SAJIAN PUISI ARISEL BA
Monday, June 16, 2003
 
PUISI-PUISI PERANG IRAQ
KARYA ARISEL BA

PAMFLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 1
arisel ba

Bush dan Blair
Dua algojo dengan lidah terjelir
Mereka lapar
Mereka akan terkapar

Saddam dan seluruh rakyat Iraq
Darah dan airmata
Pedih luka dan derita
Dalam menegak panji-panji Islam
Lawan musuh dengan doa kehadrat Allah
Kalahkan algojo dengan nafas taufan neraka

Islam pasti menang
Saddam pasti menang
Tentera-tentera Malaikat akan turun membantu
Dengan kekuatan doa seluruh umat Islam
BERSATU

Bush dan Blair
Dua algojo akan menyesal taksudah
Saddam pasti menang
Islam pasti menang

20 Mac 2003
Kuantan, Pahang


PAMFLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 2
arisel ba


Hari ini Bush dan Blair
Sedang memacu mesin-mesin pembunuh yang lapar
Dalam ribut pasir di gurun panas memijar itu
Algojo seangkuhnya diperkuat dengan 300,000 tentera
Dibantu 1,000 pesawat tempur cangih
Akan menghujani 3,000 bom panduan satelit
Untuk tempoh 48 jam mendatang
Menghalalkan darah, daging, tulang dan nyawa warga Iraq
Di Basra, Baghdad, dan seluruh bumi Iraq

``Pertempuran ini, pertempuran terakhir Iraq
menentang penjahat zalim dan
pertempuran terakhir Amerika
ke atas penduduk Arab,''
kata Saddam sambil memperli kata dua Bush

hari ini, piagam PBB
TELAH MATI

di sini, jihadku sekadar
DOA DAN WIRID SOLAT HAJAT TASBIH
BERSATU DI BAWAH PANJI-PANJI ALLAH
MEMPERTAHANKAN BUMI IRAQ DENGAN PEDANG ALLAH
AMIN....

21 Mac 2003
Kuantan, Pahang



PAMFLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 3
arisel ba

Hari ini 16 tentera Amerika-Britain mati terkapar
Sebelumnya empat tentera Iraq mati syahid
Tiga telaga minyak di Umm Qasr terbakar
Amerika-Britain muntahkan roket dan bom berpandu satelit
Iraq menjawab dengan tembakan scud jatuh di Kuwait
Bumi Islam terbakar dan gelora perang bergetar

Aku membaca kembali sejarah silam
memahami gelora perang antara arus Euphrates dan Tigris
merendam dendam di perkebunan Mesopotamia yang hitam
Kini burung-burung bersayap besi dan peluru roket najis
Singgah meranap Basra, Mosul, Kirkuk, Baghdad
mereka terlupa pada piagam PBB

dalam bahasa apa pun
kini sedang berlaku jenayah perang dan
pembunuhan sesama manusia
bagai sebuah negara kota penuh tamadun
sedang diruntuhkan anai-anai perang peradaban
sehingga imperialis Bush dan Blair memangsa
terpapar Saddam masih senyum bangga
Manakala darah dan nyawa rakyat jelata menjadi sia-sia


22 Mac 2003
Kuantan, Pahang


PAMFLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 4
arisel ba

Dikhabarkan, selepas 76 jam Amerika menyerang
Memuntahkan 1,000 bom panduan satelit
Dari lebih 1,000 serangan udara yang garang
Ke Baghdad, Umm Qasr dan Nasiriyah, api menjulang
Membunuh 95 orang awam, 250 cedera di rumahsakit

Dan 500,000 rakyat Iraq meninggalkan
kota dan desa, mereka memikul beban kemiskinan
mencari sekelumit empati makna kemanusiaan
lari dari suasana kejamnya peperangan

akupun menatap wajah demi wajah
anak-anak rakyat Iraq berlumuran darah
terdengar jerit tangis menahan pedih

sedang Bush dan Blair mencatur strategi
apakah Saddam akan bertahan sampai mati?


23 Mac 2003
Kuantan, Pahang


PAMFLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 5
Arisel ba

hari yang kelima di Baghdad, kenderaan
memenuhi jalan raya, sambil membunyikan hon,
manakala remaja bermain bola sepak di tepi jalan.

orang Iraq berjalan-jalan di bawah sinar matahari
dan ada antara mereka berkata:
“kami tidak bimbang serangan bom api
kerana tembakan dihantar ke bangunan kerajaan.
Kami lega dapat bekerja seperti biasa
pada siang hari,” kata mereka rawan

Saddam masih berkuasa dan senyum bangga
ketika tentera Amerika mengebom di Mosul utara
Saddam penuh berani berkata:
bersumpah dengan nama Allah
akan melebur dan menewaskan
‘musuh Islam dan tamadun manusia’
dan mimpi dua rejim kolonial takkesampaian
Bush di Washington dan Blair di London,
para pengampu dan sekutu mereka
Tunggu...balasan dari Allah

inilah kebesaran Allah, bila...
dua helikopter Sea Knight berlaga di udara,
Tornado Britain tertembak oleh Patriot Amerika
gelabah seorang tentera elit Amerika
melontar bom tangan di Kem Pennsylvania, Kuwait
akibatnya seorang mati, 12 cedera
inilah petunjuk dari Allah

sudah lebih 100 jam USA + UK serang Iraq
apakah 72 jam mendatang menjawab segalanya?

realitinya, kanak-kanak, wanita, orang tua,
mati sia-sia dan cedera, derita sengsara
bangunan bersejarah, perigi minyak, perkebunan
terbakar, ranap dan menjadi abu sisa peperangan

di meja mesyuarat Liga Arab jadi wadah
22 negara Islam pasti akan bertelagah
masing-masing mahu menegakkan benang basah

24 Mac 2003
Kuantan, Pahang


PAMFLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 6
Arisel ba

Masuk hari keenam, api sengketa masih menyala
bagai api yang membakar telaga minyak di Basra
bumi Iraq masih bermandi darah dan airmata
dan tatkala ribut pasir mula melanda
tentera Amerika bertempur dengan ribut pasir di Najaf,
tentera Iraq melancarkan serangan roket dan
bedilan antipesawat terhadap musuh mereka.

resah Washington dan London,
bila perkhabaran dari di Nasiriyah mengatakan
jumlah kematian tentera Amerika dan Britain
adalah lebih besar dan ramai tertawan
.
di Basra, 1.2 juta rakyat Iraq takberdosa
akan hidup tanpa air bersih dan takcukup makanan
100,000 kanak-kanak akan kebuluran
dan penyakit berjangkit pasti tiba

.sementara Bush masih gila menghirup darah
dan bertungkus-lumus memujuk Kongres Amerika
meluluskan RM237.88 bilion biaya membunuh

25 Mac 2003
Kuantan, Pahang


PAMFLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 7
Arisel ba

Baghdad dan Basra sudah seminggu dibakar bom api
Letupan demi letupan masih menggegar nadi dan hati
Suara tangis anak-anak dan jerit wanita berani
Darah merah mengalir basah panas di bumi
Saddam pemberani sembunyi di gua
Bush dan Blair membaca berapa harga nyawa
1,000 tentera Iraq di Najaf mati sia-sia
lebih 500 rakyat Iraq cedera
dan 200 buah rumah musnah apabila
Nasiriyah dan Karbala digempur tentera Amerika


wahai rakyat Iraq yang gagah
tentera Amerika dan Britain mesti dinyah
dari bumi Arab dilindungi Allah
Allah hu akbar, Allah hu akbar
panji-panji Islam tetap berkibar

Bush dan Blair sedang menggelabah
Saddam masih hidup mengatur helah


26 Mac 2003
Kuantan, Pahang

PAMFLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 8
Arisel ba

Memasuki hari kelapan, darah masih mengalir
Di Baghdad, Basra, Nasiriyah, Karbala, Umm Qasr
Dentuman bom dari tembakan roket dan meriam
Siri perang (USA + UK) Vs Iraq marak penuh dendam
Ribut pasir dan kebuluran mula mengancam

Dan dikhabarkan kepada kita
Berita kematian, hilang dan cedera
Amerika kata tenteranya 15 mati bertempur
Britain kata tenteranya empat mati bertempur
Mereka kata 650 tentera Iraq mati bertempur
Kata Iraq, 1,110 orang awam cedera
Dan 177 orang awam mati sia-sia

Dan aku membaca kembali catatan
Perang Teluk tahun 1991 mengatakan:
Semasa tentera Iraq berundur dari Kuwait
Mereka membakar 730 telaga minyak
Manakala Kuwait mengambil masa lapan bulan
Memadamkan api kebakaran itu
Dengan biaya 67.97 bilion dollar

apakah nanti tentera Iraq akan
membakar 1,500 telaga minyak mereka
di Basra, Umm Qasr, Kirkuk, Baghdad dan Mosul
apakah jadi padang jarak padang terkukur

Bush begitu murah hati menghulur ribuan tan
makanan,ubatan,pakaian dan segala keperluan
demi rakyat Iraq meneruskan penghidupan
apakah hati rakyat Iraq akan cair atau tidak?
ianya akan menjadi teka-teki untuk dijawab
jika umpan Bush ini akan mengena
rakyat Iraq akan menyokong Amerika
dan selama mana Saddam mampu bertahan...
ibarat pohon yang akarnya sudah lebur.

27 Mac 2003
Kuantan, Pahang


PAMFLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 9
Arisel ba

Bumi Iraq masih mandi darah
Bergelimpangan tentera Islam mati syuhadah
Gempuran musuh laknat dari empat penjuru
Percaturan Bush dan Bliar tidak tahu malu
Perempuan Iraq diperkosa sepuas nafsu
Anak-anak tidak berbapa masih dicari peluru

Bush kata peperangan di Iraq akan berterusan
sehingga USA + UK mencapai kemenangan
130,000 tentera Amerika dihantar ke Teluk
untuk jadikan Iraq sebagai jajahan takluk
apakah Baghdad akan menjadi “kubur” penakluk
bila bangkit lima juta rakyat Iraq mengamuk

Rasulullah bersabda yang mafhumnya:
Pada akhir zaman nanti akan berlaku peperangan
demi peperangan demi peperangan
dan lihatlah hampir tidak dapat masuk
ke Iraq walaupun gandum secupak

Sabda Rasulullah yang mafhumnya:
Kamu akan berebutkan harta di Sungai Euphrates
sehingga 99 orang daripada 100 orang akan mati.

Sabda Rasulullah lagi yang mahfumya:
Sebahagian orang Islam akan bangun berperang,
mereka tidak takut mati, mereka semuanya hancur.
Sebahagian lagi bangun berperang,
mereka tidak takut mati, mereka semuanya hancur.
Lalu bangkit sebahagian lagi,
mereka tidak takut mati, mereka semuanya hancur.
Akhirnya pada hari keempat
bangun lagi umat Islam berperang,
mereka tidak takut mati, banyaklah yang hancur.
Hanya beberapa kerat yang menikmati kemenangan.

28 Mac 2003
Kuantan, Pahang



PAMFLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 10
Arisel ba

Memasuki hari kesepuluh bumi Iraq masih berdarah
Ratap tangis perempuan dan anak-anak berselisih
Dengan ledakan dan dentuman bom api penjajah
Lalu dikhabarkan 589 rakyat Iraq mati
Dan 4,582 rakyat Iraq cedera ngeri
Dakwa Amerika, 95 peratus ruang udara dikuasai
Sementara sepertiga bumi Iraq telah dijajah
Tetapi kenapa peperangan belum nampak akan berhenti
Walaupun tentera imperialis letih dan bosan membunuh
Akan didatangkan lagi 130,000 tentera tambahan
Apa percaturan sebenar wahai Bush durjana
Wahai Blair pakturut, apa muslihat disebalik peperangan ini

Wahai Euphrates dan Tigris, jika kau berhenti mengalir
mungkin esok Karbala tidak akan terbakar
dan peperangan dan pembunuhan akan selesai
kerana yang kalah jadi abu, menang jadi arang
Lalu apa yang tinggal selain nostalgia ngeri
Hanya airmata, bangkai mesin senjata perang
dan tulang temulang para mujahid yang berani

Firman Allah Yang Maha Berkuasa
dalam Surah at-Taubah, ayat 122, bermaksud :
“Dan tidak seharusnya orang beriman
semuanya berangkat bersama-sama (pergi berperang),
tiadakah dapat dari setiap bahagian mereka
berangkat satu kelompok
untuk memperdalam pengetahuan mereka
dalam agama, agar memberi peringatan
kepada kaumnya, bila mereka kembali
kepadanya, supaya menjaga diri? “



29 Mac 2003
Kuantan, Pahang


PAMPLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 11
Arisel ba

Karbala dan Najaf, antara kota suci
Disitu bersemadi makam waris nabi,
Akan bermandi darah para syuhadah
Bila mana bala tentera Amerika
Mula bergerak menyerang Baghdad.
Apakah ini tindakan genocide,
Ke arah pemusnahan bangsa Iraq dari bumi

Hari kesebelas Baghdad masih dibedil bom api
Meleburkan pasar awam dan pusat komunikasi
``Saya akan mati di negara ini,
mempertahankan maruah diperjuangkan selama ini,
demi rakyat dan negara,'' kata Saddam akhir Februari
. Saddam lebih rela mati di tanah air sendiri.

Takoma si ikan lumba-lumba terlatih
bertugas sebagai pemburu periuk api
tiba-tiba saja menghilangkan diri
mungkin Takoma juga sudah letih
tinggal Makai keseorangan di takungan sepi

Imbas kembali malam 25 dan 26 Februari,1991,
jet-jet pejuang tentera udara diterajui Amerika
mengganas di Lebuhraya Jahara Utara Kuwait.
Sewaktu konvoi tentera Iraq sedang berundur
Ramai tentera Iraq terkorban dalam peristiwa itu.
mayat-mayat rentung terkena bedilan jet pejuang,
kenderaan konvoi yang berkecai bergelimpangan
dan ada mayat yang diangkat guna bulldozer
Jumlah rasmi kematian tidak pernah dinyatakan

30 Mac 2003
Kuantan, Pahang



PAMFLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 12
Arisel ba

Percaya atau tidak, Amerika telah kalah
Kalah strategi hingga merealisasikan tragedi
Membunuh lebih ramai kanak-kanak dan wanita
Meranap lebih banyak rumah rakyat takberdosa
Takpercaya keperkasaan tentera Iraq lalu diperlekeh
Kalah dapatan risikan dengan maklumat tepat
Mengenai pemikiran rakyat Iraq yang taat
Dan kekuatan politik sebenar Saddam yang gagah
Percaya atau tidak, Amerika telah kalah
Rakyat Iraq hanya percaya kepada kekuasaan Allah

Sebelumnya Amerika mendakwa miliki bom pintar
Kenal sasarannya tetapi di bumi Iraq strategi penjajah
Tidak menjadi, apa terjadi hanya kemusnahan besar
Bandar dan desa selepas 9,000 bom diledakkan

Di medan pertempuran memasuki hari keduabelas
Bekalan perang tentera Amerika semakin berkurangan
Manakala tentangan tentera Iraq lebih hebat dari jangkaan

Sabda Muhammad S.A.W mahfumnya:
Semua anak Adam akan berubah
Dari muda menjadi tua
Dari elok menjadi rusak binasa
Kecuali rasa tamak dan angan-angan

Rasa tamak dan angan-angan
Adalah perangai Bush dan Blair
Berwajah mulia tidak berhati perut
Allah hu akbar!, Allah hu akbar!

