SAJIAN PUISI ARISEL BA
Friday, May 13, 2005
 
PUISI-PUISI ARISEL BA BAB 7
PUISI-PUISI ARISEL BA DARI MALAYSIA 2005

SUARA ISYARAT
Sajen Arisel Ba

Sekeluarga baru pindah, namanya Jusoh
Mendiami rancangan rumah murah
Sejak seminggu Jusoh terdengar suara
Suara jirannya bercakap ungkapan sama

Apabila jam dua belas malam suasana tenang
Suara jiran mula kedengaran bukan bersembang
“ Munah, tanggal selipar, aku nak naik,”, seru suami
“ Basuh tangan dulu, baru naik, “ sampuk isteri

“ Bang Mat, makanan dah terhidang,” seru isteri
“ Buka tudung saji, amboi, berselera,” tukas suami
Jusoh membuka cuping telinga cuba mengamati
Senyap sunyi hanya dengus nafas bagai berlari

Tiba-tiba Jusoh terdengar lagi suara jiran
“ Aku dah kenyang, nak basuh tangan,” kata suami
“ Munah pun nak pergi mandi, “ jawab isteri
Jusoh tercenung dan hairan karenah jiran

16 Mac 2005
Pulau Pasir Mandi,
Temerloh, Pahang



















SELOROH WARUNG MAMAK 1
Sajen Arisel Ba

Suatu hari sang wartawan datang ke warung
Dia pesan sarapan, maklumlah, orang bujang
Wartawan: “ Tehtarik satu, roti canai telor, bermadu”
Mamak: “Wooke!, duduk dulu, lima minit tunggu”

Wartawan makan lahap sekali, hingga jilat jari
Mamak tanya, mahukah tambah itu roti satu lagi
Wartawan: “ Ini roti canai banyak enak,
Apa ilmu kasi baca, aduhai Mamak!”

Mamak: “Saya sudah 20 tahun ini Malaysia dalam,
Nasi daun pisang, capati, tosei, roti canai,
Semua bikin sendiri, waktu siang atau malam,
Tehtarik ini warung nombor satu punya,!” akui

Wartawan: “Woo, berapa tahun Mamak takbalik India?”
Mamak: “ Kira-kira 10 tahun tadak balik sana!”
Wartawan: “ Mamak punya anak berapa orang?”
Mamak: “ Saya punya 12 anak, satu, sini ada tolong!”

Wartawan: “ Mamak ada anak kecil, berapa umur dia?”
Mamak: “ Itu kecik anak dua tahun, bini lagi mengadung!”
Wartawan: “ Mamak tadak balik sudah banyak lama?”
Mamak: “ Ooo, sana India saya punya adik ada tolong!”

Satu warung riuh rendah ketawa pelanggan
Mamak kembali sedia nasi daun pisang
Terbahak-bahak ketawa sang wartawan
Wartawan: “ Apa jadi, bikin anak, adik tolong?”

17 Mac 2005
Temerloh, Pahang










SELOROH WARUNG MAMAK 2
Sajen Arisel Ba


Hari ini Ahad, bukan Sabtu, bukan Jumaat
Keluarga Arisel Ba berkumpul dan berpakat
Makan di luar rumah, nak ubah menu makan
Maklumlah, di rumah, asyik sambal belacan

Mereka mencari makan di warung Mamak
Sudah pasti menu makanannya serba enak
Tiga meja penuh 12 orang bagai nak rak
Semua pesan makanan dengan Mamak

Ada yang makan tosei, tambah tiga kali
Ada makan roti canai banjir, tambah dua kali
Ada makan mee goreng telur, tambah rojak
Ada yang makan sup lidah, capati, murtabak

Arisel Ba: “Mamak, cepat kira, berapa harga?”
Mamak datang dengan sepuluh jari, kira semua
Arisel Ba: “Mamak, berapa kena bayar tiga meja?”
Mamak:” Dua, lima, 10, 20, semua RM40 saja!”

Arisel Ba minta Mamak kira sekali lagi
Mamak: “ Betul encik, RM40, 12 orang makan”
Arisel Ba: Mamak jangan guna sepuluh jari,
Pakai itu kalkulator, baru itu harga relevan.”

Mamak: “ Mana tahu pakai kalkulator, bikin susah?”
Arisel Ba: “ Ini saya punya kalkulator, Mamak kira!”
Mamak: “ Dua, lima, 10, 20, semua kira sudah!”
Arisel Ba: “ Mamak, RM37 saja, bukan RM40!”

Semua keluarga Arisel Ba beredar menuju kereta
Arisel Ba membayar harga, selepas lima kali kira
Arisel Ba: “ Mamak, kasi diskaun harga kurang?”
Mamak: “ Mana ada!. Kedekut punya woorang!”

20 Mac 2005
Kuantan, Pahang





DEMI OMBAK
Puisi Arisel Ba

Demi ombak, bahang mentari memercik apiDi pamah paya gambut masih menebal asap
Aku bagai degil pada cuaca 40 celciusDi pantai ini aku tabah menjala buih
Sedang ombak deras memamah kaki
Dan air asin memedih sendi dan jariSebentar aku merasa mengah tekanan usia tuaTiba-tiba ada yang menegur pandirku
Asyik menjala buih. Sesekali beredamDan dadaku membuka menahan ombak
Ketika ubun-ubunku perit terjahan terik mentari

20 Mac 2005
Pantai Sungai Miang,
Pekan, Pahang




























KHABAR DARI NIAS
Puisi Arisel Ba
Gempa itu datang lagi. Gempa itu datang lagi, datang lagi, datang lagi membawa amarah pusat bumi menerjang gegar gempa lalu airmata manusia Nias singgah ke dalam dadaku, ke dalam jantungku, dan mereka, orang-orang Nias ada yang remuk redam sampai mati, ada yang patah kaki luka diri, sedang aku menghimpun segala mimpi pedih, di sini.
Airmata tidak sempat tumpah di Gunung Sitoli, gegar gempa datangnya penuh rahsia membanting kerak bumi, meranap rumah-rumah dan segala, jambatan-jambatan runtuh, bangunan-bangunan ranap dan jalan-jalan terbelah, airmata,. airmata yang terkuras di celah-celah reruntuhan jiwa, gempa gegar mengkarak.
Sekadar memasuki mimpiku raung jasad yang kering airmata, dan airmata itu mulai membanjiri jiwaku menderas menguyup basah. Gempa itu datang lagi. Gempa itu datang lagi, datang lagi, datang lagi membawa amarah pusat bumi menerjang gegar gempa lalu airmata manusia Nias singgah ke dalam dadaku, ke dalam jantungku.

29 Mac 2005
Kuantan, Pahang


























SURVIVAL MERDEKA
Puisi Arisel Ba

Keranamu Malaysia, tiap tahun kita bertemu
Cahaya berpesta ulangtahun merdeka, dirgahayu
Citra bangsa pemacu ekonomi global, cendekia
Kita perencana dan penjana pembangunan Negara
Cemerlang gemilang terbilang mewarna dunia

Hari bersejarah ini kita himbau nostalgia:
Masih terdengar amuk berapi pendekar takbernama
Masih terdengar derap sepatu barisan gagah perwira
Masih terhidu bau hanyir percik darah pejuang bangsa
Masih tergambar derita rakyat terjajah seketika

Kini kita rasai nikmat merdeka, saudara
Keranamu Malaysia, acungkan tangan tempik merdeka
Satu determinasi, satu semangat, satu wawasan, jasa disanjung
Kita pewaris menafsir visi dan misi Negara
Kita pemain global di mana-mana menjulang jalur gemilang

Survival merdeka realisasikan wawasan perdana
Dalam mengisi kemerdekaan, pelajari sains teknologi
Dalam kenangi sejarah, kita jana Islam hadhari
Kita pewaris berakal bistari memaju bangsa
Kita pertua di mana-mana berkomunikasi satu bahasa

Survival merdeka memacu tradisi dan jati diri kita
Dalam mengisi kemerdekaan, teguhkan budaya
Dalam kenangi sejarah, kukuhkan perpaduan kita
Keranamu Malaysia, kita berjanji seia sekata
Kita pemula harmoni satu bangsa satu Negara

Hari bersejarah ini kita sebaris bergandingan bersama
Kibarkan jalur gemilang di desa dan kota
Kita lafaz setia dan bersyukur, mendaulat Raja
Keranamu Malaysia, cekal hadapi duga gendala
Hari bersejarah ini kita martabatkan survival merdeka


14 April 2005
Kuantan, Pahang




SUNGAI DAN PERAHU
Puisi Arisel Ba
Siapa mendayung perahu di sungai ituAkukah?, kalbukukah? atau Diakah?, melaju Kata sungai: Aku alur lintas lalu masa duluMengoncang setiap detak musik jantungmuBerdenyut seirama menyetubuhi alam ilmu Awas, alam ilmu itu mampu menghanyutkan perahumuAwas, alam ilmu itu tangkas mengombang-ambingkan perahumuJika sedang mendayung perahu, lihatlah kanan kiri tebingkuMatamu lihat lelakon manusia semakin pupus manusiawi:Mereka melambungkan gah nama dan gengsiMereka melayangkan harga kehidupan ke dalam ilusiMereka menjungkirbalikkan adat susila sesuka hatiMereka membutakan mata sendiri dari melihat cahaya IlahiMereka menulikan telinga sendiri dari menangkap jerit batiniMereka membisukan mulut sendiri dari berbahasa Melayu jati Dayunglah perahumu itu, kerana muara masih jauhBermulalah dari hulu dan menghilir sungai dengan gagahDan dalam perjalanan panjang ini melaju menuju asalCarilah bekal, isikan perahumu dengan segala amalTatkala malam gunakan misbah dari kalbumuKetika siang gunakan firasat maujud dari hatibudi hakikatDan bersiaplah untuk perahumu tenggelam di lubuk makrifat Siapa mendayung perahu di sungai itu:Akukah?, kalbukukah? atau Dia, melaju 15 April 2005Impiana Resort,Cherating, Kuantan








