendeklamasi dengan baik sesuai dengan perasaan dan fikiran yang ada dalam puisi maka
semua perbedaan kepekaan itu dapat dihilangkan dan mereka akan tersentuh juga. Oleh itu keberhasilan pendeklamasian puisi amat tergantung kepada kemampuan deklamator itu sendiri.

Untuk dapat mendeklamasi puisi dengan baik seorang deklamator puisi harus telah memahami puisi yang akan dideklamasikan itu dan menguasai beberapa masalah
asas pendeklamasian puisi.

REMAJA DAN NIKMAT DEKLAMASI PUISI

Sebelum deklamator puisi memperdengarkan pendeklamasian puisinya di depan umum ia mesti terlebih dahulu memahami puisi yang akan dibacakan tersebut sehingga dapat
diekspresikannya dengan baik dan tepat sewaktu mendeklamasikannya.

Hal-hal yang akan dapat membantu untuk memahami sebuah puisi adalah sebagai berikut:

1. Perhatikan jodol puisi. Ibarat sebuah kepala, jodol puisi merupakan gambaran umum tentang isi keseluruhan puisi. Dengan mengerti dan memahami apa yang tersirat di sebalik kata-kata jodol puisi dapatlah diramalkan apa sesungguhnya yang ingin disampaikan di dalam setiap larik dan bait puisi berkenaan.

2.Fahami setiap kata yang terdapat di dalam larik dan bait puisi baik makna denotatif mahupun makna konotatif, diusahakan dahulu konotasi yang paling umum dan biasa
digunakan dalam kehidupan sehari-hari. Terlebih dahulu jangan jauh-jauh mengonotasikan makna sebuah kata dan ungkapan.

Yang penting diingat adalah bahawa konotasi apa saja yang diperolehi harus dapat dipertanggungjawabkan pada keseluruhan kebulatan puisi. Artinya, makna setiap kata
dan ungkapan digabung-jalinkan dengan berusaha pula mencari makna gabungan tersebut, sehingga mendapat makna keseluruhan secara bulat dan mutlak.

3. Fahami pula bentuk puisi yang akan dideklamasikan itu. Apakah puisi itu berbentuk balada, mantera, puisi imajis, lugu atau kabur, jenaka atau patriotik dan sebagainya. Mendeklamasi puisi bentuk balada tentu berbeda dengan mendeklamasi puisi berbentuk mantera, dengan puisi-puisi imajis, dan dengan puisi-puisi jenaka atau patriotik.

Memahami hakikat dan perinsip setiap bentuk puisi akan menghasilkan pendeklamasian puisi semakin baik. Keupayaan memahami puisi sebelum dideklamasikan adalah untuk memperolehi pemahaman dari hasil interpretasi.
Menginterpretasikan puisi bertujuan agar pendeklamasian menjadi lebin intens; bukan untuk menilai baik buruk puisi.

Dengan pemahaman dan penafsiran ini bermakana setiap deklamator akan dapat masuk ke dalam suasana puisi, diperkirakan seorang deklamator akan mampu membacakan puisi sesuai dengan apa yang diinginkan oleh puisi berkenaan atau oleh penyairnya.

Di awal tadi ada disebutkan mengenai bahasa konotatif dan denotatif. Bahasa konotatif ialah bahasa ungkapan perasaan, yang berhubungan erat dengan suasana jiwa.

Ungkapan kata-kata dalam bahasa konotatif tidak hanya memiliki makna pusat tetapi juga berisi simbol-simbol. Bahasa konotatif tidak mementingkan arti tetapi mementingkan bobot dan gaya serta keluasan tafsiran. Sebagai contoh: "Rinduku burung-burung merpati terbang ke negeri kenangan."

Sedangkan bahasa denotatif ialah bahasa yang dipergunakan untuk mengutarakan akal fikiran kita. Bahasa ini biasa jika kita jumpai pada buku akademik yang bukan susastera seperti sejarah, geografi, sosiologi dan berbagai ilmu pengetahuan yang sebangsa dengannya.