31 Mac 2003
Ilham Resort and Training Centre,
Port Dickson.

PAMFLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 13
Arisel ba

Memasuki hari ketigabelas, Iraq masih dibom penjajah
Dengan 1,800 bedilan peluru dan bom ke arah
tentera Iraq yang bertahan dengan gagah
kegemparan, kebakaran dan tangisan belum ada penyudah
Iraq mendakwa 589 orang awam terbunuh
Dan 4,582 rakyatnya takberdosa cedera sengsara pasrah
Allah tetap dipihak makhluknya yang teraniaya, percayalah

Ibu segala bom singgah di Baghdad, Mosul dan Kirkuk
Di Nasiriyah, 12,000 tentera Amerika bersedia untuk
Membunuh orang tua, wanita dan kanak-kanak
Di Basra, darah masih mengalir, api sengketa memuncak

Kupingku terdengar suara ribuan rakyat Iraq takberdosa
Kudengar Radhi Jaafar membaca puisinya:
jalan merah menyala memotongku
dan aku memotong jalan tanpa kuda
tanpa harta
tanpa bekal
para eksodus yang fakir
terbakar di bawah
matahari musim panas di jazirah tandus

Radhi Jaafar membaca lagi puisinya yang lain:
kefakiran ini nyaris menjelma
kekafiran
cinta nyaris menjelma
kefakiran
mimpi kita nyaris tidak ada


1 April 2003
Ilham Resort and Training Centre
Port Dickson

PAMPLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 14
Arisel ba

Lihatlah kekejaman tentera Amerika di Hilla
Bila 15 sekeluarga mati ditembak dari Apache
Dan yang masih hidup tidak tahu lagi
Bagaimana hendak menangis, kering sudah airmata
Di Najaf, 15 kanak-kanak dan wanita dalam sebuah van
Ditembak dengan meriam kereta kebal, berkecai
Apakah ini namanya pembebasan atau keganasan

Memasuki hari keempatbelas, Baghdad terus dibom
Lima juta rakyat Iraq rela mati bersama Saddam
Sedang panglima tentera Amerika dengan angkuh
Berkata: biar berjuta mati bergelimpangan, banjir darah
Baghdad pasti ditawan dan Sadam akan dibunuh kejam

Ketika bumi Iraq digoncang puluhribuan ledakan
Tatkala anak-anak sekarat dengan maut kecederaan
ada jerit ketakutan menatap dan meratap kematian
Mungkin Radhi Jaafar sedang membacakan
Satu bait puisinya ‘Mencari Nihil’:
jangan senang dengan musibahku
pusing adalah awal penciptaan
dan penciptaan adalah setetes kegilaan

Melalui Balada Ibnu Zuariq berisi pasrah dan tangisan
Radhi Jaafar menjeritkan nurani rakyat Iraq ingin
melawan keadaan rakyat dan negaranya tertekan
dia mencibir rakyat Iraq yang takmahu melawan
penindasan Amerika dan pakatan syaitan
Radhi Jaafar dalam ‘Tamarrud atau Pemberontakan’
Membacakan dengan penuh perasaan:
aku heran pada orang yang berjaga dengan lapar
dan tidak menghunuskan senjata pada
pembunuhnya yang berbadai
dan memegang pedangnya yang
matanya berbalut
api

2 April 2003
Ilham Resort and Training Centre
Port Dickson

PAMFLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 15
Arisel Ba


Aku merasai tubuhmu Baghdad penuh ketenangan
Bercerita tentang Kota Seribu Satu Malam
Walaupun dadamu lebur ranap seharian dibom
Penjajah bagi merobohkan mitos sebuah tamadun
Aku di sini setia merenda puisi sejarah dendam

Setiap hari aku membaca cerita musibah mangsa perang
Penceroboh gelojoh menulis sejarah berdarah peluru jalang
Strategi perang penuh tipu muslihat antara kalah menang
Aku merasai tubuhmu Baghdad resah gelisah dalam tenang
Mampukah aku terus menggali riwayat dan jejak perang

Memasuki hari kelimabelas, manusia Iraq terus sengsara
Dicatat 691 wanita, kanak-kanak dan orang tua mati sia-sia
Manakala 5,103 lagi rakyat Iraq mati syahid untuk negara.
Lalu mampukan Baghdad bertahan dengan perkasa
Dari pencerobohan Amerika yang sedang dirasuk gila
Dengan 800,000 militia Saddam gagah bersenjata
Melindungi lima juta rakyat yang patuh dan setia

Saddam menyeru rakyat Iraq melawan kemaraan
Tentera Amerika yang ganas dirasuk syaitan
”Tentang penceroboh sekalipun dengan tangan.”


3 April 2003
Ilham Resort and Training Centre
Port Dickson

PRAHARA DI PADANG KARBALA
Arisel ba

Mereka tidak tahu bila akan berhenti ribut pasir yang memedih mata, mentari bila akan berhenti menikam silau pijarnya mengering tubuh, dan ledakan bom api yang menghancurleburkan itu di Karbala: mereka hanya berbisik dengan sepatah kata; tidak tahu!

Perempuan dan bocah Karbala tiba-tiba saja mahu menjadi prahara, mentari dan bom api supaya dapat menghalang penceroboh yang beraja di mata, bersultan dihati, tetapi apa yang terdaya selain doa, hanya mengharapkan kesaktian dari Allah Yang Maha Berkuasa: selain itu, mereka dengan tenungan mata yang layu hanya rela menanti peperangan ini ditamatkan; mungkin!

Jika boleh ditakung airmata perempuan, bocah dan warga tua mungkin seluas gurun pasir di Karbala, sedang di depan mata mereka masih menatap tubuh ayah, abang, saudaranya berkecai, darah menguncur arus dan para syuhadah bergelimpangan tanpa pusara: bila ditanya, mereka menjawab, entah bila?.

Sedang aku di sini tidak setahu mereka mencuil kisah tentang dirimu, perempuan, bocah, warga tua: Prahara di Padang Karbala berbaur dendam dan darah: apakah mimpi masih singgah dalam tidur mereka?

Sampai bila api membakar Karbala akan padam, bila padang-padangmu yang hangus gersang akan menghijau dan pastikah aku akan menatap wajah ceria perempuan, bocah, warga tua: bisik salah seorang dari mereka: Prahara di Padang Karbala telah kembali reda, bolehlah kami mula tersenyum dan tidur dengan lena bermimpikan lagenda ‘Cerita Seribu Satu Malam’ dalam versi pasca perang...

4 April 2003
Ilham Resort and Training Centre,
Port Dickson, Negeri Sembilan, Malaysia

PAMFLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 16
Arisel ba

Bom, bebunuhan, dan cedera adalah mainan peperangan
Saat-saat menegangkan itu akan tiba
Baghdad pernah melahirkan peradaban tinggi
Dan kemasyhuran ilmu pengetahuan itu
Pasti segera dipenuhi deretan mayat di pinggir jalan
Dan tumpukan puing-puing kehancuran
Dunia akan melihat drama mengharukan,
Ribuan orang akan berjuang demi negara mereka,
Meskipun nyawa menjadi taruhannya

Memasuki hari keenambelas Iraq diceroboh Amerika
Aksi-aksi bom syahid mula menakutkan penceroboh
Yang akan tiba memasuki gerbang kota Baghdad
Ribuan orang Iraq sudah siap menjadi syuhadah
Daripada hidup mewah di bawah kuasa penjajah
Orang-orang Iraq siap bertempur dari segala lini

Setiap masjid disegenap pelusuk bumi bersolat hajat
Seluruh umat Islam berdoa selepas solat Jumaat
''Ya Allah, Yang Maha Perkasa dan Berkuasa
Berilah kemenangan kepada hamba-hamba-Mu
Yang mengagungkan asma-Mu dan zat-Mu
Hancurkanlah musuh-musuh Islam dan musuh-Mu
Kaum Yahudi laknat itu mendalangi keganasan Amerika
Menceroboh, membunuh dan bersikap kejam di bumi Iraq
. Janganlah engkau tinggikan bendera musuh-musuh-Mu
Ya Allah, Ya Rabulul-Amin”.

Firman Allah melalui al-Quran kitab suci
Ayat 186 surah al-Baqarah:
``Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya
kepadamu mengenai-Ku, sesungguhnya
Aku sangat dekat (dengan mereka).
Aku memperkenankan doa-doa orang yang berdoa
apabila dia memohon kepada-Ku.
Sebab itu hendaklah mereka meminta kepada-Ku
dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku.
Mudah-mudahan mereka mendapat petunjuk.''

4 April 2003
Ilham Resort and Training Centre,
Port Dickson


PAMFLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 17
Arisel ba

Saddam, lihatlah ranapnya istana-istana mewahmu
Ketika kau mengatur strategi bangkit dari belenggu
Matarantai sengsara duabelas tahun memendam malu

Saddam, mungkin kau lupa untuk melangkah arah
Mencari jalan pulang ke desa di mana kau pernah
Diasuh persekitaran mengajar kau makna taubah

Saddam, keluarlah kau dari jubah peradaban silam
Dan ayun langkah memutari Baghdad waktu malam
Mendekap hirukpikuk ratap tangis akibah dendam

Saddam, kini bukan masanya memakai jubah kalis peluru
Ribuan mayat syuhadah bergelimpangan di setiap penjuru
Dan usah lagi kau mempertemukan benar dan palsu

Setelah memasuki hari ketujuhbelas, kubumu terus digegar
Baghdad digempur tiga arah, penembak tepat mencari sasar
Mampukah bertahan, di jalan-jalan peluru bersimpangsiur


5 April 2003
Kuantan, Pahang



PAMFLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 18
Arisel ba


Tentera-tentera Bush dan Blair bagai superman
Memasuki hari kelapanbelas bagai dirasuk syaitan
Membunuh bocah-bocah Iraq takberdosa, pembantaian!
Amat dukacita, bau hanyir darah, daging berkecai
Ada pecah kepala, kudung kaki dan tangan, perut terburai
Bayangkan apakah semua kekejaman ini harga pembebasan
Bocah-bocah Iraq dilubangi peluru ganas, luka dan mati
Lalu jadi mayat dengan ulat-ulat menggeliat, aduhai ngeri
Di Basra, Nassiriya, Karbala, Baghdad, Mosul dan di jalan-jalan
Inikah harga kebebasan bersalut kengerian?

Ini bukan mimpi di hitam malam tapi tragedi ngeri
Di mana kerakusan nafsu buas Bush dan Blair
Membunuh dan menyembelih bocah-bocah Iraq
Sedang aku hanya mampu menulis sajak duka
Sajak ini jadi nisan tanpa nama bocah-bocah Iraq

Firman Allah, dari al-Quran surah Ali Imran, ayat 123:
“Dan sesungguhnya Allah menolong kamu mencapai
kemenangan dalam peperangan Badar,
sedang kamu berkeadaan lemah
(kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang).
Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah,
supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).”

Firman Allah, dari al-Quran surah Ali Imran, ayat 160:
“Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan,
maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu;
dan jika Dia mengalahkan kamu,
maka siapakah yang akan dapat menolong kamu
selepas Allah (menetapkan yang demikian)?
Dan (ingatlah), kepada Allah jugalah hendaknya
orang yang beriman itu berserah diri.”


6 April 2003
Kuantan, Pahang


PAMFLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 19
Arisel ba


Saddam, berita kematianmu sedang meledak seluruh
Selain kematian Uday dan Qusay dengan memegang teguh
Panji-panjimu Iraq, ruhku masih menyebut nama-nama jaguh
ketika jasad tak lagi bernyawa dan tidak lagi melenguh aduh

lalu di sini aku berdoa selepas solat hajat dan percaya
pejuang-pejuang Iraq menang dalam kematian berencana
dalam gegak gempita pengeboman ibu segala bom api sengketa
sedang roh pejuang-pejuang syuhadah melayang-layang
dan memberi tafsir dari balik awan hitam siang persis malam
menerka-nerka jasad siapa mati bergelimpangan di jalan-jalan,
di runtuhan bangunan dan di kubu kebal di kakimu Baghdad
entah keringat siapa membasahi mega, suara kesakitan terpalar
mengotori embun dalam sejarah panjang dikota seribu satu malam
luka dari tersayat daging bocah, perempuan dan orang tua sengsara
kerana cakaran peluru dan bom buatan Amerika yang kejam

doaku selepas solat hajat menerobos pekikan binal kesakitan
tersangkut jauh disudut-sudut hati umat Islam sedunia
doaku selepas solat hajat hanya sampai disini

firman Allah dari surah Bani Israel, ayat 58:
“Tidak ada satu negeri pun yang tidak kami binasakan
sebelum hari kiamat, atau kami azab negeri itu dengan
azab yang sangat. Yang demikian sudah
termaktub dalam ketentuan Kami,”

Firman Allah dari surah at-Taubah, ayat 25:
“Sesungguhnya Allah menolong kamu mencapai
kemenangan dalam banyak medan perang dan
dalam Perang Hunain, iaitu ketika kamu megah
dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka
bilangan ramai itu tidak mendatangkan faedah
kepada kamu sedikit pun; dan (ketika kamu berasa)
bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu;
kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.”

7 April 2003
Kuantan, Pahang


PAMFLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 20
Arisel ba


Di dalam solat hajat entah rakaat ke berapa aku menitipkan
Ribuan roh saudara-saudaraku warga Iraq dengan
Puluhan doa ke hadrat Allah: selamatkan kalian
Dari ribuan peluru ganas dan ribuan lagi bayonet syaitan
Memburu dada, menerkam jasad moga kita tetap berjiran
Dengan tersemat di dada kita dua kalimah syahadat
moga terus berdiri tegak dengan panji-panji penuh suci kalimat.
Biarpun peluru syaitan dan bom api masih memburu kalian
Teruskan berzikir dan tengadahkan wajah dalam berdoa, teruskan
Perjuangan biarpun ribuan senjata cangih menyerbu seluruh
Tubuhmu yang tetap setia menggalas panji-panji suci kalimat,
Pasti Allah akan menurunkan malaikatnya memelihara iman kalian

Di bumi Iraq, hujan air mata tidak akan reda
Dan entah berapa lama sengsara, tetaplah pasrah,
Biarpun hujan darah saudara-saudaraku mengalir deras,
Memerahi Euprates dan Tigris, akan tumbuh ombak keras
Menggulung penceroboh berhati iblis berwajah pembebas

Memasuki hari keduapuluh, bumi Iraq masih kebakaran
Dan kematian demi kematian setiap hari-hari peperangan
Akan menjadi gerbang menuju kesucian iman
Nantikan dari keizinan Allah bahawa seluruh impian
Akan menjadi nyata janji Allah untuk yang beriman

Percayalah bahawa tidak ada bahagia setiap kematian
Demi cintamu warga Iraq kepada negaramu, kalian
Terus hadapi masa depan dengan penuh keimanan

8 April 2003
Kuantan, Pahang


PAMFLET ( USA + UK ) Vs IRAQ 21
Arisel ba

Peta Iraq berteriak kepada warga dunia
Minta ditelusuri Baghdad, Mosul, Basra,
Umm Qasr, Nassiriyah dan Karbala dan lihatlah..

Lalu peta Iraq tertulis dengan merah darah
Air sungai Eufrates dan Tigris yang pasrah
Ketika ribut pasir berdebu mengotori wajah
Di negeri lagenda Seribu Satu Malam ini
Berdentuman gemuruh seribu satu bom api
Selama duapuluhsatu hari mendengar cerita ngeri
Lagi menyedihkan dengan perempuan dan bocah mati
Inikah gerakan pembebasan memperaga kekuatan
berlayangan ratus ribu peluru berpandu dan bom api
Warga Iraq bergelimpangan, luka merana, mati sia-sia

Allah berfirman dalam al-Quran, surah Ali Imran ayat 170:
``Mereka dalam keadaan gembira disebabkan kurnia
Allah yang diberikan-Nya kepada mereka, dan mereka
bergirang hati terhadap orang-orang yang masih tinggal
di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa
tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula)
mereka bersedih hati.''.