ADUH MAK!, SEKAKI
Sajen Arisel Ba


Selepas majlis perkahwinan
Di sebuah kampung di pedalaman
Sekeluarga menjadi gempar sekali
Gara-gara ‘Aduh Mak!, sekaki! ‘

Begini ceritanya:
Si Leha bunga ranum sedesa
Berkahwin dengan Atan Perkasa
Si Atan, mantan perwira bertugas di Bosnia

Apabila selesai kenduri sekampung
Dan tetamu telah pulang
Malam itu sekeluarga meraikan menantu
Selepas duha pengantin masuk beradu

Tiba-tiba terdengar suara kecuh si Leha:
“ Aduh Mak! Sekaki!…. “ jerit Si Leha
“ Ayah kamu enam inci aje!, untunglah Leha”
“ Aduh Mak! Sekaki!… “ jerit lagi Si Leha

Si Leha dengan sebak meluru keluar bilik
Ibunya terpinga, heran dan bertanya:
“ Kenapa? ganas sangat ke!, sabarlah”, pujuk ibunya
“ Tidak Mak! Abang ada satu kaki!” Leha terkejut beruk

23 April 2005
Kuantan, Pahang














JOM!, KITA RAIKAN HARI MERDEKA
Puisi Arisel Ba


Setiap kali tiba 31 Ogos, kita raikan hari merdeka
Sebagai warga penuh setia, kibarkan bendera
Di setiap rumah, sekolah dan pejabat, tanda gembira
Kita teguhkan azam untuk hidup maju dan bebas
Kerana kita pewaris yang cendekia dan tangkas

Jom! Kita raikan hari merdeka
Malam selepas detik jam 12, kita solat hajat
Memohon kepada-Nya moga Allah berikan rahmat
Kita jalin muhibah sesama jiran tetangga
Kita hiasi halaman rumah dengan bunga raya

Jom! Kita raikan hari merdeka
Sekeluarga berbusana beranika gaya
Kita berbaris atau menonton sambutan gemilang
Bersama serentak kita laungan kata:
Merdeka…. Merdeka…. Merdeka…kita telah merdeka

Jom! Kita raikan hari merdeka
Satu hari menjadi tanda bebas dari belenggu penjajah
Satu hari mengukuh perpaduan cemerlang sebangsa
Satu hari membina azam menggapai wawasan negara
Satu hari merayakan jasa terbilang pemimpin bersejarah

Setiap kali tiba 31 Ogos, kita raikan hari merdeka
Kerana kita pewaris yang cemerlang dan berbudi bahasa
Kita adalah pejuang mendaulatkan bahasa
Kita adalah pelopor mengukuh jati diri dan budaya
Kita adalah peneraju dalam memajukan negara

Jom! Kita raikan hari merdeka
Jika masih ada api dendam kesumat, kita padamkan ia
Jika masih ada sembilu menusuk kalbu, kita bertakwa
Jika masih ada saki baki pengkianat kemerdekaan negara
Jom! Hari ini bersatu memartabatkan hari kebebasan kita

23 April 2005
Kuantan, Pahang





TATKALA ARISEL BA MEMBACA DIRI 1
Puisi Arisel Ba

Aku-lirik menjelma bagai seorang darwis yang mengubat gejolak hati dan jiwa, lalu mengendap-endap diam dalam lembar-lembar kertas di buku kehidupan seorang Arisel Ba yang tatkala dibaca, sesosok diri pribadi seorang Arisel Ba yang menghamburkan kata demi kata dari dunia realiti dan ilusi dan melemparkan kembali kesedaran selangit memori dan pengalaman. Tiba-tiba ada bisikan beracun dalam kalbu: Jangan bicara soal orang lain, bacalah dulu siapa dirimu dan diriNya.

14 Mei 2005
Kuantan, Pahang
 
biodata arisel ba
BIODATA ARISEL BA


ARISEL BA
Arisel Ba atau nama sebenarnya Subari bin Ahmad dilahir pada 11 Ogos 1953 di Ladang Selborne, Kuala Lipis, Pahang. Beliau mendapat pendidikan awal dan menengah dari Sekolah Menengah Clifford, Kuala Lipis, Pahang kemudian melanjutkan pengajian di Maktab Teknik Kuala Lumpur (1971 – 1973) dan bertugas dengan LLN (kini TNB) selama 10 tahun ( 1973 – 1983). Kelulusan tertinggi beliau adalah dalam bidang Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia (UPM) 2003. Mula menulis tahun 1976 dimana puisi pertamanya Gua Bama tersiar di majalah Dewan Sastera, April 1977. Selain puisi, Arisel menulis cerpen, novelet, drama pentas, berita dan rencana. Karya Arisel telah terbit di akhbar, majalah dan antologi puisi/cerpen bersama. Novelet Pertama beliau yang telah terbit ialah DENDAM MALAM GERHANA pada tahun 1982. Antologi Puisi AKSARA ‘XXX’ terbit thun 2004 adalah buku puisi pertama beliau setelah menulis puisi lebih 30 tahun. Arisel Ba pernah menjadi Setiausaha Agung DPMP selama 10 tahun (1983 - 1993) dan Setiausaha Hari Sastera 1987. Kini Arisel menjadi ahli biasa PENA dan DPMP disamping sebagai Wartawan Tamu Akhbar Tabloid Forum Perdana. Kerjaya beliau adalah sebagai Ketua Penyelia Kanan KEMAS Pahang. Arisel Ba telah dianugerahkan Pingat Jaksa Kebaktian (PJK) pada 24 Oktober 1997 atas jasanya terhadap bahasa, sastera dan budaya Melayu di Pahang. Sebagai aktivis masyarakat terutama di luar bandar, beliau menjawat Pengerusi, Koperasi KEMAS Pahang Berhad sejak 1998 hingga sekarang.
Sunday, March 06, 2005
 
HIKAYAT SUNGAI DAN PASIR
Puisi Arisel Ba

Sungai itu dari mata airnya di puncak gunung mengalir berabad lama melintasi ngarai dan tebing, akhirnya melalui padang pasir luas terbentang, malangnya sungai itu gagal menakluki itu padang pasir kerana setiapkali melintasinya, airnya sirna di pasir, sungai akur dengan takdir, airnya terserap di pasir tiba-tiba sungai terdengar bisikan dari padang pasir, bisik suara itu." Angin boleh merentasi pasir, sungai pun pasti boleh menggusur pasir sampai muara?", sungai menolak bisikan itu bimbang hilang jati dirinya, "Jika kau terus menyemberangi pasir, airmu tetap terserap dan kau tidak akan berjaya ke kuala, hanya jadi rawa-rawa, kau harus mengizinkan angin mendukungmu sederap menyeberangi padang pasir, terus menuju muara!." Sungai masih mendiamkan diri dan mencanai akal bicara, dan kalau dirinya itu lenyap, pasti takdapat kembali? "Angin," kata Pasir, "menjalankan tugas semacam itu, kamu membawa air, terbang menyeberangi dadaku, jatuh ke bumi sebagai hujan, dan menjatuhkannya lagi, pasti air itupun akan menjelma sebagai sungai." Sungai tidak mahu dirinya terserap oleh angin, bimbang hilang jati dirinya sebagai sungai bermuara. "Bagaimana aku boleh yakin bahwa itu benar belaka?"."Memang benar, dan kalau kau takpercaya, kau hanya rawa-rawa gersang hingga akhir zaman?"."Tapi, tidakkah aku tetap sebagai sungai, seperti kini?"."Apapun terjadi, kau tidak akan berupa sungai," bisik suara itu. "Bahagian intimu dibawa terbang, dan terbentuk sungai nanti, kau disebut juga sungai, sebab kau pasti taktahu asalmu itu mana inti," dan sungai pun melonjakkan wapnya mengudara, angin setangkasnya mengangkat menerbangkannya, bebas merintik lembut tatkala atap gunung digapainya dan kerana pernah meragukan kebenaran, sungai bermuara mengingat kembali pengalamannya dan merenungkannya. "Ya, kini aku mengenal siapa diriku sebenarnya", sungai itu telah membijaksanakan akalnya, namun Pasir berbisik, "Kami tahu sebab kami menyaksikannya saban hari; dan kami, pasir ini, terbentang dari tepi pasir sampai ke gunung sana."

6 Januari 2005
Kuantan, Pahang

PAMFLET MEREKONSTRUKSI ACEH
Puisi Arisel Ba

Tatkala airmata orang-orang Aceh kering meratap kematian 166,320 jiwa saudara seagama kita yang diterjangi gempa tektonik dan menyusur ombak besar Tsunami dari barat Sumatera melantak bumi Aceh dari Tapaktuan, Meulaboh hingga sebahagian Banda Aceh pasti tidak sepantasnya akan sembuh.

Kini, mari kita berfikir, bermesyuarah dan bertindak bagaimana untuk merekonstruksi Aceh yang hampir lenyap tamadun kemanusiannya dengan kudrat dan peluh sendiri biarpun perlu waktu lima tahun atau sepuluh tahun mendatang, kita mesti bekerja untuk manusia Aceh yang degil dan keras hati itu supaya penghidupan dan kehidupan mereka, membina semula sebahagian tamadun yang telah hilang. Inilah masanya untuk kita memacu keberanian dari urat nadi orang-orang Aceh sendiri yang utuh berpaut pada nilai adat dan agama Islam yang mendarah daging dalam budaya Aceh sebagai Aceh Baru.