Bahasa denotatif bertugas menterjemahkan makna pokok suatu benda yang ditunjukkan. Jadi setiap kata hanya memiliki arti pusat yang disebut oleh kata itu.

Jalan bahasanya berdasarkan hukum akal, sebab akibat kerana setiap kata memiliki tugas yang ketat yakni makna pokok yang disebut kata itu. Perhatikan contoh: " Saya membaca akhbar, Abdullah menebang pokok Sena."

TEKNIK DAN PERSIAPAN DEKLAMATOR PUISI

Apabila membicarakan teknik mendeklamasi puisi termasuk vokal dan pengucapan, masalah gerak dan mimik, dan masalah komunikasi. Istilah deklamasi berasal daripada declamare atau declaim, yang maknanya menyerukan atau membacakan sesuatu hasil karya susastera terutama puisi dengan lagu dan gerak-geri sebagai alat bantu.

Gerak-geri yang dimaksudkan di sini adalah sebagai alat bantu yang praktis dan kreatif, puitis, seirama dengan isi pendeklamasian. Ringkasnya ialah: deklamasi sebagai perbuatan menyampaikan hasil-hasil karya susastera - puisi - dengan bahasa lisan.

Orang yang mempunyai keahlian dalam mendeklamasikan hasil susastera disebut deklamator untuk lelaki dan deklamatris untuk perempuan. Menjadi seorang deklamator yang baik, ia harus memahami situasi sebuah puisi, bagaimana latar belakang penulisan
puisi itu dan apa isinya. Apakah yang dihadapi oleh penyair ketika ia menciptakan puisi itu? Perang, penderitaan dan kelaparan, atau kegembiraan dengan semangat meluap-luap.

Selain itu calon deklamator perlu pula mengetahui riwayat hidup penyairnya. Apakah ia berasal daripada lingkungan keluarga yang menderita, atau petani miskin, atau golongan
yang serba mewah dan canggih sebab hal ini akan mewarnai langsung karya-karyanya.

Setelah itu barulah deklamator mulai menghayati, yakni memikirkan, merasakan, membayangkan kembali tentang apa-apa yang telah direnungkan, dirasakan dan dibayangkan oleh penyairnya.

Jelasnya, deklamator berusaha menempatkan diri sebagai penyairnya, sehingga pengaturan suasana, rasa, gerak/mimik dan tempo, benar-benar menggambarkan suasana yang dikandung oleh puisi tersebut.

Persiapan lain yang tidak kurang pentingnya untuk dimiliki oleh seorang deklamator ialah:

- Keperibadian, yakni gambaran/kesan pertama ketika pertama kali naik ke pentas; tenangkan ia, gelisah, gugup atau berwibawa atau menyakinkan.

- Volume suara, bagaimanakah suara, kejelasan, serta pengaturan keras lemahnya nada suaranya. Ia juga dikenali sebagai vokal dan pengucapan. Teknik vokalisasi dan pengucapan adalah hal yang amat menentukan berhasil tidaknya dalam pendeklamasi puisi kerana suara yang keluar itulah yang akan menggetarkan sukma pendengar.

- Vokal dan pengucapan yang tepat membuat pendengar 'berada' dalam puisi yang dideklamasikan. Mereka akan senang menyemak puisi tersebut. Akan tetapi apabila vokal dan pengucapan tidak mantap maka pendengar tidak akan senang, malah jemu, dan bukan tidak mungkin mereka akan lari meninggalkan tempat itu.

Kita dapat memperhatikan kedua keadaan itu pada setiap kegiatan pendeklamasian puisi diadakan. Oleh itu seseorang yang berminat menjadi deklamator puisi yang baik mesti memperhatikan masalah vokal dan pengucapan, artinya harus menguasai keduanya.

- Menghafaz (artikulasi yang baik). Mengenai teknik vokal dan pengucapan tercakup siri selanjutnya.