Perang telah tamat, dendam terus tersemat
Lalu selepas menelusuri peta Iraq dan melipat
Aku merumus dengan hati yang amat rawan
Demi kebenaran memang perlu kekuatan
Demi kedamaian memang perlu peperangan
Demi kehidupan memang perlu kematian


9 April 2003
Kuantan, Pahang




Sunday, June 15, 2003
 
BIOGRAFI PENYAIR
buat: arisel ba

Puisi telah mengalir dalam tubuh
Sebagai darah
Helaan napas
Ketukan jemari
Menuju Yang Satu: Allah
Di balik kata ada hikmah
Asam garam kehidupan
Juga kenangan pada: nenek, ibu, ayah dan guru
Ada seorang menulis sajak
Ia menuliskan hidupnya yang puisi

depok, 1999

Nanang Suryadi



AKU DALAM SAJAK 1
Sajak arisel ba

O. Pernah suatu hari aku bertanya diri
taksa sungai dalam sajak-sajakku
Arusnya adakah 6,666 saraf darah. Merah
Sedang aku diajar surah Asy-Syu'ara ayat 224:
"Dan para penyair, Mereka diikuti orang-orang tersesat."
Dan sesekali aku mendongengkan sajakku
Tiap aksara aku cernakan musik bahasa
Intuisi hati dan akal, menjaring diksi,
Estetika gurindam seloka diri
Dan aku acap diberi peringatan
Dari surah Asy-Syu'ara ayat 225 - 226:
Tidakkah kau lihat bahawa mereka
mengembara di setiap lembah.
Dan bahawa mereka mengatakan
apa yang tiada mereka kerjakan?"
Makna berlapis kutusuk ke mata
Makna berlapis kutusuk ke mayapada
Aku masih bermuhasabah diri
Mempersoalkan dongengan masakini
taksa saraf darah. Kenapa merah?
Sedang jawabnya aku temui
Dari surah Asy-syu'ara ayat 227:
“ Kecuali (penyair) yang beriman
dan beramal salih, Banyak mengingat Allah
dan hanya membela diri sesudah dizalimi,
mereka yang zalim akan mengetahui,
Bagaimana jadinya kesudahannya.”
O. taksa 6,666 saraf darah ditubuhku:
Berdenyut nadi memberi perkhabaran
Semasa qiamulail aku muhasabah diri
Menafsir makna berlapis kutusuk ke mata
Menafsir makna berlapis kutusuk ke mayapada
Tiba-tiba marah! Murkakah Allah?

8 Ogos 1999
Sanggar Cempaka
Kuantan




AKU DALAM SAJAK 2
Sajak arisel ba

Suatu hari aku bacakan
Beberapa kitab muktabar kepada anak-anakku:
Ayusyeila Zulaikha, Aniqahana Zarifawarda
Azuan Zulhibri, Azreena Zahira, Azmeer Zuljufri
Asra Zuliafiri dan Arief Zulhafizi
Tentang alam nyata dan alam ghaib
Tentang rezeki, jodoh pertemuan dan mati
Adalah urusan Allah Taala semata
Antara pesan ayahku yang membius aku
Sebelum beliau menemui Allah yang satu
Katanya: Nipiskanlah tamak halobamu
Dan singkatkan angan-anganmu
Lalu aku berkata kepada anak-anakku
Persis Luqman al-Hakim ra: Hai anakku
Dunia itu adalah lautan
Manakala iman bagaikan perahu
Pelautnya adalah ketaat-setiaan
Dan pantainya bagaikan akhirat
Dan kata ayahku yang terakhir
Sebelum dia menemui Allah:
Kehidupan itu. Adalah kehidupan akhirat
Lalu aku bacakan surah As-‘Asr, ayat 1 – 3:
Kepada tujuh anak-anakku:
“ Demi masa. Sungguh, manusia dalam kerugian
Kecuali mereka yang beriman
Dan melakukan amal kebaikan,
Saling menasihati supaya mengikuti
Kebenaran. Dan saling mensihati
Supaya mengamalkan kesabaran.”

10 Ogos 1999
Sanggar Cempaka
Kuantan


AKU DALAM SAJAK 3
Sajak arisel ba
Hari ini hari ingat beringat
Kerana 46 tahun yang lalu
Aku dilahirkan dari faraj ibu
Dan selepas aku belajar bernafas
Ibuku diceraikan ayahku talak satu

Lalu aku dibesarkan oleh nenek
Diajarkan aku bahasa alam yang cantik
Diasuhnya aku supaya menjadi cerdik
Diperingatkan aku setiap hari
Sebagaimana katanya setiap kali:
Sesiapa yang tidak kenal takdir dirinya
Nanti takdir itu akan mengenalkan
Takdir yang ditentukan ketakdirannya

Hari ini aku seusia 46 tahun
Di sujud sajadah aku bersyukur pada-Mu
ditakdirkan aku mengahwini Selamah
Telah melahirkan tujuh zuriatku dari farajnya

Selepas subuh, hari ini
Isteriku membisikkan berahinya kepadaku
Dan melafazkan salam ukhuwah:
Selamat Hari Ulang Tahun ke 46…along
Semoga api cinta kita tetap membara
Walau hujan atau panas di rumah kita
Kita harus sabar, cekal dan tangkas
Melayari perahu balang
di lautan kehidupan berpancaroba

Dan setiap kali aku mencari diri
Menyelami 6,666 saraf manusiawiku
Terpukau aku dengan firmanMu, ya Rahman:
Maka sesungguhnya pengikut (agama)
Allah itulah yang pasti menang
Sebagaimana aku bacakan
surah Al-Ikhlas ayat 1 – 4:
“ katakanlah, Ialah Allah yang mahaesa
Allah yang kekal tempat meminta
Tiada ia beranak dan tiada ia diperanakkan
Tiada sorangpun yang sama dengan-Nya.”

11 Ogos 1999
Sanggar Cempaka,
Kuantan




AKU DALAM SAJAK 4
Sajak arisel ba

Aku memasuki mimpi yang panjang
Ketika hujan lebat bulan Ogos
Dan aku temui masa silamku
Ketika masih bersekolah menengah
Belajar dan diajar menjadi penyair
Kitaran mimpi itu tiba-tiba mengumpul kelam
Dan kelam itupun menutup pintu sejarah
Sejarah tidak pernah berbohong akan fakta
Fakta kadangkala terbius antara mitos dan realiti
Akukah yang keluar dari mimpi yang panjang
Ketika hujan lebat bulan Ogos?
Tatkala aku terjaga dari tidur
Isteriku memberitahu bahawa mulutku
Telah melafaz hadis Nabi Muhamad saw:
Apabila kamu masuk waktu pagi
Maka, janganlah kamu bicara nafsumu
Dengan waktu petang
Dan apabila kamu masuk waktu petang,
Maka, janganlah kamu bicara
Kepada nafsumu dengan pagi
Sesungguhnya kamu tidak mengetahui
Apakah namamu pada hari esok
Lalu aku bangkit melihat wajahku di cermin
Dan berkata-kata kepada diriku:
Apakah aku seorang penyair…

22 Ogos 1999
Sanggar Cempaka
Kuantan, Pahang, Malaysia
AKU DALAM SAJAK 5
Sajak arisel ba
Hari ini aku membaca diri balam berbalam
Mencari kekuatan dan kelemahan ragam
Dan akupun menjejajah masa silam
Ketika aku menjadi seorang aktivis
Aktivis sastera dan budaya yang etis
Aku membaca kembali segalanya
Aku membaca kembali segalanya
Akukah pemendam rasa, perajuk dan pendendam
Selama sepuluh tahun menjadi kuda hitam
Berlari tangkas membina martabat marga
Tanpa mengira kritikan atau pertikaian idea
Sehingga aku lelah, pandir dan kecewa
Atas gelagat segelintir oknum yang khisit
Sementara aku selalu diperingatkan:
Jadilah kamu di dunia
Seperti orang yang mengubati lukanya
Dan sabar atas pahitnya ubat
Dengan harapan hilang cubaannya
Dan ayahku sering membacakan kepadaku
Surah An-Nas, ayat 1 – 6:
“ Katakalah, Aku berlindung kepada Tuhan
(Penguasa segala) manusia,
Raja segala manusia, Tuhan segala manusia
Dari kejahatan (syaitan), penggoda yang
Bersembunyi (Bila mendengar nama Tuhan)
Yang berbisik-bisik dalam hati manusia
Baik ia jin mahupun manusia.”
25 Ogos 1999
Sanggar Cempaka,
Kuantan, Malaysia



AKU DALAM SAJAK 6
Sajak arisel ba

Mencari, membina dan menjana jatidiri
Adalah prasarana seorang pemuisi
Begitu juga aku yang kecanduan puisi
Keterasinganku memantap keintelektualanku
Memasuki dimensi mematangkan peribadiku
Mencari, membina dan menjana jatidiri
Adalah bagai belayar di lautan misteri
Adakalanya menghairahkan nafsu intelektualis
Dan lebih hebat ketika menafsir mimpi ngeri
Jatidiri adalah realiti eksistensi diri yang etis
Selalu dicabar dan diadili nurani sendiri
Aku bukan Nietzsche memasuki dimensi ‘la illah’
Pencarian jatidiriku mengarah dimensi ‘ilallah’
Aku selalu diperingatkan oleh ibuku
Akan firman Allah melalui At Talaq: 2-3
“ Barang siapa yang bertakwa kepada Allah
nescaya Dia akan mengadakan baginya
jalan keluar. Dan memberinya rezeki
dari arah yang tiada disangkanya.”

26 Ogos 1999
Sanggar Cempaka,
Kuantan, Pahang, Malaysia




AKU DALAM SAJAK 7
Sajak arisel ba

Ustadz Idris pernah memberi pendapat
Semasa aku bersekolah di tingkatan empat
Dia mencuplik pidato keramat
John F. Kennedy, Presiden Amerika Syarikat:
“ bila dunia politik menjadi kotor
puisi yang mampu membersihkannya.”
Ustadz Idris memberikan aku semangat
Sebuah mesin taip royal yang berkarat
Dengan memotivasikan aku, dan berkata:
Menjadi penyair bagaikan manusia etis
Mesti berhati lembut disebalik berwajah keras
Membina kematangan intelek dan nilai budi
Menjana kematangan emosi peribadi
Lalu akupun belajar dengan alam dan manusia
Membaca potret realiti kehidupan penuh filosofi
Mengungkap diksi dalam musikalisasi bahasa
berimajinasi mengembalikan makna kata logika
Memantap hati dalam kebeningan katarsis puisi
Dan sebelum aku menamatkan sekolah menengah
Ustadz Idris sekali lagi berpesan dan bermadah
“ lamak diawak katuju urang…
raso dibao naik, pareso dibao turun.”
Dan aku diperingatkan lagi:
Kata-kata Rasulullah kepada Abu Zar,
“ andaikata gunung Uhud itu menjadi emas
dan meminta supaya aku memilikinya,
pasti aku menolaknya.”
27 Ogos 1999
Sanggar Cempaka
Kuantan









AKU DALAM SAJAK 8
Sajak arisel ba

Masa silamku adalah sebuah biografi digital
Menjadi nostalgik diri bila hati merasa bebal
Selalu aku lawati laman-laman peristewa
Dalam jaringan peribadi di pilar-pilar minda
Ada cerita duka, ada sejarah ngeri, ada kisah ria
Masa silamku adalah sebuah buku sejarah
Dan kini aku masih menempa dan mengolah
Sejarah diri yang dhaif ini mencari jalan pulang
Doaku bagaimana firman Allah dalam al-Fatihah: 6 – 7;
“ Bimbinglah kami ke jalan yang lurus lempang.
Jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat
Bukan orang yang Engkau murkai,
Dan bukan orang yang sesat jalan.”
Ada cerita duka, kata nenek kepadaku:
Seusia 44 hari, ibuku diceraikan oleh ayahku
Dan aku bersama ibu menanggung sialan itu
Kerana ayahku berkahwin lain hasutan nafsu
Dan nilai ini mengasuh aku menjadi pendendam
Ada cerita ngeri, kata ibu kepadaku:
Semasa aku bersekolah dalam tingkatan lima
Aku dan nenek seperahu karam di Sungai Jelai
Namun aku berjaya selamatkan nenek dan buku-buku
Kecuali kad pengenalanku dihanyutkan arus sungai
Ada cerita ngeri kata isteri kepadaku:
Semasa mata kiriku dibedah, aku pasrah
Bila tabung oksigen di hospital Kuantan menjadi kosong
Aku terlantar lapan jam antara bernyawa dan maut
Isteriku meratap tanpa henti bimbang menjadi janda
Anak-anakku berdoa agar mereka tidak hilang bapa
Ada kisah ria kataku kepada diri yang dhaif ini:
Segera melayari laman-laman peristewa
Masa silam, masa kini dan masa mendatang
Kerana di dalam sebuah biografi digital
Dimensi ‘ilallah’ adalah ilmu dan kalamullah
Untuk tidak sesat dalam mencari jalan pulang
Aku tidak akan leka dan tidak mahu menjadi bebal
Lalu aku seringkali diperingatkan nenek.
Akan firman Allah dalam surah al-Ankabut: 69;
“ dan orang-orang yang berjihad
untuk (mencari keredhaan} Kami,
benar-benar akan Kami tunjukkan
kepada mereka jalan-jalan Kami.”
29 Ogos 1999
Sanggar Cempaka, Kuantan





AKU DALAM SAJAK 9
Sajak arisel ba (Malaysia)
Bila setiapkali bulan Ogos tiba
Aku selalu diberitahu oleh ibuku
Tentang manusia dibelenggu nafsu
Selagi iblis masih memegang sumpahnya
Selagi itu diri manusia belum merdeka
Dan ibuku seringkali berkata:
Subari, engkau belum lagi merdeka?
Walau bumi pusaka ini 450 tahun diinjak penjajah
Ogos tigapuluhsatu sembilan belas lima puluh tujuh
Bergema suara YTM Tengku Abdul Rahman Putra
MERDEKA!… MERDEKA!… MERDEKA!…
Subari, engkau belum lagi merdeka?
Subari, engkau belum lagi merdeka?
Selagi engkau belum mengenali hawa nafsumu
Lima itu, sebelum lima
Sebagaimana sabda Rasullah SAW kepada Abu Zar:
Gunakan lima sebelum tibanya lima
Gunakan masa mudamu sebelum tuamu
Dan masa sihatmu sebelum sakitmu
Dan kekayaanmu sebelum miskinmu
Dan kesempatanmu sebelum sibukmu
Dan hidupmu sebelum matimu
Hari ini aku diperingatkan lagi:
Subari, engkau belum lagi merdeka?
Kerana sesungguhnya hawa nafsu itu
Menjadikan raja itu hamba
Dan sabar menjadikan hamba itu raja
Sabda Rasullulah saw yang kucuplik:
Ada tiga perkara membawa kecelakaan
Pertamanya, tersangat bakhil
Kedua, mengikut hawa nafsu
Ketika, kagum dengan diri sendiri
Lalu aku bertanya diriku:
Apakah aku berada dalam dimensi ‘la illah’
Atau sudahpun memasuki dimensi ‘ilallah’
Apakah benar aku belum lagi merdeka
Dari godaan iblis dan belenggu hawa nafsuku
Aku pasrah, jauhi aku dari i’jaab bi an-nafsi

31 Ogos 1999
Sanggar Cempaka, Kuantan


AKU DALAM SAJAK 10
Sajak arisel ba (Malaysia)
Hari ini aku kali berkali menjelajah diri
Memahami arus darah dalam saraf batini
Kebaikan diri tak ditempa semudah menulis puisi
Kejahatan peribadi firasatnya boleh dibaca di wajah
Kerana itu aku diperingatkan selalu, tergiang-giang
Oleh ibuku tentang pepatah moyangku di pagarruyung:
‘ kerbau berkandang, emas berpura
lambat laga asalkan menang
laut tidak membuang sungai, rimba tidak membuang latah
lemah diraih, pantai di titi ’
manakala aku sering memperingatkan anak-anakku,
‘ jangan menjadi, “bagai ular dengan orang”,
jadilah, “ bak ayam pulang kepautan”.
Kebaikan diri tak ditempa semudah menulis puisi
Kejahatan peribadi firasatnya boleh dibaca di wajah
Hari ini aku menjelajah setiap benang saraf diriku
Menjadi insanulkamil mengejar zilullah
Kembara diri dalam sunyi berzikir dan pasrah
Aku diperingatkan akan firman Allah:
Al-Jumuah: 5, “ …Adalah seperti keldai
yang membawa kitab-kitab yang tebal.”
Kebaikan diri tak ditempa semudah menulis puisi
Kejahatan peribadi firasatnya boleh dibaca di wajah

9 September 1999
Sanggar Cempaka,
Kuantan.






AKU DALAM SAJAK 11
Sajak arisel ba (Malaysia)
Hari ini aku memacak rindu diperdu bumimu
Bukit Fraser yang setia membungkus sejarah
Bangsaku terjajah tujuh puluh tujuh tahun silam
Dari pujukrayu Inggeris dengan keju, wine, dan karam
Dalam serakah nafsu kebendaan dan hiburan haram
Lalu aku diperingatkan tentang pengisian kemerdekaan
Mempertahankan hak istimewa Orang-Orang Melayu
Memartabatkan bahasa ibunda, Bahasa Melayu
Memperkukuhkan sosiopolitik ketuanan Melayu
Demi masa depan anak bangsaku berwawasan
Dalam aku menggigil kesejukan udara dinginmu
Bukit Fraser yang setia menyimpan pelbagai kisah
Akalku dihentak dengan tutur Melayu malas, bodoh,
Rendah diri, berfoya, cinta tidur, mengamuk dan latah
Sehingga gagal mengucapkan tahniah kepada diri sendiri
Aku berjanji dengan diriku sendiri selepas muhasabah diri
Setiap selesai solat subuh aku akan mengucapkan rasa syukur
Dan memberi tahniah kepada diri selagi jantungku berdegup
Dan masih ada sisa-sisa usiaku, akan kuisikan kemerdekaan ini
Dengan mengukuhkan jatidiri dan ketuanan bangsaku
Lalu aku menghafal bimbingan dari al-Ghazali
Tentang falsafah menjadi khalifah di bumi
Perlukan kebijaksanaan, kekuatan mengawal nafsu,
Iktidal dan sentiasa berlaku adil baik dalam tutur kata
Dan tingkah laku dengan mendisiplinkan diri sendiri
Alahai akal, hai diri, dengarkan firman Allah
Sebagaimana firmanNya dalam surah al-Raab:11
‘ sesungguhnya Allah tidak merubah
keadaan suatu kaum sehingga mereka
merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.’