Selepas bencana Tsunami pada 26 Disember 2004 yang amat melukakan mata dan hati kita, ekologikal musnah, sengsara manusia, huru-hara sosial dan kecemaran budaya Aceh, kita harus menguak kesilapan masa lalu yang menghilangkan konsep meunasah atau musyalla desa disamping pupusnya hutan bakau dan tiada penanaman pokok kelapa di pinggir pantai menjadi buah bibir kita sekian lama.Mari kita menyeru sesiapa juga yang prihatin mencuil Aceh semoga kefahaman mereka dalam membangun semula tamadun Aceh Baru, pastikan roh Islami menunjang pengupayaan sosial dan budaya Aceh, dan memeta kembali potensi bahaya geologikal terhadap bencana gempa tektonik dan ombak besar Tsunami. Aceh Baru bukan sekadar pembangunan prasarana, tetapi penyembuhan luka dan trauma dalam jiwa orang-orang Aceh yang holistik dijana kembali serentak pemulihan budaya dalam kehidupan sosial yang dinamis.Akhirnya kita berpesan, jangan ada sesiapa mengambil peluang dan kesempatan dalam kesempitan dan sengsara orang-orang Aceh, tatkala kini mengucur deras dari pelbagai penjuru dunia dana merekonstruksi Aceh, dan kita berdoa Allah Yang Maha Mengasihani hamba-Nya dapat memandu sesiapa yang berperanan dalam pengupayaan pembangunan Aceh berjiwa besar mengatasi sempadan geografi negara, agama, dan bangsa.

10 – 15 Januari 2005
Kuantan, Pahang, Malaysia


SEJARAH HATI DUA NADI
Puisi Arisel Ba

Sedang aku fahami
Cakrawala cinta terbahagi

Sedang aku baca hayati
Sejarah hati dua nadi

Masihkah aku setia
Sajak seperti semula

16 Januari 2005
Kuantan, Pahang

MENGAKALKAN SUMPAH
Sajen Arisel Ba

Tatkala fikirannya kalut dia bersumpah
Jika kesulitannya terlerai dan terpecah
Janji sumpahnya untuk menjual rumah
Dan hasil jualan itu dijadikan sedekah
Kepada orang-orang miskin lagi susah
Lalu dia harus menunaikan akad sumpah
Tetapi sedekah itu bukan seharga rumah

Dia berhari-hari mencanai akalnya
Harga jualan rumah hanya lima puluh sen saja
Pembeli mesti membeli bersekali 10 kucingnya
Harga kucing itu ditawar RM100,000.00, akalannya
Dan ada pembeli telah membeli kucing dan rumah
Bagi menunaikan sumpahnya dia memberi sedekah
Diberi syiling lima puluh sen kepada si miskin lagi susah
Manakala RM100,000.00 telah dimasukkan ke kantungnya

17 Januari 2005
Kuantan, Pahang

DOA BOCAH RANAH RENCONG
: buat anak-anak yatim Aceh
Puisi Arisel Ba

Ya Allah, Tuhan yang aku sembah
Penguasa seluruh alamKasihanilah, lindungilah
Kami anak-anak yatim piatu sudah
Di ranah rencong ini masih buram
Selepas gempa tektonik dan Tsunami diam

Ya Allah, Tuhan yang satu
Berilah barakah dan hidayah-Mu pada kami.
Kami tetap tulus menjadi hamba-Mu
Di ranah rencong ini masih rawan
Sebagaimana ibu bapa kami sekalian
Telah pergi meninggalkan kami

Amin

26 Januari 2005
Kuantan, Pahang

ANAK TIRAM DAN MUTIARA
Sajen Arisel Ba

Anak tiram mengeluh berat kepada ibunya
Kerana sebutir pasir tajam menusuk tubuhnya
"Anakku," kata sang ibu bercucuran air mata
"Tuhan tidak memberi sepasang tangan pun,
Sehingga takberdaya ibu menyelamatkan." Si ibu terdiam,

"Sakit sekali, aku tahu anakku
Terimalah itu sebagai takdir alam hidupmu.
Kuatkan hatimu. Jangan terlalu lincah lagi.
Kukuhkan semangatmu melawan ngilu nyeri
Balutlah pasir itu dengan cecair perutmu.
Hanya itu yang boleh kau perbuat",
Kata ibunya sayu, sendu dan lembut.

Anak tiram pun ikut nasihat ibunya.
Ada hasilnya, tetapi rasa sakit teramat super
Dengan air mata ia bertahan, bertahun lamanya.
Tetapi takdisedarinya sebutir mutiara terjelma
Makin lama makin hilang rasa sakitnya
Dan semakin lama mutiara itu membesar.
Rasa sakit menjadi terasa lebih wajar.

Akhirnya sesudah beberapa tahun,
Sebutir mutiara besar, utuh gemerlapan,
Deritanya berubah menjadi mutiara;
Air matanya menjadi sangat berharga.
Dirinya kini, hasil derita bertahun-tahun,
Lebih berharga daripada sejuta tiram lain
Disantap sebagai tiram rebus pinggir jalan.

5 Februari 2005
Kuantan, Pahang


HIKAYAT PENEBANG BALAK
Sajen Arisel Ba

Itu penebang balak bertubuh gagah ranggi
Menebang balak dengan kapak, beragam aksi
Demi anak isteri, gaji dan kondisi kerja lumayan
Dia berjanji menebang balak sebaik mungkin

Hari pertama dia berjaya tumbangkan 18 pokok
Majikannya teramat berpuas hati dan seronok
Dan berkata, "Bagus, bekerjalah dengan tabah!"
Penebang balak amat gembira dan rasa megah

Esoknya dia menebang balak lebih perkasa
Dia berjaya menumbangkan 15 pokok tua
Hari ketiga dia menebang hanya 10 pokok saja
"Aku mungkin kehilangan kekuatanku", fikirnya

Dia menemui majikannya dan minta kemaafan
dan takmengerti apa yang terjadi kepada dirinya
"Bila saat terakhir kau asah kapakmu?" tanya majikan
"Asah kapak? Saya sibuk mengapak balak," jawabnya

6 Februari 2005
Kuantan, Pahang

HIKAYAT ANAK GEMBALA DAN HARIMAU
: "Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak
mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya
pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan
diminta pertanggungjawabnya." (QS.17:36)
Sajen Arisel Ba

Setiap pagi anak gembala menyeret kerbau ke sawah
Hingga pijar mentari kerbau membajak, hingga letih
Lalu anak gembala mengheret kerbau ke padang rumput
Kerbau pun meragut rumput sehingga kenyang perut

Ketika kerbau meragut rumput hijau dipadang luas
Muncul sang harimau lalu berkata kepada kerbau:
"Hey kerbau, dahlama saya mengamati kamu.
Kamu menurut saja arahan gembala kecil itu
Gembalamu sangat kecil berbanding kamu,
Kenapa tidak kamu lutu saja, pasti dia tewas
Kemana saja kamu mahu. Kamu akan bebas"

"Saya takut kepada anak kecil itu", jawab si kerbau.
"Takkan kautakutkan anak kecil itu? Bodoh kamu"
Ejek sang harimau terkekeh mentertawakannya.
"Kamu pasti takut jika tahu hebatnya manusia",
Kata kerbau berkisah akan potensi anak gembala.

Selang beberapa lama, anak gembala pun datang.
Lantas sang harimau menyapa bersuara garang
"Hey anak manusia! Kata si kerbau kamu hebat
menyebabkan dia menjadi pakturut dan penakut?
" Anak gembala berkata, "Saya khalifah bumi
ada akal diberi Allah buat mengimamkan penghuni"
"Akal itu apaan?, boleh saya lihat akal kamu itu?
Jika kamu tidak tunjukkan, saya akan baham kamu."
Sergah sang harimau sambil mengaum tanda benci

"Tidak boleh menunjuk-nunjuk keakalan manusia,
kerana akal saya itu tertinggal di rumah sana"
"Pergi kamu ambil segera" harimau membentak.
"Saya boleh mengambilnya, nanti kamu akan lari."
Jawab anak gembala dengan lagak berani.
"Saya janji tidak lari" kata harimau percaya diri.
"Sekarang kamu boleh kata begitu, nanti
Setelah melihat saya bawa akal, kamu lari.
Sekiranya kamu saya ikat? Pasti tidak lepas lari"
Saran anak gembala dengan lebih berani lagi

"Setuju" jawab sang harimau mengetap gigi.
Sang harimau kuat diikat si anak gembala
Diikatnya pada sebatang pokok kenanga
Bukan saja sang harimau tidak boleh lepas lari,
Malah tubuhnya kejang kaku bagai digari
Setelah sang harimau diikat, anak gembala pergi

Kerbau mengamati gelagat bebal sang harimau
Lalu dia tertawa melihat nasib harimau dungu.
"Sekarang kamu boleh buat apa?" tanya kerbau.
“Celupar kamu!”, panik dan geram sang harimau
"akibat akalan, He! He! He!" kerbau pun berlalu

9 Februari 2005
Kuantan, Pahang


PERIHAL ODA DAN ISTERINYA
Sajen Arisel Ba

Di Jepun ada cerita seronok halwa telinga
Seorang suami, Oda, serdahana orangnya
Dia mempunyai isteri tersangat cantik
Dan Oda amat menyayanginya setiap detik
Malangnya, isteri Oda spesies pok-pek-pok-pek
Bermulut laser, sangat cerewetan tapi cerdik.
Isterinya juga ahli dalam hal umpat mengumpat
Selalu memekakkan telinga Oda dan jiran terdekat
Sebenarnya, Oda menyayangi isterinya itu,
Tetapi jiran tetangga amat merasa terganggu
Dan mereka mengadu pada Oda perihal isterinya.
Akhirnya Oda terhasut juga oleh aduan jiran
Lalu dia berfikir bagaimana menglenyapkan
Buah hati tersayang dari muka bumi ini

Suatu hari Oda mengajak isterinya berjalan-jalan
Ke kuil tua dan menyeramkan di tengah hutan.
Setiba di belakang kuil yang rusak dan runtuh
Oda terlihat sebuah telaga lama sudah kering airnya
Dia segera mengajak isterinya ke arah telaga tua itu
Katanya ada burung cinta di pokok ceri dekat telaga.
Isterinya segera datang untuk melihat burung cinta
Tatkala isterinya melalui telaga berpuaka itu
Segera Oda menolak isterinya ke dalam telaga.
Lima minit pertama Oda merasa amat bahagia
Kerana sepanjang hidupnya baru merasa tenang
Tanpa celotehan dan membibir isterinya tercinta
Lima minit kedua, Oda mulai merasa sepi
Kerana tidak terbiasa sendirian tanpa isteri
Akhirnya lima minit ketiga dengan ragu-ragu
Oda kembali menuju telaga menyeramkan itu
Ia menghulur tali timba dan minta isterinya naik.
Amat terkejut Oda kerana yang naik itu
Bukan isterinya melainkan sesosok lembaga
Menyeramkan dengan bulu lebat seluruh tubuhnya,
Dialah makhluk penunggu telaga berpuaka itu.
Oda pantas bertanya, "Kenapa kamu yang naik?"
Penunggu telaga berwajah pucat ketakutan berkata:
"Aku takut, di bawah ada perempuan cerewet sekali..."