MEMAHAMI KEJELASAN ARTIKULASI

Apa yang dimaksudkan artikulasi adalah perubahan rongga dan ruang dalam saluran suara untuk menghasilkan suara dan menghasilkan bunyi bahasa. Artikulasi adalah bahagian alat ucap yang dapat bergerak, misalnya bahagian-bahagian lidah dan bibir bawah.

Adapun titik artikulasi iaitu bahagian alat ucap yang dituju dan disentuh oleh artikulator sewaktu menghasilkan bunyi bahasa.

Dalam menghasilkan bunyi atau suara harus diusahakan agar sentuhan artikulator tepat pada titik artikulasi untuk setiap bunyi fonem.

Misalnya bunyi fonen /k/, bahagian belakang lidah bergerak menuju ke lelangit lembut, artinya bahagian belakang lidah adalah artikulator sedangkan lelangit lembut adalah titik
artikulasi.

Seringkali didapati seorang deklamator kedengaran seakan-akan menelan bunyi sehingga ada bahagian-bahagian sukukata yang tidak jelas diucapkan. Keadaan seperti ini disebabkan kerana tidak tepatnya artikulator menyentuh titik artikulasi sewaktu
mengucapkan sukukata tersebut.

Dalam membacakan puisi kejelasan artikulasi sangat diperlukan dan penting. Satu fonem pun tidak boleh luput daripada pendeklamasian kerana hal itu berpengaruh terhadap
keindahan pengucapan.

Cara terbaik untuk memantapkan pengucapan adalah dengan membiasakan secara sedar bagaimana membunyikan huruf-huruf dalam pembicaraan sehari-hari. Perlu diusahakan agar huruf hidup dan huruf mati dapat diucapkan dengan tepat.

Kata Alexander Graham Bell, " Suara huruf mati itu memberikan keindahan pada bunyinya. Suara huruf mati merupakan tulang punggung dari bahasa ucapan sedangkan suara huruf hidup itu daging dan daerahnya.

Kedua-duanya jangan dilalaikan." Untuk dapat mengucapkan huruf dengan tepat perhatikanlah asas kedudukan alat ucap untuk setiap huruf seperti di bawah ini.

/a/ : bentuk bibir bundar; bahagian belakang lidah diangkat dan lidah diundurkan sejauh-jauhnya daripada lengkung kaki gigi.

/e/ : bentuk bibir rata; hujung dan bahagian belakang lidah dinaikkan; lidah diundurkan sedikit daripada lengkung kaki gigi.

/i/ : bentuk bibir rata; hujung dan bahagian belakang lidah dinaikkan; lidah dekat ke lengkung kaki gigi.

/o/ : bentuk bibir bundar dan menonjol ke depan; bahagian belakang lidah diangkat.

/u/ : bentuk bibir bundar dan menonjol ke depan, bahagian belakang lidah diangkat; lidah dekat ke lengkung kaki gigi.

KONSONAN
------------------------------------------------------------
Fonem: Artikulator : Titik Artikulator
------------------------------------------------------------
/b/ : bibir bawah : bibir atas
/c/ : bahagian tengah lidah : langit-langit keras
/d/ : hujung lidah : lengkung kaki gigi
/f/ : bibir bawah : gigi atas
/g/ : belakang lidah : langit-langit lembut
/h/ : posisi pita suara
terbuka lebar
/j/ : bahagian tengah lidah : langit-langit keras
/k/ : belakang lidah : langit-langit lembut
/l/ : hujung lidah : pangkal gigi atas
/m/ : bibir bawah atas : bibir bawah atas
/n/ : hujung lidah : lengkung kaki gigi
/p/ : bibir bawah atas : bibir bawah atas
/q/ : belakang lidah : langit-langit lembut
/r/ : lidah : pangkal gigi
/s/ : hujung lidah : antara gigi atas dan bawah
/t/ : hujung lidah : daerah antara gigi
/v/ : bibir bawah : gigi atas
/w/ : bibir bawah atas : bibir bawah atas
/x/ : belakang lidah : langit-langit lembut
/y/ : tengah lidah : antara gigi atas/bawah
/z/ : hujung lidah : langit-langit keras
/ny/ : bahagian tengah lidah : langit-langit keras
/ng/ : belakang lidah : langit-langit lembut
/kh/ : belakang lidah : langit-langit lembut


KEMERDUAN DEKLAMASI PUISI

Setiap deklamator puisi sewajarnya berusaha agar suara terdengar merdu dan mendayu. Suara yang merdu dan mendayu akan menggelitik sukma pendengar sehingga memantulkan rasa sejuk, damai, dan terpesona. Rasa terpukau, kaget dan hebat.