16 September 1999
Bukit Fraser, Pahang









AKU DALAM SAJAK 12
Sajak arisel ba
Aku diajar ibu makna bersyukur
Sejak aku mula belajar berlunjur
Dan kata ibu kepadaku selalu:
Subari, kamu memiliki hatiku
Keras dan berani mewarnai kehidupanmu
Kamu memiliki akalku
Pintar dan licik memikir masa depanmu
Kamu memiliki nafsuku
Lembut dan berjiwa besar adalah jatidirimu
Setelah dewasa aku memahami segalanya
Apa yang aku miliki dalam diriku
Hati, akal dan nafsu, aku pasrah takdir Allah
Bila aku menikahi Selamah tercinta
Mampu memberikan aku tujuh zuriat dari benihku
Dengan izin Allah aku memahami keluargaku
Dengan izin Allah aku menjana alhamdulillah
Ibu selalu membaca surah al-Baqarah, ayat 155:
“Dan sungguh akan Kami berikan
Cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan
Kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan.
Dan berikan khabar gembira
Kepada orang-orang yang sabar.”
Akupun selalu sujud kepada Allah
Setiap kali aku mengenal Awalluddin Makrifahtullah
Menelefon setiap hari dengan 24434
Dalam sujud menyatakan syukur alhamdullilah
Aku percaya adanya Allah penguasa seluruh alam
Jazam yang qat’i, selari dengan yang sebenar
Mesti ada dalil, akal yang sempurna
Akupun selalu sujud kepada Allah
7 – 9 Oktober 1999
Lanjut Golden Beach Resort,
Kuala Rompin, Pahang








AKU DALAM SAJAK 13
Sajak arisel ba
Aku berdoa setiapkali selepas solat
mohon keampunan-Mu, ya Allah moga berkat:
''Ya Tuhanku, berilah aku ilham yang jernih
untuk mensyukuri segala hadiah nikmat-Mu
yang telah Engkau anugerahkan kepadaku
dan kepada ayah dan ibuku,
rajin mengerjakan amal saleh yang diredhai,
berilah kekuatan akal berbuat baik kepadaku
dengan memberi kebaikan kepada anak-cucuku.
sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu,
Dan sesungguhnya aku termasuk
golongan orang-orang yang pasrah diri.''
Aku berdoa merentasi hakikat kehidupanku
diajarkan oleh kitab Allah SWT kepadaku
doa sarat makna penuh keterbukaan
dan keinsafan akan jasa bakti ayah dan ibuku
perjalanan hidupku penuh pancaroba masa kini,
dan wawasan kesejahteraan anak-cucuku
inilah doa keselamatan dalam menjalani kehidupan
hingga cukup bekal pengalaman dalam diriku
serta berkesempatan untuk menatar ulang
setelah melihat halangan dan jatidiriku
inilah doa penuh permohonan kepadaMu, ya Allah,
penuh kesyukuran kepadamu ya Rabbi,
dan penuh pertaubatan dilantunkan
dengan khusyuk, intim, dan sepenuh jiwa
oleh aku yang sedar usia, posisi, peranan,
peluang, serta hakikat kehidupanku
sesungguhnya ketika menapak jalan hidupku
dalam usia 46 tahun ini telah tiba
aku dalam fasa kearifan menjana kehidupan
kemuncak fasa fizikal sudah aku lalui,
simpangan jalan kehidupan sudah aku ketahui,
derita dan bahagia sudah aku alami,
serta jalur, rambu, dan lapis-lapis kehidupan
sudah telus bagi mata batiniku
pada usia ini aku mampu mengukur tepat
kekuatan dan kelemahan diriku,
dan aku akan memilih cara hidupku sendiri
kerana isu kehidupan sudah semakin
kelihatan berat dan bukan lagi fasa fisikal,
bukan lagi fasa percubaan yang dangkal
melainkan fasa kearifan dalam kehidupan
aku bersyukur dan bertaubat
hakikat syukur adalah pengakuan diri
akan nikmat yang telah aku terima
ungkapan rasa terima kasih kepada Allah
atas segala kebaikan-Nya
makna taubat adalah saling
'berbuat kebaikan' antara aku dengan Tuhan
doaku semoga Allah memberi pengampunan
dan memberi rahmat-Nya kepadaku
dan setiapkali aku bersyukur
aku yakini Allah menambahi rahmat-Nya
dalam kehidupanku dan apabila aku bertaubat
aku yakini Allah akan mengampuniku
Inilah hubungan mesra penuh makna hakiki
antara aku sebagai hamba-Mu dan al-Khalik.
Di zaman yang serba mengelirukan ini,
ketika tantangan dan godaan kehidupan
tidak lagi ringan, wajar aku berikhtiar batin
dengan berdoa dan bermunajat kepada Allah
selain ikhtiar secara fizikal dan akal fikiran
Insya Allah dengan aku bersyukur dan bertaubat,
seluruh keluargaku hidup dengan selamat
meniti kehidupan duniawi ini
sehingga mencapai husnul khatimah.

16 Oktober 1999
Kg. Bukit Gajah,
Bentong, Pahang








AKU DALAM SAJAK 14
Arisel ba

Selepas tarawih dan witir malam lewat
Dalam bulan Ramadhan hari kedua puluh tiga
Aku duduk menatap layar monitor komputer
Memasukan diriku ke dalam jaringan maklumat
Sambil menghisap pipa tembakau bersisa nikotin
Dan aku menanti denting jam dua belas malam

Sembilan… lapan… tujuh… enam… lima
Empat… tiga… dua… satu… nol, ya…nol
Jejari jam menunjuk tepat ke angka: 12.01 pagi
Tanggal 1 Januari, tahun 2000
Selamat menyambut tahun baru
Selamat menuliskan iltizam baru
Selamat menjana kehidupan di alaf baru

Dan akupun menatap layar televisyen dengan asyik
Lantas aku menerobos ke dalam malamnya
Menyaksikan nyanyian dan tarian berputar-putar
Mengitari alam kebohongan dan laut kekacauan
Tiba-tiba aku dikejutkan dengan suara:
Namaku televisyen, kerjaku menghibur seadanya
Disamping aku bermaklumat benar, bohong juga ada

Dia bersuara lagi: Sudi aku mendengar kata nuranimu
sedang wajahku mengendap-endap di tirai kemalasan
Lingkaran cahaya laser berwarna merah kuning hijau
Suara kemarahan itu lenyap, apakah menjadi pendustaan
Noktah setitik, sedang bergegar geger kata-kata istighfar
Apakah hanya untuk mahkluk berwajah Dajjal globalisasi
Di akhir zaman pasca-modern menerobos nurani manusiawi
Berselendangkan kabel-kabel gentian optika jaringan duniawi

Dalam kemelut putaran alam kebohongan dan laut kekacauan
Menanti seredhanya kemurkaan Allah atas kedurjanaan manusia
Lidah Laut Cina Selatan menjelirkan hujan dan ganas gelombang
Memercik bau hanyir selokan yang kotor dan membusuk
Dari bekas tangan manusia yang lupa pada tabiatnya
Lantaran dosa besar Adam dan Hawa lalu terlontar
Ke dunia dan hidup hanya untuk menyembah Allah semata

Aku diberi perkhabaran di Kuala Lumpur City Centre
Di saat ratusan ribu warga kota menikmati pesta bunga api
Dan menyaksikan penampilan penyanyi Siti Nurhaliza
Ratusan jemaah khusuk mendengar ceramah Nuzulul Quran
Berlangsung di Masjid Al-Syakirin, dekat taman KLCC.

Lalu, pagi ini segar udara Kuantan dan angkasa biru
Aku menjadi nazim di iglu alammu pancawarna
Di mana rambutku semakin lebat tumbuh uban
Pagi ini aku nazim di bumi Kuantan dan tetesan hujan
Aku gembira berbaur teka-teki,hiba, sayu dan ragu
Di mana kakiku lumpuh mati langkah untuk melupai
Segala cerita, sedang parutnya masih meneteskan darah

Sebelum Subuh, pagi penuh syahdu ini aku mulai
Membacakan petikan ayat-ayatmu, ya Allah ya Rahman
Dari Al-Quran, surah Al-Maidah, ayat 12:
“ dan sungguh Allah telah mengambil perjanjian
dari Bani Israel, dan Kami angkat antara mereka
dua belas pemimpin, Allah berfirman, “ Sungguh,
aku bersama kamu, bila kamu mendirikan solat,
dan menunaikan zakat, Dan beriman kepada Rasul-rasulKu
serta membantu mereka, Dan meminjami Allah
pinjaman yang baik, Pasti akan Kuampuni kesalahan-kesalahanmu,
Dan akan Ku masukkan kamu ke syurga-syurga,
Yang di dalamnya mengalir sungai-sungai madu.
Tapi barang siapa di antara kamu ingkar sesudah itu,
Ia sungguh tersesat dari jalan yang lurus lempang”.

Ketika azan Subuh berkumandang di pagi yang sepi
Aku mengakhiri bacaan Al-Quran, surah An-Nur, ayat 46:
“ Telah Kami turunkan ayat-ayat yang menjelaskan
(segala sesuatu), dan Allah membimbing siapa yang
Ia berkenan ke jalan yang lurus lempang”. Amin!”


Detik Jam 12.01 pagi – 5.33 pagi
Pada 1 Januari 2000
Sanggar Cempaka,
Kuantan, Pahang, Malaysia


















AKU DALAM SAJAK 15
( Narasi buat Bonda )
Arisel Ba

Bening matamu bonda dalam airmata merah,
Semerah mentari senja, usia di ufuk, berserah
Luka di hati bonda terpancar sinar amat parah
Ketika air mataku menetes bercucuran diam
Bagai hujan pagi ke dalam wajahku yang buram,
Pengabdian bonda selamanya membuatku pasrah

Aku lihat mata bonda memutih sedih,
Seputih kabut menggayut sunyi perih
Aku rindu akan pelukciummu yang risih,
Ketika jiwaku lelah mencari sebuah mimpi
Yang dihasak angin semilir sepanas bakaran besi,
Membina sebuah kehidupan didasar hati

Aku lihat mata bonda nanar menatapku, kelam
Menjejak masa lalu dalam temaram bulan malam
Dalam nazak, bonda masih bernafas perlahan
Mengisi harapan untuk hidup samar semburat,
Ketika malaikat mengucap salam maut
Bonda pergi penuh keindahan dan kelembutan
Perpisahan abadi datang menikam banir keluarga kita
Innalillahi wainnailaihi raji’un

September 22, 2001 bonda pergi selamanya
Tinggalkan aku, namamu mengharumi keluarga kita
Bonda, engkau selalu menasihati aku
Mengenai waktu-waktu yang telah berlalu
Engkau membina cerita untuk diriku
Sejak aku, engkau lahirkan dengan izin Allah
Meneroka alam bayi, kanak-kanak, remaja, belia
Hingga aku dewasa, engkau tetap menasihatiku
Bahawa jalan hidup ini wangi oleh usia.
Engkau menyusuri jejak-jejak hidup itu dengan tabah
Dan setelah lengkap muzium hidupmu, bonda
Dalam sesosok tubuh, telanjang di depan Allah
Tanpa hiasan dunia, lima hari engkau nazak, bonda
Membuatmu lupa pada kata-kata, padaku, keluarga
Pada cerita suka dukamu, lalu engkau pergi
Perpisahan abadi datang menikam banir keluarga kita
Innalillahi wainnailaihi raji’un

Aku sekadar berdoa:
“Ya Allah, sesungguhnya bondaku menuju kepada-Mu
Sedang Engkau adalah sebaik-baik yang dituju.
Bondaku menjadi orang yang benar-benar
Memerlukan rahmat-Mu, dan Engkau tidak perlu
Menyeksanya. Aku datang kepadamu dengan senang,
Untuk meminta pertolongan bagi bondaku”

“Ya Allah, jika bondaku orang yang baik
Maka tambahilah kebajikannya, dan jika
Dia orang yang jahat maka lewatkan saja itu
Dengan rahmat-Mu berilah bonda redha-Mu,
Jagalah ia dari fitnah dan seksa kubur,
Lapangkan kubur untuknya, renggangkanlah
Bumi dari kedua lambungnya, dan dengan
Rahmat-Mu kurniailah ia rasa aman dari seksa-Mu,
Hingga Engkau menggiringnya ke syurga-Mu,
Wahai Dzat yang paling belas kasih”

Sebelum meninggalkan pusara bonda
Aku membaca Surah Al-A’raf ayat 168: maksudnya,
“ Dan kami bagi mereka di bumi
menjadi beberapa golongan umat
di antaranya ada yang soleh,
dan di antaranya ada yang sebaliknya,
Kami telah uji mereka dengan kebaikan
dan keburukan supaya mereka
kembali kepada kebenaran.”