10 Februari 2005
Kuantan, Pahang

PEPALIH MENANTU KOME?
Sajen Arisel Ba

Si Bujak Korporat KL akhirnya terpikat
Dengan nina desa hulu, bukannya dekat
Wajahnya mirip artis mengelentat
Bila borok suaranya goge, biroh sangat

Rombongan Si Bujak Korporat KL pun datang
Dua puluh tujuh dulang, gadis menatang
Setiba pengantin lelaki, sakan berbalas pantun
Wakil lelaki gagal jawab, lalu kena lantun

Bila mula acara akad nikah di serambi
Si Bujak Korporat KL melafaz 70 kali
Rupanya bebudak letak katak di bawah rumah
Berpeluh pengantin, Tok Bomoh berserapah

Lepas bersanding, joget bertandak sampai pagi
Dua mempelai bergegas ke bilik, ahhrrgh geli!
Hampir Subuh pengantin lelaki nak meronoh
Ke sungai lalu kubur, rasa takut badan leweh

Si Manis Melenting bentang gebor di lantai
“ Awok meronoh aje atas gebor ni,
dan nanti kita bingkas pagi-pagi
bawak gebor basuh kat sungai”

Bila mempelai terjaga, mentari dah tinggi
Bergegas deme seronyih ke sungai nak mandi
Cepat MakMertua masuk bilik nak periksa
Cari petanda masih dara si nina bonda

Sambil memeriksa mata meliar, terhidu bau
Lalu lihat gebor bawah katil, dibuka dulu
Apa lagi Mak Mertua goge, satu desa tahu
“ Bakpe habat!, pepalih menantu kome?..”


12.11.2003 – 23.2.2005
Kuantan, Pahang
Thursday, January 13, 2005
 
PUISI-PUISI ARISEL BA DARI MALAYSIA 2004

SMS TEBING KEPADA AUR
Puisi Arisel Ba

Jika tebing mengerti tabiat arus deras semasa banjir di sungai ini telah mengakrabkan lagi persahabatannya dengan aur sehingga terpercik rindu, aur perlahan merayap memanjat tebing mencari akar semakin meneguh pada ikatan hari, apakah rindu itu semakin tepu,
aduhai aur, seru tebing, tersangat suntuk penantian ini lalu menjelma sepasang bangau bercumbu di atas batu menongkah arus di tengah sungai, itukah kita, alahai tebing, tukas aur, sudahkah kita menghitung berapa banyak buih memutih hanyut di arus keruh, dan kenalkah kita mana satu buih yang mahu membawa pesanan persahabatan ini sampai dengan selamat ke kuala sungai, atau kita sampirkan sekadar secuil mimpi yang meneroboh atmosfera bumi ini.

Dan setelah tujuh siang tujuh malam hujan melebat, deru arus semakin bising desahnya, persahabatan kita, aduhai tebing melesat ke dalam mimpi ngeri, langit gelita gelap malam dan siang hujan masih melebat, air mulai mengampuh tebing dan aur kian tenggelam diuliti arus deras menerjah menerjang, aur pun terpisah dari tebing, dan hanyut di bawa arus bersama rindunya, lantas tebing menyeru kali berkali supaya arus mengembalikan aur kepadanya semula, mampukah?, alahai aur, rintih tebing, betapa jika kemarau kembali ke sungai ini setelah hujan berhenti dan panas mentari mulai memijar, persahabatan kita telah punah dan kita amat rindu merindu, aduhai aur, pulanglah, tebing amat merindukanmu, sangat merindukan persahabatan kita tegar sediakala.
.

31 Julai 2004
Kuantan, Pahang

HIKAYAT PEMUISI
: Hari Ultah ke 51
Puisi Arisel BaHari ini semua puisiku bangkit berdiri menyeruak aksara, sang kata-kata yang kering dan basah setia tertancap pada helaian kertas, halaman buku, majalah dan akhbar, dan ada puisiku setahun menjelma pada kalendar DBP beberapa tahun lampau. Tatkala aku dimabuk koputer dan internet, puisi-puisiku melekap di layar monitor dipelbagai lamanweb, portal, kamar forum, dan puisi-puisiku hidup bernafas dalam keramahan dan mesra berbahasa, hari ini sang kata-kata yang terjelma dengan pelbagai jodol puisiku mengelilingiku lalu mendoakan: Dirgahayu Arisel Ba, Selamat Hari Ulang Tahun ke 51 dan selepas melengkapi doa, dalam zikir aku pasrah kepada Allah, penentu hidup jasadku di masa mendatang. Dan aku memahat kenangan ketika semua puisiku kembali semula menyimpankan dirinya ke khazanah bahasa maya, lalu apakah nanti semua puisi-puisiku ditiup trompet waktu menuju luas atmospera di antara buliran debu. Mungkin esuk aku akan menulis dalam hikayat pemuisi: kerana hidupmu, Arisel Ba adalah puisi.


11 Ogos 2004
Kuantan, Pahang

DITINGGALNYA PASAR PENGELAMAN
: Allahyarham T.Alias Taib
Puisi Arisel BaBeberapa hari lalu
Aku membaca Pasar Pengelaman-mu
Sebelum itu aku pernah kenal dirimu
Muasal dari Laut Tak Biru di Seberang Takir
Pemburu Kota, Seberkas Kunci
Dan aku membaca kali berkali
Opera, Piramid dan Petang Condong
Kenal aku pada puisimu, itu dirimu

Engkau pun menuliskan pengelamanPada buih dan ombak laut China SelatanSeolah-olah bicara gelombang enggan melepaskanmuDan tatkala engkau melambaikan tanganBergugus-gugus ratusan puisimu berzikir, dan merelakan…Aku turut bersedih turut merelakanmu pergi
Sementara Engkau telah menepati panggilan Ilahi
Aku tidak berganjak merenung mentari
Mulai tenggelam di dalam mataku
Seperti dirimu takkan aku temui lagi

17 Ogos 2004
Kuantan, Pahang


KEBUN DIRIPuisi: arisel ba

Suatu subuh selepas sahur bulan Ramadan, berbisik aku kepada kalbu, semakin suburkah? tanaman yang aku tanami dan sirami sepanjang hari selama aku diizin oleh-Nya menumpang bernafas, kerana, sering aku bermimpi sejak anak bocah hingga seusia lebih setengah abad kini, kerana mimpi-mimpiku penuh citra api mengganas berpestadi kebun diriku?. Aku bimbang amat nanti suatu hari api ganas itu keluar dari mimpi-mimpiku yang cukup lama kukumpul, lalu membaham diriku, kerana amaran awal, api yang sama itu telah membakar grahaku dan setangkasnya memamah 3,000 buah koleksi buku milikku, ah, aku pasrah kepada-Nya. Sedang roh ibuku kulihat sedang bersusah hati kerana mungkin ibu tahu ada api ganas di kebun diriku, airmata ibu berlinangan, aku sekadar membantu dengan doa dan membaca kali berkali al-Fatehah untuk roh ibuku, dan kali berkali juga kalbuku semakin deras menulis aksara bagai sang lebah menulis sarangnya dengan nama ALLAH.

24 Oktober 2004
Kuantan, Pahang

HILANG SATU SEN
Sajen Arisel Ba

Di zaman dulu dikisahkan ada seorang darwis
Duduk di atas batu besar sambil membaca arus
Di pinggiran sebuah sungai yang airnya deras

Tiba-tiba darwis itu terpandang sepuluh orang buta
Mereka mahu menyemberangi sungai untuk ke kota
Darwis itupun segera menawarkan khidmatnya

Kata darwis, jika mahu ke seberang, dia boleh membantu
Setiap seorang perlu bayar satu sen atas khidmat itu
Darwis mula mendukung selepas sepuluh si buta setuju

Sembilan orang telah selamat sampai di tebing seberang
Tapi ketika darwis sedang mendukung si buta di belakang
Di tengah sungai, si buta ke sepuluh dihanyut arus kencang

Sembilan rakan si buta merasakan berlaku petaka ngeri
Mereka berteriak kepada darwis, “ Apa telah terjadi?,”
Jawab darwis, "Aku kehilangan wang satu sen, ya Rabbi!"

27 Oktober 2004
Pattani, Thailand.


BALIK KAMPUNG
Puisi Arisel Baisteriku membuak di malam 21 Ramadan, berkongsi mimpi dengan kampung halamanaku sendiri malam itu kembali pada puisisenyum isteriku panorama kampung halamantenggelam kelam sebelum malam 23 Ramadanaku masih mencari wajah hilang dari puisiaku menunggu ketibaan malam 25 Ramadan
malaikat tak kunjung datang ke rumah kamiwaktu pun beringsut padam ditelan hariaku bersama isteri setia menunggu 27 Ramadandan melebur dalam tanyanya kepadaku diniharibilakah balik kampung, beraya bersama saudara?anak-anak sibuk bertanya ketika sahur dan berbukaisteriku semakin berdendam menggenggam murkapuisiku lahir waktu bulan padam – esuk!, balik kampung!