Konon khabarnya suara yang merdu mampu membuat burung berhenti terbang untuk menikmatinya seperti suara Nabi Daud alahissalam. Kemerduan suara berkait rapat dengan masalah intonasi: tekanan dinamik, tekanan tempo, tekanan nada dan modulasi.

Tekanan dinamik adalah tekanan keras atau lembut. Deklamator puisi harus mampu membedakan bila ia harus mendeklamasi dengan keras dan bila pula harus mendeklamasi
dengan lembut. Tekanan tempo adalah tekanan cepat atau lambat; bila harus mendeklamasi dengan cepat dan bila pula harus mendeklamasi dengan lambat. Bolehkah dibaca setiap larik puisi dalam tempo senafas.

Begitu juga dengan tekanan nada, dan tekanan tinggi-rendah. Bila masing-masing tekanan itu dilakukan amat tergantung kepada suasana puisi dan intensiti penghayatan deklamator terhadap puisi.

Adapun yang dimaksud dengan modulasi adalah perubahan bunyi suara: besar-kecil, bunyi desah, bunyi guntur, dan lain-lain. Kemampuan modulasi menjadikan pendeklamasian semakin menarik dan memukau. Kalau perlu dengan suara 'terbalik', kalau itu memang diperlukan, apa salahnya.

Baik kejelasan artikulasi mahupun kemerduan suara bertujuan agar pendeklamasian menjadi jelas dan indah, mengandungi ekspresi perasaan dan pemikiran sehingga menggugah pula rasa indah pendengar.

Bagaimana pula dengan kenyataan bahawa warna suara setiap orang berbeda-beda? Perbedaan warna suara tidak merupakan halangan untuk keindahan pendeklamasian asal sahaja mampu memvokalisasikan setiap huruf dengan tepat. Oleh kerana itu teknik pengucapan mesti dikuasai.

Disamping kedua hal di atas, artikulasi dan kemerduan, dua hal lagi perlu diperhatikan, iaitu teknik memproduksi suara dan masalah pemenggalan bahasa. Pendeklamasian lazimnya mengeluarkan suara daripada perut, tidak daripada dada. Suara yang keluar daripada dada biasanya tidak sempurna dan kurang berwibawa sehingga menimbulkan
kesan cengeng dan tidak mantap. Akibat lain adalah kurang tepatnya menghafal bunyi-bunyi huruf.

Sebaliknya suara yang keluar daripada perut kesannya amat berwibawa dan mantap. Di samping itu gema yang ditimbulkan oleh suara yang dikeluarkan daripada perut menambahkan kuatnya pengaruh deklamasi pada pendengar.

Bandingkanlah seorang orator yang mempunyai suara keras yang keluar daripada perut dengan suara yang keluar daripada dada. Kesan yang ditimbulkan oleh suara yang keluar daripada perut ialah menambah keyakinan dan percaya diri.

Masalah pemenggalan yang dimaksudkan adalah mengucapkan satuan-satuan atau kelompok-kelompok kata. Deklamator puisi harus tahu satuan-satuan bahasa yang mesti diucapkan dalam satu nafas. Ini perlukan latihan yang berkali-kali.

Pengelompokan ini baru dapat diketahui apabila deklamator dapat memahami makna satuan-satuan gramatikal yang membentuk puisi.