18 September - 25 Disember 2001
Raub – Kuantan




AKU DALAM SAJAK 16
( Sempena Hari Guru 2003 )
Arisel ba

‘...Bermula adalah sebesar-besar hairan dalam hatiku
sebab melihatkan hal adat orang-orang kita Melayu itu,
yang tiada diperbuat oleh bangsa yang lain-lain dalam
dunia ini diperbuatnya! Adakah segala manusia dalam
dunia ini membuangkan bahasanya sendiri, tiada bertempat
belajar bahasanya itu, melainkan yang kulihat orang Melayulah
yang tiada mengendahkan...Bermula adalah yang kudengar
beberapa bangsa yang di dalam dunia ini menjadi besar dan
pandai sebab mereka itu pandai membaca surat dan menyurat
dan mengerti bahasanya serta memeliharakan bahasanya,
iaitu daripada bangsa Arab atau bangsa orang putih,
baik daripada orang Cina atau Hindu, maka sekalian
mereka itu senantiasa memeliharakan dan memuliakan bahasanya.
(Maka makin sehari makinlah diluaskannya dan ditambahinya dan
dibaikinya dan dihaluskannya sampailah pada zaman ini kerana
sesungguhnya bahasa itulah menjadikan manusia ini berakal dan
menambahi kepandaian dan ilmunya dan boleh menjalankan segala
pekerjaannya dan boleh membaiki akan dirinya sendiri
dan boleh pula mengajar akan orang lain. Maka dengan dia itulah saja
dijadikan Allah yang dapat mengeluarkan barang suatu rahsia
yang dalam hati manusia. Syahdan dapat tiada kalau ada suatu bangsa
yang besar itu maka bahasanya pun besarlah, karena sekalian perkara
yang ada dalam dunia dan akhirat itu semuanya terbit daripadanyalah,
menjalankan pekerjaan dan memberi nama tiap-tiap suatu itu
dengan bahasa dan mencari kehidupan itu pun dengan bahasa
dan datangnya. Maka bahasa itulah yang amat besar gunanya
bagi manusia ini dunia akhirat, adanya.
Maka patutkah ia itu tiada engkau endahkan’...
( Abdullah Abdul Kadir Munsyi dicuplikp dari
Hikayat Abdullah )

Selain buku-buku, aku diasuh puluhan guru
Sejak dari darjah satu mengguna papan batu
Semasa itu Penyata Razak telahpun terbentuk
Sekolahku beratap nipah berdinding buluh sasak
Sebayaku dalam darjah hanya ada sembilan budak

Ketika aku di Kuala Lipis bersekolah menengah
Kakiku menapak denai, kabus pagi dan gelap diredah
Keretapi hanya berhenti sepuluh minit aku siap melangkah
Ke sekolah berkasut koyak berbaju hapak berbau susu getah
Kerana jam empat pagi aku menoreh untuk biaya sekolah

Ketika aku lulus SRP, dapat gred ‘A’ tujuh, satu sekolah riuh
Kelamkabut guruku raikan kecemerlanganku, tapi aku sedih
Kerana aku kata kejayaan ini milik guruku satu sekolah
Kerana guru-guruku memintal amal mendidik demi Allah
Kerana guru-guruku menyemai budi merapi pekerti
Kerana guru-guruku menumbuh murakabi materi peribadi
Kerana guru-guruku munsyi cendikia menempa jatidiri

Bila aku lulus SPM, dapat gred Satu, satu sekolah kenduri
Berkat doa ibubapaku dan ramai guru, mewarnai visi dan misi
Belajar aku di Kuala Lumpur untuk menjadi manusia
Bertemu lagi guru-guru pengukuh iman penjana taqwa
Berkenal mesra penyala rekacipta perona rupa budaya

Tatkala aku bekerja, banyak guru masih kucari
Tabah gigih aku meramu ilmu memahat minat berpuisi
Tekun sabar membaca, tangkas menulis, letih berdiskusi
Tawa tangisku derita semasa budak menjadi inspirasi
Terpahat namaku sebagai penyair pemintal diksi berimaji

Guruku, kaulah menggubah hemah mengukir akalku
Guruku, kaulah mencanai semangat pemilin yakinku
Guruku, kaulah mualim bijaksana membaja perucapanku
Guruku, kaulah mufasir behena memperkasa agamaku
Guruku, kaulah obor penyala menerangi raga kalbuku
Guruku, kaulah penyuntik intelek melepa istiqamahku

Selamat Hari Guru, wahai sekalian guruku
Sejahtera dunia akhirat, jasa guru menjana ilmuku

14 - 16 Mei 2003
Kuantan, Pahang



http://pkg_pantai.tripod.com/gurumelodi.mid




AKU DALAM SAJAK 17
- Sungguh, keutamaan Rasulullah
tiada dibatasi dengan batas yang
dapat diungkap mulut manusia.”
( Imam al-Bushiri )
arisel ba

Bismillah-hirahman-nirahhim…

pada ini hari aku kembali membaca perkisahan
pemerhatian Ali Abi Talib peribadi junjungan
perihal Muhamad Rasulullah azim bangsawan

tertib Ali meriwayat penuh adi sani:
“teladani Nabimu baik pepaleh paling suci,
telus dirinya cermin suri teladan putih hati
teratak berduka paling ilu iba. Dia paling Allah cintai
teratak jejak umat meneladani Nabi-Nya dan mematuhi.”

Dia telah lepaskan serbaneka goda dunia
demi iman syahadat, Dia takmemperdulikannya.
Dia warga dunia paling kerdil diri ceding
Dan paling sering berlaparan dengan lambung kosong
ditawarkan padanya kelewahan melimpahruah di dunia
Dia benar amanah lalu enggan menerimanya
Dia adil saksama arif akan Allah takredha ewa sesuatu
Diapun takmenyukai sesuatu kebencian Allah
Dia istiqamah mengetahui Allah remehkan sesuatu,
Diapun meringankan keremehtemehan Allah
dan jika Allah menganggap kecil amat sesuatu
Diapun mencerap sesuatu yang kecil demi Allah

yang kiranya kita cintai itu adalah sesuatu
yang Allah dan Rasul-Nya murkai mengkal hati
yang kita besar-agungkan adalah sesuatu
yang Allah dan Rasul-Nya kecilkan, jadi bukti
yang kita tolak dan tentang perintah Allah yang fardu

yang makan di atas tanah, adalah Muhamad Rasulullah
yang duduk laksana seorang bocah, Dia Rasulullah
yang menampal sandal ditangan sendiri, Dia Rasulullah
yang menjahit baju dengan tangan sendiri, Dia Rasulullah
yang mengendarai keledai takberpelana, Dia Rasulullah
yang mencahayai hidup dunia akhirat, Muhamad Rasullulah
yang cekal cekap takmudah berputusasa, Dia Rasulullah


Muhamad Rasulullah berpaling dari dunia dengan hatinya
mematikan ingatan kepada dunia dari dalam jiwanya
menyukai hilangnya hiasan dunia dari matanya
mencerap hidup di dunia pinjaman sementara cuma
mengharapkan keredhaan dari-Nya penuh takwa
maka Dia bertasbih munajat qiamulail mengadap-Nya
melarikan cinta membutatuli pada dunia dari jiwaraganya
mengenyahkan godaan iblis berwajah manusia
mengasuh hatinya gerun seksa Allah bersolat, zikir berdoa
menghilangkan serbaneka sandiwara dunia dari perhatiannya

akhirnya aku dalam sajak ini membaca al-Quran,
surah At-Taubah ayat 128, Allah berfirman :
“Telah datang kepadamu seorang Rasul
dari kalanganmu sendiri. Terasa berat baginya
penderitaanmu. Sangat ia inginkan kamu (beriman).
Ia Maha Penyantun, Maha Penyayang
terhadap orang beriman.”

Selawat dan salam kepadamu al-Amin
Seorang Muhamad Rasulullah penyantun
Seorang Muhamad Rasulullah penyanyang mukmin
Amin!


14 Mei 2003 bersamaan
12 Rabiulawal 1424
Kuantan, Pahang

AKU DALAM SAJAK 18
: Sempena Hari Keluarga 31 Mei 2003
arisel ba

Wahai tujuh anak-anakku,
Kemilau mentari pagi takkaurindu
Murni titis hujan melukis pelangi
Lihatlah anak-anakku warna duniawi
Bersatu dan berpadu indah harmoni

Wahai tujuh anak-anakku
Di akalmu sudah penuh ilmu
Kaufahami baik buruk bakal berlaku
Tatkala api sengketa membaham uras irimu
Melahap perkebunan tradisi moyangmu
Apakah hilang bimbang pada marak api amarahmu
Membakar persaudaraan, kasih sayang jadi abu

Wahai Kamsah, ibuku
Wahai Ahmad, ayahku
Aku leka bermain api di kalbu
Kekagumanku pada geliat nyala sambarannya
Kian marak melahap sengketa sesama keluarga

Wahai Kamsah, ibuku
Wahai Ahmad, ayahku
Semua orang taksub bermain api,
Dan tujuh anak-anakku masih girang begini
Asyik bermain bunga api
Aku melihat jiran-jiranku
Gembira bermain bunga api
Jenuh menengok gejolak terpercik api
Inilah mainan kami sejak zaman ayah ibu dulu
Yang mengajar kami menafsir ceria keluarga Islami

Wahai tujuh anak-anakku
Bahawa api itu datang dari neraka, percayalah
Api perlengkap kepada angin, air dan tanah
Penghidupan Islami kita ada panduan Allah
Berteraskan al-Quran dan Sunnah
Perlukah tika mengurus keluarga berkiblat ke barat?
Sedang budaya Islami itu adalah darah dan urat

Wahai tujuh anak-anaku
Hayati al-Quran, surah as-Syura ayat 27:
``Dan jika Allah melapangkan rezeki
bagi hamba-hamba-Nya,
tentulah mereka akan melanggar segala
batas di muka bumi
tapi Allah menurunkan apa yang ia
kehendaki menurut ukuran
Sungguh, Ia Maha Mengetahui
Maha Awas terhadap hamba-hambanya.''


31 Mei 2003
Kuantan, Pahang

 
ANTOLOGI PUISI ARISEL BA (5)





Koleksi Puisi Arisel Ba dari tahun 1990 – 1999

Puisi-Puisi Karya Arisel Ba


RAJA RAKYAT, BERPISAH TIADA


Sultan Ahmad Shah mahkota negeri
berdarah Melaka, Aceh, Bugis dan Riau
Istana Pahang menenun sejarah Raja Melayu
hatinya bersama rakyat jelata
sejak kecil sehingga dewasa
baginda mempamer daulat seorang Raja Melayu
petah berbicara luhur berbahasa
yang tua dihormati, menasihati yang muda

Sultan Ahmad Shah payung negeri
Raja bijaksana berhati perkasa
memerintah rakyat bertonggak agama
meminati seni mengamal adat istana
baginda berfilsafat memukau rasa
Raja rakyat, berpisah tiada
tiap masalah dibawa bermusyawarah
tiap kejayaan dikecapi meriah

Dirgahayu Sultan Ahmad Shah
meneraju negeri selama hayat
mencemar duli ke tengah rakyat
Sultan Ahmad Shah dikasihi didaulati
daulat tuanku, ampun tuanku
perkenankan patek mengungkap puisi
buat kebanggaan rakyat jelata


24 Oktober 1990
Kuantan

(Akhbar TEMPO, 22 Ogos 1993)


SAJAK KUALA TELANG:
PARADIGMA SANG PENYAIR


di stesen keretapi usang:
nafas sepimu Kuala Telang
masih setiakah menanti?
kepulangan seseorang dengan keretapi
kerana si anak gedang
seringkali mungkiri janji sendiri

di kedai Pak Teh Musa:
dindingnya usang dan hampir roboh
harga jualannya berganda-ganda
dari harga pasaran semasa
secebis mimpi yang indah

Si Minah Janu:
nostalgia pada dirimu
wajah pucat tika terjatuh dari jambatan
Sungai Telang puaka itu
berapakah anaknya setelah dua kali kahwin?
siapakah suamimu?

pohon cenderai:
dahan patah yang kuinjak dulu
masih tidak bertunas lagi
aku terjatuh akibat cuai
pada pesan nenek ganti ibu
aku selalu ingkar dan membawa hati
jarang pulang ke rumah sendiri

belukar Tanjung Betong:
tumbuhan meliar sembunyi seekor tedung
di sebuah kubang kerbau berlumpur
di mana aku memedap sembilang
telah kering selepas kemarau
kerbaunya entah di mana tidur

sekolahku dulu:
bangunannya semakin usang
muridnya semakin ramai
pintar menulis membaca mengira
tidak lagi dangkal mindanya
dan dibelakang sekolah itu
ada diteroka kampung yang baru
dulunya kamar tidur ular tedung
dan persembunyian harimau

Sungai Jelaiku:
siang dan malam arusmu deras curiga
keruh likat air sungaimu berpuaka
perahu jalur usang di hujung pengkalan
telah hanyut membawa laranya

Lubuk Cacingku:
kononnya ada berhala perahu
ketika hujan panas senja
berhalanya akan timbul merupa
kini lubuk itu semakin tohor
ikan tidak lagi bermain arus
dan resing entah kemana merantau

rumah usang milik nenek:
belum tersiapkan lagi anjungnya:
berdinding pelupuh beratap rumbia
tangga buluh mulai reput
katil kayu nangka patah kakinya
tikar mengkuang pudar warna
bila hujan atap nipah kebocoran
apakah aku menerobos mimpi tengkujuh
dan menderita dalam kemarau mentari
kambing kerbau berebankan belukar
ayam bertelur di ceruk dapur
tikus berlegar di atas alang
ular berlengkar kenyang dikepuk padi

Bukit Pindongku:
adalah taman permainan semasa kecilku
hutan jelutung, salak dan petai nering
hari ini flora dan fauna masih bebas
masih meriah kicau burung-burung
masih gagah pencari rotan, damar dan teja
mendapatkan sepotong mimpi kemakmuran
kebun getah dua ekar:
denyut nadi nenekku sekeluarga
menoreh untuk membina hidup
di bumi makmur Tuhan

Beliung dan candik:
tersangkut dibirai dinding
telah lama menyimpan cerita
hampir reput di makan bubuk
kerana nenekku tua dan goyah benar
tidak lagi segagah dulu

paya terbiar di Merlong:
ditumbuhi selimpat sendayan
nenekku setiap waktu ilu seorang
angkara khianat sengketa jiran

Kuala Telangku:
paradigma sang penyair
kukumpulkan pelbagai ceritaku
buat maklumat anak-anak dan isteri
derai air mataku pernah luruh di kaki
kakiku pernah terluka di hutan ini
hutan ini menyesatkan minda dan kakiku
di sini aku mula mengenal hidup dunia
semenjak aku dilahirkan dulu
masih mahu bertanya bilakah pembangunan
dan kemakmuran diri menjadi realiti?