9 November 2004
Kuantan, Pahang

SIAPA AKU ANTARA MEREKA?
: Hari Puisi Nasional ke-16
Puisi Arisel Ba

Di perhimpunan HARI PUISI NASIONAL KE-16 yang lesu ini aku si lelaki encok melangkah ragu setelah tidak bersama mereka sejak sebelas tahun lalu menyepi, bagai tidak menyakini mana arah yang ditujui, kerana seingat si lelaki itu, dia telah memutuskan untuk bertarung dengam alam dan angin yang kini menjadikan tubuh tua dan kering diselimuti debuan puisi, si lelaki encok itu menjadi tidak peduli di atas setiap sejarah ragunya, kerana dalam keramaian mereka, dia tiba-tiba berada di tengah mereka menjaja wajahnya AKSARA ‘XXX’ untuk suatu alasan yang tidak pernah mahu difahaminya, selangkah, dan setiap langkah si lelaki encok itu, seketika berhenti dengan menoleh ke kiri atau ke kanan, mendongak ke atas, merenung ke bawah, mengingatkan kembali semua wajah-wajah rakan-rakannya bak angin yang mengenali dalam diam sehingga suaranya masih bercerita tentang puisi dan nasib diri, lalu si lelaki encok itu membiarkan tubuhnya yang semakin kering digumpali bening sepi, walau aku antara mereka akhirnya membaca kembali sejarah ‘Mengakar Diri Menyubur Bangsa.’


17 – 19 Disember 2004
Intekma Resort, Shah Alam, Selangor

SEPERTI DALAM SAJEN
Sajen Arisel Ba

Khabarnya dia pasti datang, seperti dalam sajenBerkebaya batek, berbeg galas dan berselipar Jepun
Khabarnya dia pasti datang, seperti dalam sajenAku membaca AKSARA ‘XXX” di dalam PUTRANamun dia tidak datang, seperti dalam sajenHujan senja Kuala Lumpur terlalu lebat bagikuNamun dia tidak datang, seperti dalam sajenMungkin rambutmu dicat merah dan berkacamata orangeKini dia tidak akan datang, seperti dalam sajenSiapakah itu berbaju kurung dan tubuh berwangianWajarkah aku menunggu? Seperti dalam sajenAku pilih diam dan kaki melangkah tergesa ke HESCOM04

Dalam tergesa-gesa, kakiku tersepak batu,
Hai batu, aku sumpah kamu menjadi batu

24 Disember 2004
Kuantan, Pahang
CERITA DARI MEULABOH
Puisi Arisel Ba

Meulaboh menggelepar hancur
dibaham Tsunami utusan gempa tektonik
ditaburnya malapetaka alam
di kota, di desa, di pantai dan di laut
bertabur mayat dan bangkai
udara berbau hamis
puisiku turut meratapi
kepada roh-roh diangkut terus ke syurga
sedang yang tinggal hidup di bumi, sengsara

sudah tercatat pepatah Melayu
jika takut kepada ombak
jangan berumah di tepi pantai
jika takut di telan gelombang
tambatkan perahu di pengkalan

Meulaboh adalah kota tepian pantai
hari ini tiba-tiba ranap berkecai dilanda Tsunami
utusan maut tanpa belas kasihan
tiba-tiba saja sunyi suara beburung di hutan
sawah dan ladang berubah wajah
bagai padang jarak padang terkukur
kota dan desa menjadi sunyi takbertuan
warga yang selamat berjubel di khemah pengungsi

sesudah hancur lebur Meulaboh
siapakah yang datang memberi mimpi
menata puing menjadi pengharapan
membina kembali sebuah tamadun yang lenyap
Meulaboh adalah ribuan jiwa luka yang ingin tegak
Meulaboh kini adalah puncak selangit duka
walaupun kering airmata, Meulaboh telahpun ranap
sedang Tsunami telah kembali diam di lubuk lautan


26 Disember 2004
Taman Tun Perak,
Cheras, Kuala Lumpur

NAMAKU TSUNAMI
Puisi Arisel Ba

Namaku Tsunami tumbuh dari lubuk lautan lalu menyihir ombak gergasi menyaingi lembah dan gunung dan mengampuh daratan pinggir laut dan pulau-pulau, manusia, tua, dewasa, muda, remaja, anak kecil pun tenggelam bersama sampah sarap, bangunan, kereta, rumah, segala bot dan perahu dan ajal maut lebih hamis dari ikan, sotong, udang, penyu lalu memasuki nurani puisiku, kemudian merobek dan merobohkan nurani duka bumi bertaburan mayat dan bangkai membusuk.

Namaku Tsunami telah bangkit dari lena yang panjang dari lubuk lautan membawa ajal maut lalu terkesiap bumi di Indonesia, Sri Lanka, India, Thailand, Malaysia dan Maldives yang berpunca dari Aceh, nurani puisiku pintar membidik apa saja, siapa saja terlontar, terlantun bagai satu kepalan pembunuh.

Dipinggir pantai enam negara, jangan persoalkan warna pakaian masing-masing, jangan persoalkan kepercayaan masing-masing, apakah mereka ahli masjid atau gereja, apakah mereka pemuja berhala di kuil atau to’kong, atheis berakal bebas penyanjung dewa atau Allah Yang Maha Esa, mereka tentunya tidak sempat bertanya apakah yang sedang bertempur meledakkan gempa mewujud gelombang Tsunami di mana kehidupan sedang terancam, apakah nanti setiakawan bangsa melebur dan hancur.

Namaku Tsunami telah bangun dari lena yang panjang dari lubuk lautan dan mengamuk
bagai raksasa ganas di mana apa yang menghadang akan dilandanya, manusia yang terpinga-pinga dan hairan cuba menghadang terus tewas dan jasad berkubur di air laut asin yang panas, lalu apakah nurani mereka pasrah atas takdir dari Allah, tanda-tanda kiamat sudah berada di depan mata, sekadar doa dan pasrah.

26 Disember 2004
Taman Tun Perak,
Cheras, Kuala Lumpur


MENCUIL ACEH
Puisi Arisel Ba
duhai Aceh, apakah gempa di bawah bumi
menzahirkan Tsunami ombak gergasi
sebagai hadiah kepadamu, saudaraku aduhai

apakah ianya isyarat kiamat melanda alam
musnah lebur harta duniawi di ombak merejam
wahai roh-roh saudaraku, usah bersedih, diam!
takterbayar olehku di atas 120,000 nyawa kalian
taktertanam nesan di pusaramu di darat atau di lautan
doa kami tepu terhimpun, Allah Maha Pengampun!

29 Disember 2004
Kuantan, Pahang

HIKAYAT PERNIKAHAN
: Khas Buat Si Bujak, Md. Zakir
Sajen Arisel Ba

Alam pernikahan itu indah amat
Membina sebuah penghidupan dunia
Indah amat itu barakah dari Allah

Pernikahan itu secantik gunung gemunung
Ternampak indah hanya ilusi akal lajang
Namun di sana di sini penuh onak duri merintang

Pernikahan itu seindah panorama melaut lautan
Ternampak indah sesejuk mata yang melihat
Namun di sana di sini penuh jerung dan taufan

Dalam setiap pernikahan ada sejuta sukaria
Dalam setiap pernikahan ada sejuta dukacita
Menyatu rasa dan hati jika terlahir cahayamata

Pernikahan adalah silaturahim penuh dugaan
Pernikahan adalah pegangan melalui goncangan
Pernikahan puncaknya kendur nafas kenikmatan

Lalu nikmat dari Allah ini
Jangan sesiapa cuba mendustakan
Nanti Nabi Muhamad takmengaku umatnya

31 Disember 2004
Kuantan, Pahang




Friday, July 30, 2004
 
PUISI-PUISI ARISEL BA DARI MALAYSIA 2005 - bab 6

AKSARA ‘XXX’
Sajen Arisel Ba

Setiap kali selesai membaca warkah dari jabatan kerajaan, pasti diakhiri dengan kata – SALAM TAKZIM. Saya selalu menulis warkah kepada sesiapa sahaja setia amat menuliskan di setiap baris akhir warkah ditulis dengan – SALAM TAKZIM, setelah lama menulis beribu warkah sejak bekerja dalam usia remaja hingga hampir bersara, saya mulai terasa kata itu santun dan amat beradap sekali. Atau tanda bagi baju dan seluar untuk orang gemuk. Baru-baru ini saya menerima warkah sahabat saya dari Perth, Australia. Sahabat saya itu mengakhiri warkahnya dengan aksara ‘XXX’. Aksara ‘XXX’ lazim menghantar imej sesebuah filem itu sebagai erotik melampau, atau filem biru. Baru saya mengetahui bahawa yang dimaksudkan sahabat saya itu melalui aksara ‘XXX’ sebagai tafsir cium sayang. Saya segera mengutus emel bertanyakan jika aksara itu begini – ‘XOX’. Sahabat saya itu terus memberi makna bahawa aksara ‘XOX’ membawa makna ‘cium’ dan ‘peluk’. Selepas ini saya pasti tidak akan bingung lagi jika menerima warkah yang diakhiri aksara ‘XXX’ atau ‘XOX’ sebagai penutup kata.

1 Julai 2004
Putrajaya.


MENCARI ISTERI
Sajen Arisel Ba

Bila mencari isteri setia
Beradat, berfirasat berpetua
Bak kata rangtua bangsa
Baju diukur di tubuh sidia
Berharap tak tersalah pilih adinda

Bila memilih satu, salah
Bila memilih dua, salah
Bila memilih tiga, salah
Bila memilih empat, salah
Bila memilih semuanya, salah

Berdoa berzikir takpilih, salah
Berlimau mandi bunga, lagi memilih
Bujak melepas lagi, siapa salah?