GERAKAN DAN PENAMPILAN DEKLAMATOR PUISI

Disamping menghasilkan bunyi suara dengan tepat dan indah seorang deklamator puisi melakukan gerakan anggota badan. Gerakan hendaklah sesuai dengan puisi. Artinya jangan lebih daripada apa dikehendaki oleh isi dan suasana puisi. Sebelum membicarakan gerak ada beberapa illustrasi berikut:

... Sutardji Calzoum Bachri sebelum mendeklamasi puisinya 'Kapak' mengambil sebuah kapak dan kayu. Ia mengapaki kayu tersebut sampai hancur. Mula-mula lambat, kemudian beransur cepat, dan akhirnya sangat cepat dan... tiba-tiba berhenti. Setelah itu baru ia mendeklamasi puisi-puisi dengan penuh kosentrasi. Waktu mulai lagi setelah istirehat, ia minum air, sampai-sampai bajunya sendiri basah. Kemudian mendeklamasi puisi lagi. Kelihatannya gelagat mengapaki kayu sampai hancur dan minum air hanya menarik minat penonton. Ia perlu menyatukan perhatian penonton kepadanya. Setelah perhatian dan kosentrasi penonton terpusat baru ia deklamasikan puisinya. Jadi dalam arena deklamasi puisi tidak hanya deklamator puisi harus kosentrasi tetapi penonton juga

. .. Rendra mendeklamasi puisi tanpa melakukan atraksi sebagaimana Sutardji. Rendra mampu memusatkan perhatian penonton kepadanya dengan kemampuan vokal dan aktingnya yang bagus di samping namanya yang terkenal sebagai Seniman Merak.

... Abdul Hadi W.M mendeklamasikan puisi seperti seorang kiai memberi ceramah. Ia pegang teks, dibaca, dan selesai. Ia tidak melakukan gerakan sebagaimana Sutardji dan Rendra.

... Hamid Jabbar mendeklamasi puisi sambil membunyikan gendang dengan irama tertentu untuk memusatkan perhatian penonton. Ia kelihatan seperti orang berzikir.

... Abdul Ghafar Ibrahim mendeklamasi puisi memulakan dengan gerak silat, bertepuk tangan, menepuk kompang dan menari-nari, kemudian mendeklamasi puisinya.

Dari lima illustrasi itu bukan suatu rumusan bahawa gerak hanya untuk menimbulkan perhatian audien. Hanya illustrasi. Itu sahaja. Penting tidaknya gerak dibicarakan berikut ini.

Ada tiga pendapat perlu-tidaknya gerakan dalam membacakan puisi. Pertamanya, mengatakan gerak tidak penting. Pendapat ini beranggapan bahawa gerak adalah ketidakmampuan deklamator menyampaikan pesan puisi. Ia mesti menambah dengan
cara lain untuk menyampaikannya.

Kesimpulannya, gerak dalam membacakan puisi menunjukkan puisi tidak berdaya dan deklamator tidak bijaksana. Seolah-olah gerak yang menguasai puisi, bukan puisi yang menguasai gerak.

Kedua, mengatakan gerak itu penting. Pendapat ini mengatakan gerak itu penting dalam mendeklamasi puisi. Tanpa gerak pendeklamasian puisi tidak akan menarik dan tidak perlu ditonton.

Gerak membuat puisi menjadi sampai tepat kepada penonton dan mereka lebih terpikat. Ibarat seorang aktor, akting itu sangat penting. Bahkan dalam mendeklamasikan puisi, gerak tersebut mempunyai nilai tersendiri dari keseluruhan pendeklamasian puisi.

Ketiga, mengatakan gerak dalam mendeklamasikan puisi kadang diperlukan, kadang tidak. Kalau perlu bergerak, bergeraklah dengan wajar. Gerak dan mimik yang akan ditampilkan oleh seorang deklamator puisi bukanlah gerak yang diciptakannya
sendiri melainkan gerak yang diciptakan oleh puisi.

Pada dasarnya setiap puisi sejak lahir telah hidup dan telah mempunyai gerak tersendiri. Oleh sebab itu deklamator harus mengikuti kemahuan puisi, bukan puisi mengikuti kemahuan deklamator.