(Antologi Puisi - Temu Puisi III
11 Disember 1993 sempena
Program Temu Puisi III
anjuran Kementerian Kebudayaan,
Kesenian dan Pelancongan
Malaysia)


TRAGIS 1889


merah merah tumpahnya darah
Orang Kaya Haji Wan Daud ke dalam sejarah
layu rumput ke bumi Kuala Lipis
harimau purba kembali ke rimba
ngaumnya terus bergema di Gua Bama
belangnya menjalar di Bukit Angin
kelar cakarnya semadi di Bukit Betong

diakah itu?
yang mengeluh di gua sejarah
yang menjilat merah darah
yang melompat tangkas dan gagah
yang menjadi keramat sejarah

harimau berantai Orang Kaya Haji
lebur dek lembing sepupu sendiri
rebah, hancur dan musnah
angkara jadah siasah penjajah

(Antologi Puisi - Temu Puisi III
11 Disember 1993 sempena
Program Temu Puisi III
anjuran Kementerian Kebudayaan,
Kesenian dan Pelancongan
Malaysia)


KUALA PONTIAN:
ELEGI PENCULIKAN TEJA


bau asin laut menyusup batiniku
gemuruh gelombang deru di telinga
mataku menangkap rahasia sebuah malu
elegi penculikan Teja puteri Bendahara
akibah nafsu jantan Sultan Melaka

Teja mabuk asmara dipukau Hang Tuah
rela menyerah tubuh demi suci cinta
tidak tahu dirinya mahu diperisteri Sultan
Hang Tuah berperi bahawa cinta mereka
sedalam tujuh lautan setangkas tujuh taufan

Hang Tuah menculik Teja di subuh bening
perahu bertabir layar, hati dipukau cinta
dikejari pahlawan-pahlawan Megat Panji Alam
sampai malam bertukar malam menjadi kelam
kaki melangkah hati gundah curiga mencengkam

Tiba di kampung Aman, Hang Tuah dan Teja
berhenti lelah bermalam mencari helah
di tengah malam mereka diusir warga desa
berangkat ke hulu memipir Sungai Pontian
berhenti di Teluk Kalong, letih dan lena

Mentari meninggi, Hang Tuah dan Teja terjaga
sempat mereka mengirai kasih memadu cinta
malam berganti malam, hari mengubah musim
perjalanan ke Istana Melaka semakin dekat
semakin gusar Hang Tuah memisahkan Teja

Istana Melaka menyambut Teja dengan wanginya
Sultan Melaka mencembung jelita sang puteri
bergegar bumi meratap langit menggigil bayu
hujan tak jadi jatuh, bulan ranum dilipat awan
kapal tak jadi berlabuh, Melaka berhisteria

Istana Inderapura muram duka geram berdendam
Megat Panji Alam mengamuk, seribu bungkam
mudik ke hulu Pahang, Bendahara teramat malu
menyepi diri, belajar makna mahkluk dan alam
sedang Hang Tuah melara, Teja ilu di laut madu


Kuala Pontian,
Rompin
( Dewan Sastera, Februari 1994 )


STANZA KISAH BERKASIH 2

( i )

tiap lembar warkah kasih darimu
kuhafaz kata dan maknawi
seruling cintamu perlengkap hariku
perpisahan adalah duga adalah nyeri
ada citra batini di tasik matamu
ada kembang rindu melekap di bibirmu
lima tahun berkasih, terbina graha janji


( ii )

akukah lelaki perkasa dalam cintamu
di langit, perbukitan dan selaut cinta
kaukah kembang rindu di pelangi pagi
di bumi, perkebunan dan danau berahi
imbasan peristewa perkasihan zaman bahari
ada dara matinya di pelamin kalbu
janji seteguh batu Gunung Titiwangsa
kasih sesuci embun subuh kehidupan


1972 - 1975
Raub, Pahang
( Mingguan Tempo, 27 Mac 1994 )


SETELAH BERIKTIKAF


Dalam masjid baru Sultan Ahmad 1
memencil diri hingga dinihari
menghening cipta membina citra
diam tafakur merasa kerdilnya diri
tidak disedari butiran air mata keinsafan
bercucuran bagai hujan manik senja
betapa kerdil diri di mata amarahmu

Berdiri dan sujud menghadap-Mu
bersama zikir
terhantar minda melintasi atmosfera batini
aku menikmati bacaan Al-Quran kalammullah
membersih awan hitam di atmosfera hatiku

Dalam aku beriktikaf mengenali diri
bertasbih, bertahmid, dan takwa
dalam tahajud
kepada Allah al-Ghaffar al-Quddus
al-Khaliq

Ada bisik halus menembusi minda
memberi khabar
kehidupan insan kamil di bumi
penuh pancaroba
menyempurna nikmat
penghidupan manusiaku
setelah beriktikaf, siapa diri ini?… amin!

Pahang
( Mingguan Malaysia, 10 April 1994 )


HARGA MARUAH DIRI

1973
aku asyik membilang hari
mengabdi diri dipersada seni
berbahagi waktu antara bakti
dan keceriaan keluarga sendiri

sesekali aku pernah bertengkar
dengan isteri mengenai tanggungjawab
seni, diri dan keluarga

sesekali aku pernah merajuk
dengan isteri demi perjuangan seni

dan kadangkala aku merampas mesra isteri
lalu aku dilambung kemegahan demi seni

1983
aku dinobatkan sebagai penggerak aktif
sebagai pejuang seni aku seringkali
meninggalkan anak-anak dan isteri

dan demi harga maruah diri
aku bayar demi seluruh pengorbanan seni
mahal atau murah, akulah penentunya

24,960 jam waktuku untuk seni
bagaikan tempoh pembinaan istana pasir
datang ombak, musnah dan ranap

benar kata isteriku:
buat baik berpada-pada
buat jahat, haram sekali
dalam alam perjuangan seni
tanpa pengiktirafan pemerintah negeri
tanpa bintang kebesaran diri

1 Jun 1993
aku sendiri menentukan sikap diri
membebaskan diri sebagai pejuang seni
menyarungkan kembali keris martabat
dan memerhati gelagat rakan-rakan
dari luar gelanggang perjuangan

percayalah wahai diri
selagi bernama manusia
walau sebanyak mana bakti dan jasa
keburukan juga jadi sebutan

benarlah bagai peribahasa
harimau mati meninggalkan belangnya
aku mati sekadar meninggalkan karya



27 Mei 1994
Sanggar Cempaka,
Kuantan
( Buletin Utama, 4 September 1994 )


PESAN DARI TANJUNG LUMPUR


Dari cerita ibu dan jiran-jiran
tahun 1954: semasa aku lahir di sini
disebuah perkampungan nelayan pantai
bau hanyir ikan berbaur bau baja ikan
Tanjung Lumpur dipisahkan Sungai Kuantan
airnya dalam banyak kapal dagang berlabuh
penjajah memunggah timah pusaka pertiwi

Tanjung Lumpur merakam kisah sejarah
Tok Guru Peramu tubuhnya Bahaman
panglima perang Pahang terbilang abad ke 18
di matanya tubuh penjajah mati berdarah
di hatinya sumpah pahlawan hidup berjuang

sebelum fajar ayahku dengan senyuman
meninggalkan aku dan ibu di rumah usang
bersama payang menongkah arus musim
bau hangit tubuhmu, ayah dibelai badai
mencari rezeki seharian di dasar lubuk dalam
dan ikan yang rakus sebenarnya berdendam
menelan mata pancing ayahku berumpan
lewat senja dengan lelah diri dia pulang
ayahku mengayuh payang ke muara sungai
dan setibanya di pengkalan tauke menanti
ikan ditukar beras dan susu untuk keluarga

tahulah aku bahawa hidup keluargaku
bagai teritip di batu pantai Tanjung Lumpur
air pasang bertelurlah ia dan melekap diam
air surut kekeringanlah ia menunggu diambil orang
tapi aku bukan dari generasi umang-umang
aku tetap diasuh ibu hidup berdikari berbudaya diri

dan diambang merdeka cipta sejarah
ayahku seorang pejuang kehidupan
akhirnya mati dirahang lautan
ketika aku masih kecil bercakap belum lagi petah
tiada pusaka yang ditinggalkan oleh ayah
sekadar joran kail, jala, dan jaring sepuluh depa

tahun 1994: Tanjung Lumpur sudah jauh berubah
sudah terbina ratusan rumah murah
sudah diterpa arus pembangunan manusia
siap sebuah jambatan merentangi Sungai Kuantan
membawa bersamanya makna kemajuan
memudahkan aku sesekali pulang
menziarahi pusara ibu diteduhi kemunting
sesekali menatap rumah usang kami tanpa dinding

aku tidak lagi mewarisi tradisi keluarga
sebagai nelayan bagiku adalah mimpi ngeri
biarlah aku membawa keluargaku
menetap di pusat kota biarpun kerja buruh
yang memahami makna rezeki dan prihatin
ringan tangan mudahlah rezeki dan prihatin
ringan mulut ramailah sahabat mendekati

ini pesan dari perkampungan Tanjung Lumpur
panoramanya masih seperti dulu
pantai semakin terhakis bagai terhakisnya budaya
rumah-rumah tua semakin ditelan ombak rakus
masih bila pagi mentari bangkit dari lautan
dan bila malam mentari tenggelam diperbukitan
dan jangan kita terkejut nantinya melihat
anak-anak nelayan tiada lagi di dalam payang
anak-anak nelayan tiada lagi di arus lautan


14 Januari 1995
Kuantan.
( Majalah Dewan Sastera, Ogos 1995 )


POTRET SASTRIA

di sudut sebuah kamar rumah limas
di pedalaman Hulu Pahang
seorang gadis kampung
tersenyum menatap potret sastria hatinya

tunggu!
surat kekasihnya di Sarajevo
nanti bila aku pulang
bahtera cinta kita layari
bersama ke samudera batini

ah, keluh si gadis
wahai sastria kasihku
kau belum jua pulang

kini seorang gadis kampung
tidak menunggu lagi
sastria hatinya pulang
menatang bunga kasih

jangan tunggu
kata kekasihnya di Sarajevo
perang belum selesai
bahtera cinta kita
dilabuhkan di pelabuhan mimpi

kini seorang gadis kampung
berdoa dalam masjid
doanya: sastria hatinya cepat pulang
biarpun damai belum jadi realiti


20 November 1995
Kuantan
( Dewan Sastera, Disember 1996 )


MIMPI BIONA

sebermula kau datangi Pulau Tioman
ada tak terselamkan
dirimu terbujur di bawah mentari
bedaknya pasir pantai memutih
wangian nafas ombak dan angin
sambil kau taburkan bunga peribadi
pintu martabat gagal kau tutupkan
tiba-tiba terpokah mainan nafsu
dan mahkota gadismu hilang ditelan
gelombang

lalu kau lahirkan Jasmin
anak kecil yang redha
akan gelisah budaya
kau bina rumah atap
di pinggiran pantai
menagih cinta
seorang ayah kepada Jasmin
bagai kepiting menanti unggas
hinggap di mulut sarangnya

kau cuba mengerti segenggam mimpi
pasir kehidupan yang membara
pelepas kecewa dicelahan perihatin
dan simpati manusia dan alam
kau mampu melalui kembara hidup
menganyam nostalgia
menjala kesedihan diri
sampai hari kematianmu

19 - 24 Ogos 1995
Kg Juara, Pulau Tioman

( Mingguan Tempo, 23 - 29 Julai 1997 )


SUNGAI JELAI 2


Sungai Jelai,
malam ini masuklah ke dalam mimpiku
riakmu menari tari arusmu ulitlah
bagai aku diuliti
riakmu bagai jemari
desah arusmu yang gelisah
bau nafasmu yang lohoh

sesekali sebarau menjerabar anak seluang
sesekali belibis melayap arus berbuih
sesekali senekah melompat dahan medang
sesekali deru keretapi dari selatan, sepi memecah

Sungai Jelai
pagi ini aku berenang di arusmu
lenggangnya masih seperti dulu
kini jambatan merintangi tebing
simbol kemajuan telahpun datang

Sungai Jelai
ada panorama silam telah hilang
tiada lagi dara berkemban bermandian
tiada lagi nelayan sungai menjaring ikan

1998
De'Rakit, Kuala Lipis


MAJU PAHANG, MAJU...

Pahang negeri maju hidup bersatu warganya
sebelas daerah bersekutu dalam sebuah praja
putih hitam peneguh martabat rakyat dan raja
bagai kata pujangga, Raja rakyat, berpisah tiada


maju Pahang maju jatidiri bebas dan aman
rakyat setia menyokong wibawa pembangunan
minda pemimpin penuh rencana pembangunan
bersatu tenaga rakyat mencapai wawasan


hadapi kemelut ekonomi dengan gagah
memelihara konsep muhibah di peta sejarah
bijaksana akal pemimpin disanjungi
jiran tetangga dan rakan seglobal dihormati


Pahang maju dan dewasa berdemokratik
persefahaman teras rakyatnya mengamalkan politik
maju Pahang pemimpinnya berdegap hemah
rakyat beretika dan santun menjaga maruah


Pahang maju menyuburi intelektual progresif
merubah nilai lama membina citra efektif
warga pemberani tekun mengisi kemerdekaan
koridor pantai timur pasti menjadi kebangaan


Pahang maju rakyat hidup makmur
pemimpin dinamik waras dan tangkas berfikir
melangkah ke depan mengukuh daya juang
putih hitam jatidiri diarak disanjung gemilang


21 Ogos - 4 September 1998
Kuantan.


PUTIH HITAM
MARTABAT PAHANG

Dengar... Dengar... Dengar...
Negeri Pahang Darul Makmur
di era Zamin Eran dan Inderapura
Laut Cina Selatan mengasuh gelora
Pulau Tioman mengukir lagenda
Tasik Cini, Bera, Paya Bungor bermisteri
Sungai Pahang, Jelai, Tembeling deras arusnya
Pantai Cerating, Teluk Cempedak memutih
Tahan, Benom dan Ulu Kali berdegap gagah
Gua Kota Gelanggi. Gunung Senyum bersejarah


Dengar... Dengar... Dengar...
Pahlawan Pahang sejarahnya menggegar
Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dipahat nama
sebagai penentang penjajah durjana
Ibrahim Yaakub, Ishak Haji Muhamad
pemikir dan pujangga pra-merdeka gemilang
Tun Abdul Razak, Abdul Rahman Talib
putera patriotik akitek pendidikan berwawasan
S.Romainor, Sarimah, Sudirman
bintang seniman menjadi idola
Kris Mas, Ibrahim Omar sasterawan tersohor berani


Dengar... Dengar... Dengar...
visi dan misi Pahang Darul Makmur
merealisasikan negeri maju
berteraskan ekonomi dinamik progresif
menumpu sektor pembuatan, ladang dan pelancongan


Terus dipupuk pembangunan insan
melahirkan manusia rohaninya cemerlang
mengoptimumkan pembangunan aset semula jadi
melengkapkan prasarana memantap perkhidmatan
memelihara alam sekitar hutan teropika
menyediakan perumahan selesa keluarga bahagia
melahirkan usahawan berkualiti dan berhemah

Dengar... Dengar... Dengar...
hitam putih martabat Pahang
Raja rakyat, berpisah tiada
Negeri Pahang Darul Makmur
mengungguli kemajuan dan kemakmuran


21 Ogos - 4 September 1998
Kuantan, Pahang.

SELAMAH

Persis pagi yang berlalu, pagi ini
Rumahku masih sebagai pelindung keluarga
Sebagaimana Selamah yang berkongsi hidup
Denganku, menyapu debu hari di wajahku,
menutup suis komputer dan lampu ketika aku terlena
Mengemas rumahtangga kami dan kamar kreatifku
Dan menyusun kertas-kertas berserakan
Merenung ke arah timur ditikami silau mentari tembaga
Sesekali melintasi kamar kreatifku dengan sinis berkata:
“ Dalam mencanai minda sasterawan
Jangan nanti menjadi sasauan, yaa!”
Aku secepatnya menangkap rasa ragunya
Terhadap kemahiranku menulis puisi

Di kamar kreatifku terdapat ribuan buku
Lusuh, hapak, berhabuk dan kering
Dan ada buku-buku sekadar penghias almari
Ada juga buku-buku bertaburan di atas meja
Berkongsi ruang dengan kertas, pen, komputerbuku,
Secebis kertas catatan yang belum diberi perhatian
Sehingga Selamah sering bertanyaku:
“ Apakah buku-buku ini bagai benteng pertahanan
puisi-puisi anarkis yang dihasilkan dari realiti kehidupan
akibat keterpencilanku dalam arus globalisasi!”