7 Julai 2004
Kuantan, Pahang



BERSAMA BERGULAT HARI
Puisi Arisel Ba

…ketika gumpalan jerebu memasuki hariku lantas menyeret aura mimpi demi mimpi ikut kemana mimpi itu mahu memasuki sketsa, dari berus yang patah gandarnya dan cat warna penghidupan ini akanku teguk secawan kelam seperti lazim aku meneguk secawan kopi bagai esok hilang semua fakta hingga aku ketidaktahuan, lalu aku reguk seribu harapan biarpun prasangka itu bersilihganti dengan nyanyi keraguan menghujam debar dan goda bertali arus mengalir bersama waktu. Secawan kelam tumpah ketika aku haus, sederas peluh sejuk memercik menjadi jerebu menyesakkan kerongkongan, hah, barangkali menghitamlegamkan hati, mengeruhkan putih nafas sepuluh jari memacu detak jantungku tiba-tiba tenggelam dalam lubuk diam, lalu aku terseok-seok melangkah selepas meneguk secawan kopi memasuki sisa hari-hariku, apakah ini sekadar sketsa sisa-sisa hari depanku…

8 Julai 2004
Kuantan, Pahang

MEMBACA MAKNA DIRI
Puisi Arisel Ba

Setiap pagi aku menatap cermin dan berulangkali aku memasuki kebeningan cermin itu, dan setia aku mengulangi gelagat membaca kerutan dahi, mencari makna segala retak dan lekuk pipi tatkala mataku mengerling tangkas memuncak letih, dan ketika sorot mata tua ini mula membaca makna diri, aku menjadi sayu amat kerana cermin itu berahi menatap wajahku bening, dan sewaktu aku menerobos keluar dari cermin itu, baru aku tahu diri masih gagal menangkap waktu melaju bagai jarum jam di dinding rumahku. Hatiku bertanya, ‘ kamu mendapat apa dari dalam cermin, adakah foto-foto masa silammu dari keabadian masa kecil dan masa kanak-kanakmu, atau masih melukis sketsa kehidupan semakin menghujung’. Aku sekadar mampu berbisik kepada hati, bahawa puluh ribuan sandiwara diri rapuh fana bersama waktu.

Setiap malam selangit cahaya yang gerun kepada kejaran gelap menerjah mataku lalu menyorot waktu semakin jauh berlari meninggalkan langkah diri yang terseok-seok mengheret kenangan dan tatkala aku melukis sketsa masa silam, wajahku pasti meretak jika cermin itu tidak lagi aku tatap, dan ketika usia diri dilahap waktu menuju tiada, aku merasai sepi dan asing itu di negeri jauh di bawah telapak kakiku sedang berpijak dan menapak. Cermin di rumahku sering setia mengabadikan wajahku tatkala ditatap, tetapi jika cermin itu retak, wajahku menjadi retak dan kerutnya semakin menonjol, lalu apakah aku masih bersandiwara atau cermin itu sang penipu yang menggoda mataku dalam lelah perjalanan diri menuju tiada. Aku menenun risau dan gundah gulana kerana tiba waktunya wajahku pecah di luar cermin, sedang aku masih mencari-cari makna diri yang masih bersembunyi dalam aku melangkah menuju tiada.

14 Julai 2004
Kuantan. Pahang.
PEDANG LIDAH
Puisi Arisel Ba

: 'Dan katakanlah kepada hamba- hamba-Ku:
'Hendaklah : mereka mengucapkan yang lebih baik.
Sesungguhnya syaitan itu menimbulkan perselisihan
diantara mereka.' ( al-Quran: Al Isra: 53 )

kata hati pasti berlabuh di hujung lidah menjadi pedang lidah taksempat dipangkas madahtatkala bibir taksempat melunak bicara gigi pun lambat mencegah mulut bersuara dan semua aksara terkemam dilelangit dan tekak terlantun suara, berbicara makna tersentak
apakala kata demi kata melantun meredah menghujam dalam, terhunus pedang lidahtertusuk pada hati orang banyak, bersembur darah, gelora onar dan selantangnya ditebar fitnah jika bicara, kata demi kata sonder makna bersama air liur terhambur sia-sia pakaian sang pendusta takterkunci mulutnya pasti ada binasa kerana kata-kata seringkali diperingatkan nabi dan anbiya jasad sang pendusta dilontar ke neraka mungkin kerana bahasa lidah kita?

17 Julai 2004
Kuantan, Pahang

TATKALA ANAK-ANAK SAJAK LAHIR:
TRAGIS MINDA SANG PENYAIR
Puisi Arisel Ba

Sajak demi sajak dilahirkan tanpa darah ibu, setelah aku percaya anak-anak sajak sudah mampu aku lepaskan ke minda pembaca melandasi kehidupan merdeka dan dewasa, berdosakah aku orangtuanya letih mengawasi gerak dan tandak anak-anak sajak dan melontarkan bela diri ketika bertalu apresiasi atau tuduhan kadangkala di luar keadilan kerana pembaca bersifat, berperilaku, dan bertanggapan berbeda-beda? Tatkala aku melepaskan anak-anak sajak dari minda, sebagai orangtua, aku insaf dengan realiti dunia apresiasi terkadang sadis dan kejam amat dan tanpa olah rasa. Pasti aku tidak rela anak-anak sajak pulang terisak dan meratap, walaupun tangisan itu cermin media pembelajaran dalam melahirkan anak-anak sajak yang baru.

Tatkala berapresiasi atau menilai anak-anak sajak sendiri, apakah aku memang akan membedah, meningkatkan nilai dan berinovasi bagai sajak hebat di dunia. Malangnya aku seringkali gagal menilai anak-anak sajak menjadi baik dan hebat. Adakalanya aku menilai sajak dilahirkan tanpa ibu berasa malu amat. Mungkin prabawa waktu, kematangan, dan kesedaran alamiah. Sesekali aku tangkas berkata pada diri, “Sekarang, aku merasa sangat malu membaca anak-anak sajak tempo dulu.” Kenapa aku berasa malu, kerana, anak-anak sajak itu sebagai karya tulis sedikit sebanyak berjelas mempamirkan “siapa” aku diri. Inikah tragis minda sang penyair. Padahal, aku akui, tempo dulu anak-anak sajak itu aku banggakan apabila tercetak di akhbar dan majalah. Tatkala anak-anak sajak lahir: tragis minda sang penyair, aku percaya juga pembaca percaya nilai dosa pahala setiap perlakuan manusia, melahirkan anak-anak sajak tergolong salah satu bentuk perlakuan berpengaruh baik atau buruk pada manusia lain, aku tentunya tidak menulis karya berpengaruh buruk pada orang lain, dan pembaca tentu tidak akan menilai karya berpengaruh buruk itu sebagai karya terbaik. Alam mindaku seringkali diperingatkan sabda Nabi Muhammad s.a.w, “ Ada tiga golongan orang diberi syafaat baginda di hari pasca-kiamat. Salah satu golongan itu adalah penyair mencerahkan hati manusia”.

21 Julai 2004
Kuantan, Pahang



SAJAK KEPADA PAK LAH 2
: “ Saya tak minta tuan-tuan dan puan-puan
bekerja untuk saya, tapi saya minta tuan-tuan
dan puan-puan bekerjasama bersama dengan saya, “
Dato Sri Abdullah Ahmad Bedawi,
Perdana Menteri Malaysia.
puisi arisel ba

Wahai PakLah! Melangkah ke depan berlempang hati
Mengatur jejak hakikat mustakim penuh ilmu sakti
Kakimu kini bertapak melurus rua perjuangan Melayu
Di depanmu bukan sahaja Sri Perdana dan Putrajaya
Tetapi ada biduk perpaduan Melayu masih bocor di sini sana
Orang Melayu mencari jati diri masih kehilangan peta,
Masih mencari akar bahasa dan tamadun bangsanya

Pilihanraya Umum 21 Mac 2004 telah kau wijayakan
Mentadbirlah penuh arif, cerdik, adil, tasdik dan dirgahayu
Kau perangi rasuah usah peduli kawan atau lawan
Dan kini kau penuh wibawa direstui sebagai Presiden
Kepada UMNO, organisasi siasah orang-orang Melayu

Aku masih pemimpi,
Dan hanya punya mimpi-mimpi
Mimpiku kini menjadi realiti


23 Julai 2004
Kuantan, Pahang






JIKA NAK BERKAWAN,
JANGAN SEBUT DUA KALI
Sajen Arisel Ba

Semasa di Lembah Tembeling, tatkala hampir meretuh
Teringat aku cerita nenekku di masa bocah
Jika aku tiba-tiba bersikap angkuh dan bodoh:

Tempo dulu ada cerita darihal burung-burung
Ada seekor gok-gok sering sepi seorang
Burung-burung lain dengan gok-gok takmahu berodong

Sang bebarau asyik memerhati gelagat gok-gok
Suatu pagi sang bebarau cuba mendekati gok-gok
Lalu dua burung itu kenal mengenal bertegur bertekak

Bertanya sang bebarau kepada gok-gok:
Kenapa suara kamu bergemercing gementam macam nak rak?
Itu namanya genderang perang, gok-gok menyampuk

Bertanya lagi sang bebarau kepada gok-gok:
Kenapa mata kamu merah menyala macam takmelantak?
Itu tandanya aku gagah pemberani, gok-gok menyampuk

Bertanya lagi sang bebarau kepada gok-gok:
Kenapa ekor kamu macam berak tak basuh, amat busuk?
Jika nak berkawan, jangan sebut dua kali, tengking gok-gok,

Akibat terkejut tengkingan gok-gok, sang bebarau terbang jauh
Patutlah gok-gok berseorangan, bisik sang bebarau mengalah
Rupanya burung gok-gok ini pengotor, busuk dan haramjadah

24 Julai 2004
Kuantan, Pahang



NAHU DAN DIKSI KAMU KELIRU
Sajen Arisel Ba

Suatu malam kelam di batas sawah
Berjalan-jalan seorang sufi penyamar fakir
“Tolong!….”, suara dari arah sawah
"Ada apa? Kena apa?", tanya si fakir

"Saya pesajen e-sastera.com
akibat melangak basikal terperosok menjunam
saya dihempap Hercules, takbergerak, dahi lebam"
jawab pesajen mengaduh dan berwajah buram

"Tenang, jangan bergerak, nanti lemas
Hercules kamu tu saya lihat di atas,
Tunggu sebentar ya!…doa dan syukur
Saya cari tangga dan tali," kata si fakir

Teriak pesajen, "Tunggu dulu!"
"Nahu dan diksi kamu keliru
belajar perbaikinya hingga lugu."