Setiap gerakan dalam mendeklamasi puisi mesti lahir kerana tuntutan puisi. Mungkin gerak refleks. Apakah akan mengangkat tangan, menggerakkan kepala, melangkahkan kaki harus dilakukan tanpa sengaja atau dibuat-buat, maka gerak itu akan kelihatan kaku.

Ingat sahaja ketika kita berbicara dengan orang lain atau ketika sedang marah. Apakah kita sengaja menuding-nudingkan tangan, mengubah air muka dan bergerak sedemikian rupa kepada lawan bicara kita? Kerana kalau dilakukan dengan sengaja, direncanakan, maka ia tidak lagi sebagaimana yang dikehendaki perbicaraan atau tidak lagi sesuai dengan tuntutan marah.

Begitu juga dengan mendeklamasi puisi. Gerak dan mimik akan muncul dengan sendirinya berdasarkan penghayatan dan interpretasi kita terhadap puisi yang dideklamasikan, sebagaimana penghayatan dan interpretasi kita terhadap marah
pada orang lain. Gerak dan mimik harus muncul secara spontan.

KAEDAH MEMBINA PUNCAK SERASI DENGAN GERAK

Pengembangan adalah usaha untuk menjadikan pendeklamasian puisi semakin menarik. Pengembangan menjadikan pendeklamasian tidak datar. Sedangkan pembinaan puncak bermaksud untuk menahan agar tahap-tahap pengembangan berbeda intensitinya.

Pengembangan dapat dilakukan dengan pengucapan dan dapat pula melalui gerak. Akan tetapi yang lebih baik perpaduan keduanya secara serentak. Pengembangan yang dilakukan dengan pengucapan dapat menaikkan volume suara, meningkatkan
kecepatan pengucapan, dan meninggikan nada suara.

Adakalanya dengan merendahkan, menurunkan dan melambatkan pengucapan. Apabila pengucapan meninggi tetapi diperlukan yang lebih tinggi lagi sedangkan deklamator tidak mungkin meningkatkan volume suaranya, maka dengan menurunkan suara
secara baik menimbulkan efek meninggi tersebut.

Kecekapan menurunkan suara dengan baik, akan wujud efek tingginya intensiti, dan terlihat dalam emosi. Begitu juga kecepatan dan kekerasan suara. Artinya, dengan melambatkan dan melunakkan suara pada saat tidak mampu lagi mempercepatkan dan mengeraskannya menjadi sebaliknya.

Menaikkan, mengeraskan, mempercepatkan, dan mengurangi ketiga hal itu berganti-ganti menimbulkan daya pikat yang tersendiri. Apabila satu cara yang dipakai bermakna tidak melakukan pengembangan sama sekali kerana efeknya menimbulkan kesan mendatar.

Pengembangan gerak dengan mengubah-ubah kedudukan anggota tubuh menjadi lebih menonjol. Misalnya dengan kedudukan tubuh, berpindah tempat, bergerak tanpa berpindah tempat, berpaling, dan dengan air muka yang mampu memberi mesej kepada penonton..

Kemampuan menggunakan hal-hal tersebut secara teratur sesuai dengan emosi puisi akan mendatangkan kesan perkembangan emosi. Bagaimana halnya dengan pembinaan puncak? Kerana puncak hanya sekali terjadi dalam pendeklamasian puisi, dan ini
mungkin agak lama, maka seorang deklamator puisi harus dapat menahan diri pada tahap-tahap pengembangan menuju klimaks, dan setiap tahap menuju akhir.

Deklamator puisi yang tidak mampu menahan diri sebelum puncak akan gagal mencipta puncak dan akhirnya puncak tidak jelas. Pendeklamasian dan gerak adalah dua hal yang saling mendukung. Ucap yang mantap dibantu dengan gerak yang tepat akan memberikan tekanan dan penonjolan.

Intensiti ucap akan semakin baik apabila diiringi dengan gerak yang sesuai dengan maksud ucapan tersebut. Gerak bukan dibuat-buat. Harus wajar dan spontan. Gerak dilakukan tidak melebihi dan mengurangi intensiti ucapan.