Di luar rumah, Selamah mengurus taman bunga kertasnya
Dia menggembur tanah, menaburkan baja, disamping
Memotong daun-daun kering pada pokok-pokok bunganya
Kelihatan gunting ditangannya berkilau cahaya mentari
Tanpa perasaan, namun Selamah tetap tekun dan tenang
Sedang aku di dalam kamar kreatif diajar percaya
Bahawa buku-buku adalah resah yang payah bernafas
Dalam mencanai puisi yang temanya dari pengalamanku
Di masa silam, kini dan masa depan, lalu aku berjanji
Kepada diri, juga kepada Selamah, takdir menjadi isteri
Kepada seorang sasterawan, bahawa jaringan kehidupanku
Bukan berwarna hijau, atau merah atau tarian aksara
Tetapi dari resah yang payah inilah aku akan meneruskan
Puisi demi puisi menggugat dan mencabar dunia

29 November 1998
Sanggar Cempaka,
Kuantan, Pahang


MENCINTAI HUTAN PAHANG

di Pahang, hutan hijau menggigil
bukan kerana pusaran ribut rewel
tetapi deruman mata gergaji yang tajam
tebangan demi tebangan
penerokaan demi penerokaan
lalu hutan hijau rebah ke bumi
raksasa pembangunan itu amat binal
mereka memperkosa flora dan fauna
debu berbisa membekam rongga nafas
di sini, tanpa perang tanpa pengeboman
hutan hijau musnah, pemulihannya hanya
retorik politik atas nama pembangunan

lalu aku bertanya kepada pembalak rakus
apakah generasiku nanti akan mati muda?
jika tanpa hutan hijau di pamah, di bukit, di gunung
sedang udara di mana kita bernafas ini
mula dimabuki upas dan bahan berbisa

dalam era pembangunan ini, anak-anakku
pusaka bangsa wajar dipusakai bersama
bukan hanya habuan pembalak yang haloba
dan kini masih ada algojo politik menjadi raksasa
pemusnah hutan hijau dengan buas dan muris
sedang kita membina jagat masa depan
dapat berkehidupan bersama antara manusia,
flora dan fauna perlengkap warisan Adam

aku menyeru seluruh warga
baik di desa mahupun di kota
berjanjilah dan bersatu azam perjuangan
bukan sekadar retorik politik pembangunan
bersama mencintai hutan hijau Pahang
agar selamat flora dan faunanya
dari era Zamin Eran - Inderapura
kepada era Darul Makmur di abad siber

1990 - 1999
Kuantan


SEMANGAT TOK GAJAH

jika Sungai Semantan boleh bercerita
tragis Lubuk Terua abad kelapanbelas
atau Sungai Tembeling mampu bercetera
tentang peperangan di Jeram Ampai
darah anjing-anjing penjajah memerahi
jernih arus sungai pusaka Inderapura
demi memperkasa martabat bumi pusaka
demi keinsafan generasi madani
tentang mahalnya harga pembebasan negeri

kini, Sungai Jelai, Tembeling, Lipis dan Semantan
mengalirkan lesunya ke Sungai Pahang
bukan lagi airnya merah darah penjajah
tetapi keruh lumpur ancaman pembangunan
telah hilang pekikan pendekar di tebingmu
telah hilang alunan nafiri, gong dan gendang
tiada lagi gadis berkemban kecindan bermandian
tiada lagi perahu kajang sarat dengan dagangan

bangkitlah semangat Imam Perang Rasu Tok Gajah
bagai pendekar gagah kebal menentang penjajah
seru semangat nama Allah nama Muhamad Rasullulah
seru malaikat berempat di pagar segala bahaya
teguklah, mandilah air Sungai Pahang yang asalnya
Jelai, Tembeling, Lipis, Semantan berlondar naga
menjenguk kisah tragis Lubuh Terua, nostalgia Lubuk Pelang
menjengah riwayat Bukit Betong, Bukit Chintamanis, Bukit Jong
menjelau sejarah Jeram Ampai, Jeram Kangkong, Jeram Koi
mandilah air dingin Tasik Chini, Tasik Bera, Paya Bungor
mendaki tangkas ke Gunung Tahan, Gunung Benom, Gunung Ulu Kali
merenung makrifat di Gunung Senyum dan Gua Kota Gelanggi

mari limaukan keris lembing tirkah, kemenyan seruan
demi Islam, roh Melayu dan tanah Pahang Darul Makmur
bagi menentang penjajah era siber dari internet dan satelit
setiap hari memancarkan khabar warga di cakrawala
dari tujuh petala langit tujuh petala bumi
tujuh taufan dari tujuh lautan, empat penjuru angin
ninabobo Melayu moga gah dipersada buana

17 – 20 Januari 1999
Sanggar Cempaka,




 
ANTOLOGI PUISI ARISEL BA (4)



Koleksi Puisi Arisel Ba dari tahun 1987 – 1993

Puisi-Puisi Karya Arisel Ba

SAPULAH AIRMATAMU, MAMA

sengsara sudah lama berakhir
anak-anakmu sedang hebat mengukir
bahagia yang tumbuh ini
adalah dari keringatmu, mama
maruah yang kukuh ini
adalah dari pengorbananmu, mama

hari ini hari gemilang kita
sapulah airmatamu, mama
benamkan segala pilu sedih masa lalu
lontarkan nostalgia memusnah hidupmu
hari ini hari kemeriahan kita
sapulah airmatamu, mama

bumi kita tidak selamanya basah
langit kita tidak selalunya cerah
hidup kita tidak selalunya lemah
sapulah airmatamu, mama
hari ini anak-anakmu mencipta lagenda
menjadi manusia megah dipuja
sebagai pejuang-pejuang kemanusiaan dunia
sapulah airmatamu, mama


Kuantan
( Nona, Ogos 1987 )


SEPANJANG PERJALANAN
KE HULU TEMBELING

desa tradisi mengugah akalku
hijaunya panorama menyegarku
perahuku menongkah arus dan waktu
menuju hulu mencari misteri bangsaku

sepanjang perjalanan ke Hulu Tembeling
menadah harap di hujan purba
masih adakah sisa harta tinggalan moyang
boleh kugubah kujadikan lagenda

di sini, arus pembangunan terlalu sedikit
dan sinar pembangunan belum terbit
sekadar ada kijang rusa kurus hiasan mata
dan ungka harimau badak gajah seladang berdukacita

(Akhbar Utusan Zaman, 9 Ogos 1987)




LAGENDA CINI

i

ghaib istana Kebayat
adakah sumpahan sang sihir?
masih misteri
kepadaku
kepada generasiku

di luar atur logika
khabarnya dulu terhampar
lautan teduh
saujana pandangan mata
kini hanya danau purba
ditumbuhi teratai dan rumpai air

si Gumum naga pertapa
masih menari di bibir pencerita
sedang mengumpul
ilmu pendekar
di dasaran danau

ii

bertempur dua naga sakti
Seri Pahang Seri Kemboja
simbolik antara dua kuasa
hebatnya pertarungan
terpahat lagenda

raungan ganas dua naga
persis guruh memecah langit
desah nafasnya
bagai taufan menggila
gemerencing sisik dua naga
menghantar gelombang ke pantai
tumbuh hujan panas dan pelangi
berakhir sebuah peperangan

Seri Pahang tewas
berubah sebagai manusia
dipusarakan di Pasir Panjang
Seri Kemboja parah lukanya
diapung gelombang ditimang taufan

iii

bila nanti timbul kembali
pertapa naga Seri Gumum
dari istana Kebayat itu
menyaksikan perubahan alam
bilakah lengkapnya?
pertapaan Sri Gumum
di dasar danau mengumpul
gagah dan dendam

bilakah misteri terbongkar?
bilakah lagenda diputar?
atau hanya catatan sejarah?
tergambar sebuah dinasti
terparuh akibah kezaliman

iv

terhimpun di dasar danau
pusaka tamadun bangsa
apakah Cini sekadar lagenda
atau sebuah peradaban silam
atau sekadar sumpahan sang sihir?

menurut pencerita:
Cini dulunya pamah dan bergunung
ada sekumpulan manusia
memugar rimba meneroka huma
tiba-tiba seorang pemuda
bersama koyoknya terjumpa
pohon tumbang menerbitkan minyak air
selepas ditujah dengan galah
lalu mereka minum minyak air
tiba-tiba mereka lumpuh
meraung kesakitan
di langit, petir memanah
guruh memecah. ribut memutar
lalu hujan panas dan pelangi

menjelma seorang tua
tongkatnya si kayu teras
ditujahnya ke dada bumi
memancut air di sana sini
mencurah hujan berhari-hari
pamah dan bukit tenggelam
sekumpulan manusia turut hilang

v

beribu tahun zaman berganti
mentari tumbuh terbenam memutar hari
kelebur danau dinamakan Cini

danau Cini laut berlaut
berangkai dua belas laut
Laut Tengkuk Laut Jerangking
Laut Cenahai Laut Gumum
Laut Pulau Balai Laut Batu Busuk
Laut Keranda Laut Jemerau
Laut Mempitih Laut Gahang Buaya
Laut Kenawar Laut Serodong
sungai Cini lubuk-berlubuk
Lubuk Pak Layang Lubuk Titi Rimau
Lubuk Takah Lubuk Lubang Ular
Lubuk Jemarak Lubuk Merbau Cerdik
Lubuk Merbau Bunting Lubuk Batu Memalau
Lubuk Pusing Lubuk Temuhu

Lubuk Beras Lubuk Haji Awang
gunung Cini gunung-menggunung
tengah laut tumbuh pulau
Pulau Balai Pulau Berhala
Pulau Hantu Pulau Kekura
di darat bukit-berbukit
Bukit Ketaya Bukit Tanjung Mempelam
Bukit Perupuk Bukit Tanjung Kelantan
Bukit Botol Bukit Patah Lutut
teratai danau lambai-melambai
resau hijau terbakar kasih tak sampai
ikan danu bagai ikan-ikan di kaca
Ikan Jelawat Ikan Baung
Ikan Haruan Ikan Lambak
Ikan Kaloi Ikan Kelah
Ikan Lampam Ikan Tengalan
dijaring dijala dilukah
dikail dirawai dipukat
dicandik ditajur dituba

1980
DPMP Kuantan
(Majalah Dewan Sastera, Oktober 1987)

LAGENDA CAMANG

i

dua ratus tahun yang silam
disaksinya keajaiban alam
lalu Sieomang Camang Luek bercerita:
air gunung turun menjunam
tiba di dasar airnya berpaling
memanjat lurah batu-batan gunung
hala ke atas setinggi lapan ratus meter
ke anak air di puncak gunung

keajaiban aliran air turun menjunam
tiba di dasar kemudian berpaling
mendaki bersama gerak batu-batan
memikat Sieomang Camang Luek
membina pondok di kaki gunung
dan membaca keajaiban alam

Sieomang Camang Luek bermimpi:
dua ekor ular besar bertanduk dua
sedang melengkapkan pertapaannya
seekor bertapa di anak air
seekor bertapa di puncak gunung

Sieomang Camang Luek bercerita lagi:
hingga pada suatu malam bulan penuh
awan hitam pekat mencurahkan hujan lebat
sinar kilat memancar gempita halilintar
gemerencing pertembungan sisik ular besar
gemuruh nafas dua ular besar bertanduk
merebut sebiji buntat sakti bercahaya

memecah batu-batan gunung
merobohkan akar tua pohonan
memancut air lumpur mengampuh tebing
bumi bergegar kilat sabung-menyabung
dua ular besar berperang semalaman
akhirnya kedua-duanya letih dan tewas
dan menghanyutkan diri bersama arus deras
sebiji buntat sakti entah kemana jatuhnya
air lumpur semakin ganas membuak
menolak batu-batan gunung ke hiliran
sehingga bulan terbenam dan ayam berkokok
gemuruh dan gempita pun menyepi
ii

Caber Tuk Sebber meneruskan
ceritera yang ditinggalkan
oleh Sieomang Camang Luek
pada pagi selepas keajaiban alam itu terjadi
puncak gunung telah pecah
anak air telah lesap
dua ekor ular bertanduk dua telah ghaib
tinggal hanya batu-batan besar
tinggal hanya air terjun mencuram dalam
tinggal hanya sungai yang lebar

kata Caber Tuk Sebber lagi:
Sieomang Camang Luek akhirnya mati
setelah selesai bercerita keajaiban alam
kepada anak buahnya setia di sisinya
lalu demi keramat keajaiban itu
anak buah Sieomang Camang Luek menamakan
gunung yang pecah sebagai Gunung Camang
air terjun mencuram sebagai Air Terjun Camang
sungai yang lebar sebagai Sungai Camang

iii

kini Air Terjun Camang
tidak lagi berpaling
kini Gunung Camang
dicengkam pohonan rendang
kini Sungai Camang
telah tohor tiada ikan bermain

semuanya tidak lagi ada keajaiban
sebagaimana dua ratus tahun yang silam
sekadar tumpuan mereka gemarkan perkelahan rimba

dan aku sepagi ini
di Air Terjun Camang
sepinya alam menikam diri
suasana dingin mencengkam hati

30 November 1987, Bentung, Pahang
(Darulmakmur, Disember 1987)



USOP


api dendam membara lagi
membakar sekam peribadi
angin durjana menujah diri
mengukir makna di hujung jari

ombak di mata gelombang di hati
ribut di bibir taufan di kaki
bulan di kepala mentari di dahi
Usop si anak nelayan bermain belati

perahu pusaka di tengah segara
menongkah badai membukti perkasa
gagah dan rebah mainan perwira
Usop si anak nelayan bermain bahasa


(Majalah Dewan Masyarakat, Disember 1987)


PERSPEKTIF KUANTAN


1960
semasa kecil di sini menatap
bangsaku dalam perspektif Kuantan
bau keringat petani dan asin nelayan
rengkekan beca tua merentap
nostalgia kota ini pada masa depan
apakah waktu itu nanti
budaya tradisi masih mantap

1970
semasa remaja di sini
Kuantan tumbuh membina
suara-suara riuh buruh binaan
berbaur deruan mesin dan kenderaan
menghiasi wajah kota ini
dengan kemanusiaan dan budi

setiap kali bertemu rakan-rakan
di pinggir benteng Sungai Kuantan
atau di warung medan pelancong
berbicara kehidupan masa depan
bagaimana berdiri mengenal diri
dilingkari pancaroba alam
dan derap pembangunan
sesekali menonton filem di panggung

bersama kekasih sepersekolahan
atau menjamu selera di Teluk Cempedak
terhidang hangat sate Beserah
berbicara mengenai percintaan
perspektif Kuantan sebagai ibu kota impian
pertembungan hidup nelayan Tanjung Lumpur
dan gaya birokrat Medan Tuk Sera Alur Akar

1980
setelah terasuh di menara gading
aku berkahwin dengan teman sekampus
merencanakan sebuah keluarga besar
mimpikan anak-anak segar dan subur
kembali ke dalam perspektif Kuantan
ibu kota gemerlap pelbagai pancaroba
budaya manusia turut berubah arah
rakan-rakan jika berbicara
berbahasa dan berbudaya luar
bercakap perihal masa depan nelayan
dengan data kemiskinan
perihal masa depan petani
bersama turun naik saham sawit dan getah
warung-warung bukan lagi lokasi pertemuan
setiap hari kelepasan di hujung minggu

1987
perspektif Kuantan sebagai ibu kota kini
berubah bersama berkembangnya alam
kematangan intelektual budaya luar
mengumpul manusia angkuh dan kasar
pintar berpura-pura kejam pada waktu
jika berbicara perihal petani dan nelayan
tidak lagi di warung di pinggir benteng sungai
tetapi di Hyatt, kelab Med atau Ramada
punya sentuhan gaya kontinental mengasyikkan

jika bertemu dan berbual
dengan rakan-rakan akrab
melalui telefon, padang golf atau di pasar raya
sambil mengheret anak-anak fasih berkata:
sedapnya Kentucky Fried Chicken
hebatnya robot transformers atau ninja

perspektif Kuantan seringkali berubah
sebagaimana perubahan akal manusianya
nanti bagaimanakah aku mengukur
antara tauhid kepada Allah dan
arus budaya mesin dan komputer

11 Ogos 1987
DPMP Kuantan

(Majalah Dewan Budaya, Disember 1987)


BALADA CINI, TAHAN, TIOMAN

air mata rakyat seluruh negeri
berteduh di tasik cini
meratapi lagenda sebuah pura terbenam
apakah sumpah? apakah aksam?
apakah benar puri terpendam?
apakah benar pertapa sang naga masih berdiam?

kini bisik angin silir mencium hari
teratai lambai melambai semarak sekali
datanglah! bertandang ke tasik cini
di sini kukuh rahsia di akar muslihat
di sini zaman tamadun gemilang bermukjizat
menanti dalam setia siapakah pencari?
tidak sesat langkah di hujung kaki sendiri

berdiri tegak puncak tahan gagah
berbalut kabus bersayap awan putih
renunglah dikehijauan lembah
dan tetulang banjaran mengukuh
dengari gendang perang zaman bahari masih bergema
suara amukan mat kilau, bahaman, tuk gajah masih gempita
berbesi khursani di hati anak bangsa

sudah tercatat dalam sejarah
ribuan mati tanpa pusara indah
ribuan yang hidup mimpi pedih
dalam menerjah penjajah membakar sumpah
gamat gempita di alur sungai memerah darah

lihatlah arah tioman ditimang gelombang
dengarkan desah nafasnya memukau pendatang
angin pantai mengucup udara yang luka
lagenda sebuah pulau terapung ini di tenggara
apakah dari sang naga asalnya? maha rahsia
apakah ceritera warisan buat penyenyak tidur
anak-anak yang mulai berkembang tambungnya...?

tioman kini ramah menanti pendatang
dicumbui ombak diusapi badai didakapi pengembara
di pantainya barisan gadis jelita melambai-lambai
memikat hati pendatang terserlah rasa budaya
barisan pemuda gagah ke mana hilangnya?
mereka tiada di perahu nelayan
mereka tiada mengheret pukat dan tangkapan ikan

tioman kini ramah menanti pendatang
apakah yang simpati di sini?
apakah gunung nenek si mukut
atau sekumpulan lembu liar
atau jernih air, karangan laut bermutiara?
jauhari jua mengenal manikam...

cini, tahan, tioman kupahat namamu dalam balada
mengenang budi membina budaya merencana tamadun
pahlawan-pahlawan di zaman bahari dan era komputer
berkat kekuatan diri dan batini, akal budi
dipugar rimba raya berpuaka lalu rebah merata
bangkit dengan nafsu baru jengka dan dara
bukit dibelah lurah ditambun bersilang siur lebuh raya
disinggahi ribuan kapal dagang di rahang pelabuhannya

Perkampungan Cenderawasih, Kuantan
1986 - 1988

(Antologi Gema Membelah Gema 9, 1988)

ANNEXE 1


ufuk malam menghantar hujan
menyiram alam buram
sesekali petir melabuhkan amarahnya
menusuk ke dalam diri
lalu aku mencari rinduku
di bawah bayang pohonmu
hingga tidak terkesankan

setelah hujan reda
dan sulingan rhu mendayu
sedar aku angin dari arah pecah
gelombang itu mahu mengibarkan
padaku kali berkali perjalanan
panjang sang taufan ganas
sedang aku dan rakan-rakan masih setia
bercerita hingga ke hujung pagi
mimpi manusia menguasai tuhannya

tidurku kehilangan lena
tanpa diuliti mimpi
salah seorang dari kami bertanya
di manakah arah kiblat
perjuangan mutakhir kita?
dan semuanya menjawab: ENTAH!