"Aduhai, jika nahu dan diksi
itu penting dari musibah kaualami,"
teriak si fakir itu, "kau bagus sekali
terus tinggal saja dalam sejuk sawah
sehingga saya mahir berbahasa indah."

Dan si fakir itupun berlalu.

30 Julai 2004
Kuantan, Pahang



KERANAMU MALAYSIA:
KITA PENGUNGSI NEGARA MERDEKA
: Ultah Kemerdekaan Malaysia ke 47

Hahhh… tanami bumi ini dengan pelbagai tumbuhan selagi ranah ini masih subur, bina pelbagai bangunan dan mercu tanda kemerdekaan selagi negara ini tidak lagi dijajah ketiga kalinya, bernyanyi lagu Melayu dari era Melayu Asli hingga lagu Melayu Moden kerana nada dan irama itu melantun suara warga merdeka, setiap mimpi warga merdeka mula menggapai wawasan biar dalam tidur ataupun ketika detak jantung berdenyut, selagi kita bernafas, keranamu Malaysia, kehidupan di ranah ini sedang menuju hakikat, jangan biarkan lagi setiap yang tumbuh dan yang dibina sekadar realiti beku dan tua memasuki gerbang sejarah, kerana 450 tahun ranah ini dijajah oleh Siam, Portugis, Belanda, Inggeris, Jepun dan kembali semula Inggeris dengan keduk nafsu materialistik, wahai langit cerah, mentari, bulan dan bintang, hebat lagi kuasamu Allah, berikan kita semangat menegak maruah dari cakaran globalisasi imperialisme, dan ulangtahun kemerdekaan ke-47 ini, keranamu Malaysia, pintu dan jendela maya terbuka bebas seluasnya, kita telah merdeka bebas bagai air sungai mengalir, kita menulis puisi demi puisi ghairah mengembara mencari makna kata, kita masihkah lagi bertanam ubi, padi dan sayuran di bumi subur ini, sedang pemimpin kita berjabat tangan persahabatan ke seluruh ceruk dan rantau tanpa rasa ketakutan, tanpa rasa curiga dan tiada di wajah mereka pilar-pilar hipokrit, ya, kita telah merdeka, dan merdeka ini cabarannya bagai lautan bergelombang, bagai api menyala membara, dan setiap kali 31 Ogos tiba, ada saja tangis bayi baru lahir menyambung perjuangan negara, dan kita telah mendeka, merdeka memilih, merdeka memerintah dan merdeka berbicara di ranah pusaka moyang, puisi ini sebagai bukti kita pengungsi negara merdeka. MERDEKA!…. MERDEKA!…. MERDEKA!…, keranamu, Malaysia, Hahhh….

30 Julai 2004
Kuantan, Pahang









Saturday, June 19, 2004
 
ANAK-ANAK SENJA DI REL KERETAPI
Puisi Arisel Ba

Tatkala aku membaca Aur Gading yang terpinggir
Dari gelombang kemajuan Putrajaya
Anak-anak senja dengan hidup miskin di sanggar
Redup anak mata mereka dan deras degup jantungnya.

Aku masih mampu melayani sebak di dada
Dalam mengikuti irama risauku sedang mereka
Telah nyali dengan rinduan yang berlipatan
Mereka masih gagah memijak duri-duri zaman
Pantas mengepung usia, mengepung lorong kehidupan
Sejak subuh tumpu malam belajar memeta angan

Di setiap episod murung ini tiada janji yang ditepati
Anak-anak senja di rel keretapi tidak menagih janji
Ada baucer tuisyen tersimpan masih di laci kerani sekolah
Ianya bukan dongengan yang lebih hebat dari cinta
Dan hanya ada tembang nyanyian Negaraku
Lebih merdu dari igauan hati merindu
Dan aku dengan rasa melulu tangkas kutantang
Segala pedih dan payah kemiskinan menikam ini
Dan bagaimana aku mulai membaca segala kisah
Mencekam resah, gelisah dan hati penuh dendam

Aku menyimpan cemburu, memenjara ilham puluhan puisi
Sedang di selasar rasa iluku, mencari status dengan angka
Sambil aku mulai mengusir waktu dan kisah masa silam
Dan anak-anak senja di rel keretapi di Aur Gading
kuajar dengan perlahan cerita siput diternak dalam hatiku
Tengah malam, lebat hujan, aku menulis puisi sempoyongan.

13 – 15 Mei 2004
Kg Aur Gading,
Kuala Lipis

SALAM SEJAHTERA, CIKGU
: Sempena Hari Guru 16 Mei 2004
Puisi Arisel Ba


Wahai sekalian guru dan pensyarahku
Selamat sejahtera, Selamat Hari Guru
Didiklah anak-anak didikmu dengan berhemah
Khabarkan berita benar, berilmu falsafah
Meriahkan dewan syarahan dan bilik darjah
Bukan menabur khabar angin dan menyuntik dendam amarah
Dengan propaganda janji bohong dan ilmu tolol beku
Demi agenda perusak dalam pembinaan bangsa bermaruah

Selamat sejahtera cikgu, Selamat Hari Guru
Mendidik bukan kerana akujanji atau gaji tinggi
Mendidik kerana Allah, tauladani Nabi Muhamad sebagai guru
Semoga jasa baktimu, cikgu. Menjadi seteguh tugu dihati kami


16 Mei 2004
Kuantan, Pahang



MELAYU MENJANA PRASANGKA
Sajen Arisel Ba

Bismillah-hir-rahman-nirrahhim
Manusia Melayu di alaf baru
Masih menjana prasangka tidak menentu
Ada prasangka yang lugu
Ada prasangka yang berhantu

Melayu beribadah diprasangka riak
Melayu relax diprasangka pemalas
Melayu pakai baju baru diprasangka menunjuk
Melayu pakai baju buruk diprasangka zuhud
Melayu makan banyak diprasangka pelahap
Melayu makan sedikit diprasangka diet
Melayu perangai baik diprasangka buruk
Melayu perangai buruk diprasangka baik

Melayu selalu senyum diprasangka mengejek
Melayu selalu wajah masam diprasangka merajuk
Melayu bermuzakarah diprasangka mengumpat
Melayu pendiam diprasangka menyendiri
Melayu wajah menawan diprasangka pakai susuk
Melayu nampak ceria diprasangka melawak

mana kita tahu Melayu yang pendiam itu
kerana berzikir kepada Allah setiap waktu
mana kita tahu Melayu yang senyum itu
kerana bersedekah kerana Allah setiap waktu
mana kita tahu Melayu berwajah masam itu
kerana mengenangkan banyak berdosa kepada Allah

mana kita tahu Melayu wajah menawan itu
kerana bersih hati dan mindanya demi Allah
mana kita tahu Melayu yang ceria itu
kerana cergas cerdasnya dengan izin Allah

Jauhi perangai suka berprasangka
kerana ia bakal memusnahkan ukhwah bangsa
seperti musnahnya kayu dibaham api menyala
percayalah, sesuatu benda yang dilihat,
macam-macam rumusan boleh kita buat.
semuanya bergantung bagaimana kita melihatnya
wallahu'alam.


9 April 2000
Taman Seni Budaya Pahang
Kuantan

Dibacakan di Program Baca Puisi Kuantan pada 9 April 2000.



LUPAKAN KISAH SILAM KITA
: Sempena Ultah Perkahwinan ke 29
Puisi Arisel Ba

Suara basah berbisik itu bercerita kisah silam kita
Yang telah jauh dari danau ingatan
Tapi masih terukir di pohon sena
Di mana sandiwara perkasihan kita
Berbau hamis oleh zaman
Menyusuri jejak berduri kita bersama
Di sebuah hutan tua dan buram. Lalu kita
Menatap sekujur tubuh tua renta
Dan sesosok tubuh itu adakah tubuh kita
Diukir telanjang penuh malu tanpa angan
Lalu kita belajar melupakan kisah silam kita

22 Mei 2004
Kuantan, Pahang




NIRMALA BONAT
: Disebalik Tragedi Penderaan
Puisi: Arisel Ba

Pembantu rumah itu namanya Nirmala Bonat
Dia sekian lama memelihara derita akibat dera
Menjinakkan sunyi dalam kepekatan mata hitamnya
Dari kemilau rambutnya, menetes darah derita keringat

Dia bagai menguburkan masa depannya
Namun cahaya mentari Malaysia amat ramah
Membelai halus wajahnya, tapi tidak derita tubuh
Tanpa ada dendam namun hatinya lembut dalam lara
Akan imbas seterika panas, cawan besi dan air mendidih

Pembantu rumah itu namanya Nirmala Bonat
Sedang belajar menyimpan dera sadis laknat

23 Mei 2004
Kuantan, Pahang


PinTAR PROFesoR KAWAKan…
Sajen Arisel Ba

Dia Profesor kawakan
Disegani kawan atau lawan
Pintarnya mampu menewaskan komputer
Sehingga dapat gelaran Profesor Teror

Dia setia amat dengan makmalnya
Dia tekun dengan pelbagai ujikaji bio-teknologi
Kerana terlalu tekun dan gigih berujikaji
Hari siang atau malam, dia lupa
Dia lupa solat dan mandi
Untuk minum dan makan, dia lupa

Sudah seminggu dia tidak pulang ke rumah
Membuat isterinya cemas dan hati susah
Lalu isterinya suatu petang menelefon kepadanya….
"abang.. ingat ya, malam ini, malam Jumaat
abang mesti pulang ke rumah untuk solat
saya akan sajikan makan malam yang lazat.
Jaga kesihatan", pesan isterinya

"Ya, baik.. baik! abang janji..
agaknya dimana, ya untuk kita ketemui
di mana lokasi makan malam nanti?"
soal Professor itu lagi.

"Di rumah saja, bang..
Macam takbiasa pulak, oii saying!".

"Baik lah.., “ jawab Profesor Kawakan
“ Tapi dimana tu? Ya, ya, malam?
Nanti, nanti saya catatkan
alamatnya dulu...". Diam.