Ada tiga gerak yang mendukung ucapan. Pertama, gerak dilakukan sebelum ucapan; kedua, gerak yang dilakukan bersamaan dengan ucapan, dan ketiga, gerak dilakukan setelah ucapan.

Pemilihan gerak bergantung kepada kemampuan deklamator. Gerak yang dipilih ada alasannya. Ingat, akan terlihat janggal mengucapkan sesuatu tanpa bergerak sementara deklamator yang sedang mendeklamasi puisi yang ditonton orang.

Menghasilkan gerak yang tepat, seorang deklamator terutama harus menghilangkan perasaan malu, kikuk dan kaku. Harus mendalami makna puisi. Apakah puisi itu puisi sendu, sedih, marah, garang, syahdu, bersemangat, cengeng, lugu, jenaka dan lain-lain.

DEKLAMASI KOMUNIKATIF
DAN PENILAIAN DEKLAMASI PUISI

Deklamator puisi wajar ada kontak dengan penonton. Terutama kontak mata. Boleh dilakukan sekali sekala melihat penonton. Jangan sibuk membaca sahaja, walau namanya deklamasi puisi. Oleh itu jika puisi itu dapat dihafal adalah paling baik.

Dalam penggunaan alat-alat bantu yang lain seperti pembesar suara, musik, busana dan tempat pembacaan. Musik misalnya dapat memantapkan deklamasi puisi asal irama musik itu senafas dengan puisi itu.

Pemain musik wajar juga menghayati makna puisi yang dideklamasi. Busana pula sesuai dengan suasana puisi. Pemilihan warna busana, model busana dan lain-lain seimbang
dengan suasana puisi.

Penggunaan pembesar suara pula harus berhati-hati kerana jika tersilap akan mencacatkan deklamasi puisi. Jika ruang pembacaan itu kecil, tidak perlu mendeklamasi menggunakan pembesar suara.

Akhirnya yang penting sebelum mendeklamasi puisi, latihan-latihan secara teratur hendaklah dilakukan. Misalnya latihan vokal atau olah suara. Hendaklah berusaha berlatih dengan tekun. Ambil pelbagai bentuk puisi dan baca secara bergilir-gilir, mula pada puisi yang relatif mudah kepada puisi yang relatif sulit.

Tujuan deklamasi puisi tak berbeda dengan tujuan susastera. Tujuan seorang deklamator tak berbeda dengan tujuan sasterawan. Keduanya saling melengkapi antara satu sama lain.

Seorang penyair menyampaikan buah fikirannya, gejolak perasaannya dan luapan emosinya lewat bahasa tulisan. Penyair menuliskan apa-apa yang dirasakan/dilihat dan
dihayati dalam mereka mengharungi kehidupan di dunia ini.

Sedangkan seorang deklamator menyampaikan seluruh buah fikiran dan perasaan sang penyair melalui puisinya tadi ke dalam bahasa lisan.

Kedua-duanya mempunyai tujuan yang sama iaitu ingin menyampaikan isi hati penyairnya. Kedua-duanya sama pentingnya. Seorang penyair belum tentu mampu menjadi deklamator, demikian juga sebaliknya.

Seorang deklamator yang baik, sanggup menyampaikan isi hati penyair dengan sejelas-jelasnya, seutuh-utuhnya, Ia harus mampu menciptakan keharuan dihati pendengarnya seperti keharuan seorang penyair di kala menciptakan puisinya.

Kerana itu pilihlah puisi yang sesuai dengan pengalaman dan keperibadian anda. Ini penting bagi anda menjanakan penghayatan yang lebih mendalam dan terkawal baik suara, emosi mahupun gerak.

Cara memilih puisi untuk dideklamasikan perlu diperhatikan misalnya: Untuk pelajar-pelajar sekolah rendah harus dipilih dari puisi-puisi yang mudah dicerna oleh mereka.

Kemudian bagi pelajar sekolah menengah, boleh dipilih puisi-puisi yang mampu dihayati oleh mereka. Ini penting kerana semasa mendeklamasi harus dalam suasana relax dan bersahaja.