22 - 24 Disember 1988 Kuantan

(Akhbar Watan, 7 Januari 1989)

TANJUNG TEMBELING


kuanyam malam. Deru ombak memujuk karang
di Tanjung Tembeling mengukur pasang
di langit ke lautan jauh
kekasih menenun cinta seluruh
alam, lautan dan pantai hati
saksi kutumpah erotik ke rahim puisi


DPMP Kuantan

( Akhbar Bacaria, 25 Mac 1989 )


BATU HITAM


Batu Hitam
benarkah sejarah
bahtera Abdullah
di sini berlabuh?
dan membaca budaya
manusianya pandai bergaya
tetapi malas berusaha

Batu Hitam kini
tidak semeriah dulu
tiada lagi seloka nelayan
tiada lagi gema rebana
tiada lagi manusia perkasa

Batu Hitam:
anak nelayan mengasuh dendam
anak nelayan membaca mentari kelam

di sini, di pantai ini
akan tegakkah sebuah tugu
anak nelayan menongkah lautan
mendayung payung?
atau sekadar memori
buat generasi mengutip mimpi

jika demikian
benarlah kata Abdullah
di sini manusianya pandai bergaya
malas berusaha?

1979 - 1987
Batu Hitam, Kuantan
( Majalah Variasari, April 1989 )


PENGUTIP SIPUT


Siput laut mendekap batu
ombak jauh di gigi waktu
senja di Batu Hitam
pengutip siput berendam
mengutip siput mengutip duka
esok, dijaja siput di pasar terbuka
persis menjaja nyawa keluarga
lautan hati insani payah diduga



1979 - 1989
Kuantan

( Akhbar Mingguan Famili, 2 April 1989 )


KUANTAN DI HUJUNG JEJARIKU


Kuantan tiba-tiba di hujung jejariku
berubah jadi hutan batu
berubah jadi taman batu
berubah jadi mentari batu
berubah jadi lautan batu
berubah jadi orang baru

Kuantan tiba-tiba di hujung jejariku
tiba-tiba jadi serupa diriku
sehingga sang pelukis alam
tertipu permainan cahaya malam
mendap diam dalam ingatan silam



1987 - 1989
DPMP Kuantan

( Akhbar Mingguan Famili, 18 Jun 1990 )


SUATU SENJA DI BATU TALAM


Suatu senja di Batu Talam
merahnya mentari dendam
tergantung di langit kata
tanpa bahagia di perlembahan rasa

Suatu senja di Batu Talam
petani-petani desa
mimpinya buram
menanti janji adalah kata
hingga ke hujung malam

Suatu senja di Batu Talam
petani menanti dalam mimpi
makna sebuah kata - pembangunan


1981 - 1989
Raub, Pahang D.M

( Akhbar Mingguan Malaysia,
3 Disember 1989 )


IGAU
- buat isteriku


Igaukah aku dalam igaumu
sedang tubuh diselimuti udara malam
Laut China Selatan
aku bacakan puisi-puisi sepi
malangnya suaraku rebah
di kaki Titiwangsa

Igaukah aku dalam igaumu
bagaimana anak-anak kita
aku dengar tawa dan tangis mereka
merempuh tujuh rimba bagai ribut
menujah tujuh perbukitan bagai guruh
sedari aku meratap dalam lena

Sedang aku mengutip air mata
luruh bagai hujan manik senja hari
sang pelangi tumbuh di selatan
perlahan-lahan Subuh merayap
mendakap tubuh lesuku
sedang aku terigau-igau
tawa dan tangis anak-anak kita


Hari Puisi Nasional Ke-6, 1978
Hari Sastera Nasional Ke-9, 1987

( Akhbar Mingguan Famili, 27 Mei 1990 )


SUNGAI SEMANTAN

Sungai Semantan
keruh berlumpur airmu
deras berdesah arusmu

kini tiada lagi merah darah
kini tiada lagi amukan Bahaman
kini kemiskinan dalam kemakmuran



1978 - 1989
Temerluh, Pahang

( Akhbar Warisan Nasional,
3 - 9 Jun 1990 )




STANZA KISAH BERKASIH

( i )

di halaman hati kusemai benih kasih
dalam kelam ada hujan menyiram
empat tahun ladang cinta disubur-baja
pelangi rindu merebah di danau remaja
ada angin silir menerpa keyakinan diri
lembar demi lebar warkah kasih kuutus
lembar demi lembar warkah cinta kuterima
setiap lembar katamu: lamarlah daku segera!

( ii )

pertemuan semasa kecil kita: nostalgia
menghamil rasa cinta seluruh
kau dan aku berkejaran di batas sawah
kau terjauh, dibetismu seekor lintah bertaut
kau menjerit takut, aku berpaling arah
kurentap lintah, kau mengaduh kegelian
kusempat mengucup pipi basahmu
kau bangkit dan mengejarku menyusur batas sawah


1972 - 1975
Raub, Pahang
( Warta Perdana Bil.78, 24 Februari 1991 )


SUNGAI PAHANG
MENDESAH KHABAR


Dari puncak Tahan airmu datang
menajam batu jeram
memamah tebing curam
merakam sejarah perang

Tiba airmu di Tanjung Teja
melerai kasih muara
nafiri purba masih bergema

Sungai Pahang mendesah khabar
pertapa sang naga rotan seni
bertanduk gading bersisik emas
siap sedia membelah bukit
demi perjuangan moyang

( Dewan Sastera, Oktober 1991 )

KUALA TAHAN

Iba dan ilu
Ini kubenamkan
Ke gua rimba dan
Kolam sungai purbamu
Tak perlu menunggu
Epigonis gelap
Siang mengajarku
Derana mencari karma
Hipotesa akar
Bangsaku di sini

Di Kuala Tahan
Sungai purba dan
Rimba binal
Kagungan flora dan fauna?
Apakah Kuala Tahan
Membenam tradisi
Dibaluti modenisasi?
Bila lebuh raya
Kuantan – Kuala Tembeling
Menjadi kasatmata tahun 2020

Mampukah aku
Mencari karma
Hipotesa akar bangsaku?
Di sini

1988 – 1991
Taman Negara, Kuala Tahan
( Akhbar Jiran, Febrauri 1982 )

CERITA SEBUAH HUTAN 1

syurga hijau di hutanku
jangan dibiarkan meraung ilu
jaringan akar mantap tamadun
menyerap air kehidupan di bumi
jangan dibiarkan parah lukanya
jangan dibiarkan reput jiwanya
kerana air hutanku wahana kemanusiaan

dari hutanku terbit air, gas dan hasil mahsul
air menjadi sungai dan saluran irigasi tani
gas menyempurna nafas manusia dan tumbuhan
wajar kita cintai hutan ini milik bersama
jika hutanku dipugar memperkosa sistem produksi
pasti kehidupan generasiku terancam dan kelam
kemanusiaan mewujudkan kengerian berabad-abad lamanya

demi anak cucu kita nanti, berjanjilah:
kita akan melindungi hutan hijau ini
dengan konversi hindarkan manusia tamak haloba
dengan perbaiki sistem produksi hilirannya
dan kita menanam kembali benih pohon terbaik
dengan kita memelihara hutan rimba negara
sekaligus memelihara wahana kehidupan kita

Kuantan, Pahang
( Akhbar Utusan Zaman, 7 Februari 1993 )


SUARA RAKYAT


Hari ini keramat martabat rakyat
dengan penuh sedar melalui parlimen
yang tidak lagi mati atau kaku

Di sini suara rakyat menjadi besar
sederap melangkah mengekal tradisi
menyanggah kezaliman melalui perundangan

Hari ini rakyat menjadi gagah
demi nasib masa depan generasi bangsa
demokrasi diperkukuh, sistem diperbaiki

Di sini suara rakyat serentak mendapat hak
demokrasi berparlimen, raja berpelembagaan
rakyat dilindungi negara dipertahankan

Hari ini hari kemenangan rakyat
tidak lagi hidup dalam ketakutan
tidak lagi bernafas dalam kecurigaan

Kuala Lumpur
( Akhbar Berita Minggu, 7 Februari 1993 )


MELUKIS HUTAN


Berikan aku warna apa saja
hijau, biru, merah atau duka
asal jangan warna putih-hitam
kerana warna itu mengingatkan
kepada dongeng purbawi sebuah hutan
bagaimana seorang Adam melukis alam
dengan sujud, takwa dan doa

Ketika aku melukis hutanku
pasti kauberikan warna hijau
atau memindahkan pohon-pohon kering
di atas kanvas kehidupan dongeng
di langit di laut tidak biru
kerana ancaman taring polusi di bumi
warna putih berubah menjadi hitam

Lalu aku melukis masa silam
dengan hijau hutan dan biru langit
al-mautu jasrun bainul habibi wal habib
nafiri bergema dan aku pelukis itu

Kuantan
( Mingguan Malaysia, 14 Februari 1993 )


CERITA SEBUAH HUTAN 2


benih pepohon ditanam akan tumbuh menghijau
menyerap gas-gas merbahaya di atmosfera
bumi dan langit kita bersih dan segar
dan negara kita adalah syurga kemanusiaan

bersamalah kita selamatkan ozon
dari kepijaran pancaran matahari
bila hutan hijau kita tumbuh subur,
menyeri kehidupan 18 juta manusia
dalam sebuah negara Malaysia makmur

nenek moyang kita secara alamiah
belajar dari hutan untuk menjaga kesihatan
diramu dari dedaunnya, dari kulit kayunya,
dari bunga dan buah, dari akar-akarnya
dari pelbagai tumbuhan herba berkhasiat

nenek moyang kita yang penuh bijaksana
menghayati hutan rimba kita yang hijau
mengamati, meramu, mencuba dan menggunakan
khasiat pengubatan lebih ampuh dan teruji
amat wajar kita warisi kebijaksanaan ini
menghormati dan melestarikan hutan rimba
kerana hutan rimba sumber ubatan tradisi
menyihatkan kita dari abad ke abad

ribuan tukang kraf dengan keterampilan seninya
mengolah hasil hutan mengembang industri kecil
memproduksikan kraftangan bermutu tinggi
untuk menambah bahan eksport ke luar negara
di mana tukaran asing mencurah tiba
untuk kemakmuran bangsa dan negara

bila bijaksana mengurus hutan rimba
kemakmuran tumbuh sebagai kerjaya bangsa
dalam bentuk pendapatan mutlak negara
dalam manfaatkan hasil hiliran hutan
kerana hutan rimba memakmurkan kita

Kuantan
( Utusan Zaman, 28 Februari 1993 )


SUARA RAKYAT 2


Hari ini hari keramat berkat doa rakyat
setelah berkorban, terkorban demi daulat
demi keteguhan institusi raja bermartabat
reformasi budaya bukti kehidupan hakikat

Khabarkan pada dunia bahawa kemenangan ini
adalah kemenangan suara rakyat angkara nafsi
bila sejarah bertelagah dengan kekinian ini
wawasan bangsa masa depan akan merugi

Hari ini hari rakyat melafaz setia dan bertekad
demi demokrasi berparlimen raja berperlembagaan
semoga sirna kezaliman, pembaziran dan khurafat
ditumbuhkan kemanusiaan, budaya satyawacana

Dengarkan, betapa rakyat mudah memaafkan
dari nostalgia sejarah ke peradaban kini dan masa depan
betapa kecilnya suara rakyat meminta perlindungan
wajar dihargai diyakini dipercayai merentasi zaman

Kuala Lumpur
( Berita Minggu, 7 Mac 1993 )


SEKALI INI


Sekian lama mata dan hati ini
difokus dengan pamplet dan slogan
di mana bumi di pijak kaki
di situ langit dijunjung ubun-ubun
mulut dikunci telinga dituli

sekali ini aku akan menongkah arus taufan
sekali ini aku akan melabuhkan tirai sandiwara
sekali ini aku akan membasuh luka kelmarin
sekali ini aku akan menatang lembing purba
sekali ini ya, sekali ini saatnya aku memeta citra

perjuangan tidak ada makna tewas terdiam
penghidupan bukan sekadar sandiwara alam
sekian lama aku bernafas dalam curiga dan buram
sekali ini aku bangkit dengan dupa berasap kemenyan
sudah lama keris lembing aku limaukan
sudah lama akal hati aku asuh dengan peradaban

sekali ini aku buktikan: aku anak rawa
sekali ini aku berwaad: sumpahan suku rawa
melintang patah membujur lalu
aku tetap pertahankan martabat warisanku

8 Mac 1993
Kuantan
( Dewan Sastera, April 1993 )


CERITA SEBUAH HUTAN 3


Kerana itu kita berjanji
meneruskan tradisi
penanaman semula
dan penghijauan hutan rimba kita
moga doa kita bakal terjadi
dana dan daya telah kita kerahkan
untuk melindungi aset asli kita,
untuk rancang cagar alam masa depan
untuk konversi warisan negara
untuk memperbaiki sistem produksi
serta produksi terbatas bahan hiliran

margasetua hutan kita yang gagah
ada yang lucu, menyeramkan dan indah
merekalah wajar kita bersama lindungi,
kita bahagiakan dan sayangi kehidupannya
dan hutan kita adalah rumah alamiah mereka

margasetua di hutan kita berbagai spesies
inilah rahmat dan bukti kebesaran Tuhan
kita melestarikan hutan kita
lestari pula margasetua penghuninya

dalam hijauan hutan rimba kita
fungsi bernafas tidaknya bumi pusaka
udara bersih di atmosfera negara
yang kita hirup ini siang malam
adunan oksigen dan kaban dioksida
dan bersamalah kita hindarkan gejala
serangan ultra-violet dari kebocoran ozon

(Akhbar Utusan Zaman, 25 April 1993 )





Powered by Blogger