Bagi pelajar Pusat Pengajian Tinggi dan orang dewasa, jangkauannya lebih luas lagi dan yang penting tema yang berbagai, dan bagaimana yang akan ditonjolkan dalam
penyelenggaraan deklamasi atau majlis pembacaan puisi itu.

BAGAIMANA MEMPERKEMBANGKAN DEKLAMASI PUISI

Deklamasi puisi boleh diadakan di kampus-kampus Pusat Pengajian Tinggi atau di sekolah-sekolah, misalnya: Penyelenggaraan Sayembara Deklamasi Puisi Antara
Fakulti/Antara Sekolah-Sekolah.

Penyelenggaraan Diskusi Sastera yang dikaitkan dengan Seni Deklamasi; Ceramah khusus tentang deklamasi dari seorang tokoh; Penyelenggaraan Majlis Deklamasi Puisi Dalam Memperingati Seorang Penyair dan lain-lain.

Bagi masyarakat umum, bagi mengenang seorang penyair dengan mengadakan sayembara deklamasi puisi-puisi almarhum, secara lazim dan bersambung setiap tahun, terutama pada tarikh kematian penyair berkenaan.

Diadakan Sayembara Menulis Puisi, dan pemenang dijadikan bahan untuk sayembara deklamasi, misalnya puisi-puisi Di Atas Mimbar Merdeka adalah teks rasmi Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan pada setiap tahun.

Peranan Radio/TV pula ialah penyediaan ruang/waktu-waktu tertentu untuk memberi bimbingan kepada bakal-bakal deklamator agar dapat mendeklamasikan puisi dengan lebih baik, indah dan tinggi mutunya.

Sehingga kini nama-nama juara yang dihasilkan melalui Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan sejak tahun 1986 ialah:

Puzi Hadi (Kedah), ASP Mohd Fauzi Abu Bakar (Polis), Ahmad Noor Sulaiman (Kuala Lumpur), PMI Thazali Mohd Elah (Tentera), Juriah Jusoh (Kuala Lumpur), Umi Kalsum Baharin (Melaka), Emylya Othman (Pulau Pinang), dan Ahmad Asri Kalbi (Selangor).

Apakah ia dapat menghayati puisi yang dibawakannya dan bagaimana kemahiran bicaranya, temponya dan lain sebagainya. Untuk jelasnya pemarkahan boleh dibuat berdasarkan perkara-perkara berikut:

Perkara yang dinilai. Penampilan dibahagikan kepada Tatatertib (10 markah), Cara Berpakaian (10 markah), Keperibadian (10 markah), Hafalan (10 markah), Volume Suara
(10 markah). Manakala Isi pula dibahagikan kepada Teknik (Suara/Bunyi/Gerak/Mimik) (20 markah), Interpretasi (10 markah), Intonasi (10 markah) dan Ekspresi (10 markah).
Jumlah pemarkahan ialah 100.

Menurut Rahman Shaari pula, pemarkahan cukup sekadar Teknik (25 markah), Gaya (25 markah), Nada (25 markah) dan Suara (25 markah).

Bagi Marzuki Ali pula menyarankan pemarkahan hanya membabitkan Sebutan (intonasi dan kejelasan) sebanyak 30 markah, Gaya dan Teknik (30 markah) dan Penghayatan (40
markah).

Walau apapun formatnya, deklamasi puisi kini begitu merakyat. Puisi sarat dengan idea dan pesanan yang ingin dikongsi bersama antara penyair, deklamator dan audien.
Diharap semua remaja meminati bidang deklamasi puisi. Apa yang lebih wajar bagaimana puisi itu dapat dihayati sepenuhnya. Kalau penghayatan puisi tidak kesampaian, nilai deklamasi puisi itu gagal dicerna dengan penuh wibawa.

TAMAT

Artikel di atas telah tersiar secara bersiri dalam akhbar Watan pada tahun 1996 dalam 12 siri. @Hakcipta Terpelihara.




Powered by Blogger