29 Mei 2004
Kuantan, Pahang




MAT REMPIT
Sajen Arisel Ba

Bila jelang dinihari, ngauman bergumam
Di Jalan Bukit Setongkol – Indera Mahkota
Berubah wajah menjadi arena lumba
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Mat Rempit dan puluhan motosikal siap sedia

Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Sepanjang malam
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!

Mat Rempit bermotosikal kejar mengejar
Mat Rempit bermotosikal berlumba sakan
Minah Motor di tepi jalan jerit memekik
Melaung semangat jantan meredah udara malam
Jalan Bukit Setongkol – Indera Mahkota
Padat sekali dengan motosikal bernafsu syaitan
Bingit sekali ngauman motosikal kejar mengejar

Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Sepanjang malam
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!

Mat Rempit kata, siapa jadi juara
Hadiahnya Minah Motor remaja jelita
Boleh satu, boleh dua, boleh tiga!
Boleh ditiduri untuk seminggu
Boleh ditiduri berdua atau bergilir
Ditabal sebagai Raja Rempit juga seminggu

Suatu dinihari jalan itu aku lalui
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Suuuuuuuuuut! Duar! Duar! Duummmmm!
Empat Mat Rempit berlanggar sesama sendiri
Dan khabarnya semua Mat Rempit itu mati
Minah Motor segera mencari lain ganti
Mesti menang lumba baru Minah Motor di kepit
Brummm ke hulu breemmm ke hilir preet preet pit
Mundar-mandir aduhai Minah Motor dan Mat Rempit

Selepas peristewa berdarah itu
Jalan Bukit Setongkol – Indera mahkota
Bila dinihari menjadi sepi sunyi
Tapi hanya aman dalam tiga minggu
Selepas itu ngauman motosikal bergema lagi
Brummm ke hulu breemmm ke hilir preet preet pit
Mundar-mandir aduhai Minah Motor dan Mat Rempit

Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Breeemm! Breeemmm! Breeeemmm!
Brummm! Brummmm! Brummmmm!
Sepanjang malam

22 – 31 Mei 2004
Kuantan, Pahang




SKETSA SANG PENYAIR ( 1 )
Puisi Arisel Ba

Isteriku adalah rumah batini dengan desah nafas mendalam cinta basah, sedang anak-anakku bagai ladang salak dan manggis di belakang dapur puisiku siap dipetik, bagaimana aku?, ah!, seorang penyair yang hanya tahu mengetuk papan kekunci, sesekali membelai tetikus, mata tua menatap monitor penuh setia dengan mengawal tarian aksara, tiba-tiba sebuah puisi telanjang terdampar di atas tilam hari.


30 Mei 2004
Kuantan, Pahang


SKETSA SANG PENYAIR ( 2 )
Puisi Arisel Ba

Hujung jejariku menari-nari di atas telapak papan kekunci sedang nafas puisi yang tumbuh berbunga bersama nafas kehidupanku, memasuki monitor dengan kepantasan bunyi, menjelajah ke seluruh cip-cip CPU, tiba-tiba puisi-puisi itu menzahirkan dirinya di atas telapak tangan isteriku yang lembut tatkala mengurut cakar harimau dan rayap labah-labah ke seluruh tubuhku.

5 Jun 2004
Kuantan, Pahang


SKETSA SANG PENYAIR ( 3 )
Puisi Arisel Ba

Isteriku adalah wadah pemurnian nafsuku, dialah permata intan keluarga, dialah cahaya firdausi syurgaku, dialah penampung duka dan ceria, dialah sebahagian keperkasaan kerjayaku. Manakala ibuku semasa hayatnya adalah tikar ketika aku bersimpuh merasa ilu dan luluh hati di telapak kakinya, doaku moga sirna segala duka hidup, pergi jauh segala luka tubuh, terhapus segala dosa terhadap Allah dan manusia, demi doamu, ibuku, hasratku damai kekal dalam keluargaku, bagai kau, ibuku tatkala menyusukan aku waktu kecil kuhirup aroma wangi syurga dari tetesan air susumu, di mana masih terasa hangat pelukanmu, ibu menyejukkan kalbuku, di mana lembutnya suara basahmu berdoa meruntuhkan ruh jahat dalam jiwaku. Dan aku, penyair yang memilih kata menjadi makna masih terkial-kial berfikir besar dan kaki melangkah masih terseok-seok melintas setiap lorong dan jalan melangkah kaki ke masa depan yang entah bagaimana sketsanya. Aku tidak tahu!

6 Jun 2004
Kuantan, Pahang


MALAM DI LEMBAH TEMBELING
Puisi Arisel Ba

Lembah Tembeling, aku mulai merakam dengus desah nafasmu dan aku mencuil Gol, Kuala Atok, Merting, Pasir Sia dan Pasir Tambang dengan berakit. Aku masih ingat Pantun Melayu: Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Kini aku cuba mengubah pantun itu: Berakit-rakit menghilir sungai, berenang-renang di Jeram Ampai, bersakit-sakit dipasak ekonomi, bersenang-senang cita politik tercapai. Dan aku bertilamkan pasir berkelambukan alam mahu sedayaku merengkuh langit mengecup bulan, memeluk sungai dan aku kuyup basah kerana gara-gara malam di Lembah Tembeling bila tuma, tungau, pacat, lintah, nyamuk, agas, kutubabi merayapi khemahku lalu menakluki seluruh tubuh, di mana kulit tubuhku menangiskan darah, itukah asmaramu.

Malam di Lembah Tembeling, musikalisasimu merdu sajakku menderu mendayu di mana getarnya mengembangkan kelopak kenanga menguning berahiku, anggun dan santun perawanmu, segeralah salami percintaanku. Malam di Lembah Tembeling, rimba binalmu mengisi makna sajakku lalu aku rangkumi engkau dalam basah mimpiku dan dalam teduh hasratku, aduhai Lembah Tembeling, terima kasih kerana menumpangkan aku selama enam hari Kembara Berakit Lembah Tembeling di mana engkau malam dan siangku, unggas, rimba dan sungaiku, putih dan hitam musafirku, mimpiku dan mimpimu masih jauh bedanya. Dan malam di Lembah Tembeling ini aku memaknakan sajakku dengan kekeringan pembangunan fizikal dan kerohanian, itukah belati dendammu.

12 – 17 Jun 2004
Lembah Tembeling, Jerantut.


12 – 17 Jun 2004
Lembah Tembeling, Jerantut.









Tuesday, May 11, 2004
 
NOSTALGIA MALAM PERTAMA
: Nostalgia 23 Ogos 1975
Puisi Arisel Ba

Kita seusia begini, aku 51 dan kau 48, di usia emas kita, aku tiba-tiba merindu amat detik-detik malam pengantin kita, dengan seprei satin dan kelambu sutra berwarna kuning diraja, bau wangian dari tujuh bebunga, bunga melur, kenanga, tanjung, bunga Cina, ros merah, ros kuning dan ros biru, kemudian kau taburkan dedaunan serai wangi di atas ranjang pengantin, dan kau, isteriku selepas upacara akad yang syahdu, selepas musik kugiran diam dan tetamu beransur pulang, selepas kokok ayam desa, aku mendapatkan kau di kamar pengantin, tetapi aku tergagap malu-malu, membisu mengadap dinding dan membaca hari depan yang pancawarna sampai ke pagi. Hari ini cinta kasih kita masih bertahan setelah hampir 29 tahun kita bersama. Tiba-tiba aku merindui malam pertama kita bersama. Kenapa, ya?

4 - 8 Mei 2004
Raub – Kuantan, Pahang

 
HANGUS 3000 BUKU
Puisi Arisel Ba

Api musim kering
Membakar rumahku
Hangus hatiku
Bagai diriku di mentari terpanggang
Api pun marak membaca 3000 bukuku
Menjadi abu mendebu

30 Mac 2004
Kuantan, Pahang


BILA API TIDAK BERSAHABAT
Puisi Arisel Ba

bila 3000 buku-buku dimamah api
merentungkan harta dan maklumat diri
tinggal hanya bara, abu dan airmata isteriku
menjadi embun terbang ke langit jauh, ilu

ketika aku menjelma menjadi air
mataku berdarah, bagai dewa api
bergegas turun dari 3000 buku yang terbakar
mengobarkan bahang amarah kekesalan hati

selepas rumahku hangus terbakar, musnah
aku trauma sepanjang malam hingga ke pagi
lalu mengumpul sisa-sisa kenangan dalam musibah
3000 buku koleksiku menjadi abu cakrawala hari

30 Mac 2004
Kuantan, Pahang


AKU MENJILAT API
Puisi Arisel Ba

Aku hanya mampu menatap api
Sedang angin menderu-deru bersubahat
Dengan api melahap rumah kami
Tidurku malam itu mimpikan neraka
Ketika watak-watak dari dalam novel koleksiku
Memungut sisa-sisa roh mereka

Angin kering dan bau kebakaran melonjak udara
Hujan hanya terbatuk-batuk di perbukitan yang jauh
Aku menghulur gelisah mimpi baru pada keluarga
Tatkala mereka terbangun dari tidurnya, dinihari

Di dalam mimpi aku menjilat api
Sekali gus membaham angin menderu
Dan suara watak-watak dari dalam novel koleksiku
Tiba-tiba menyeru kepadaku, kami telah jauh pergi

1 April 2004
Kuantan, Pahang


PUISI CINTA DI USIA EMAS
: Buat Ulangtahun ke 48, Isteriku
Puisi Arisel Ba

aku deklamasikan puisi cinta ini
pada malam hujan gerimis temu pagi
tatkala rasa rinduku akan dirimu menderas
bagai Sungai Dong arusnya mendesah tangkas
tiba-tiba kudengar hilai tawa tujuh anak-anak kita
terhimbau lepas ke ujung pelangi mega senja

demi cintaku, Selamah, ingin kutangkap asmaramu
meski sekejap semauku memuaskan berahiku
terapung hanyut di dalam lautan kesepian mimpi
kehidupan takbertepi untukmu, isteriku, usiamu
menggamit tua diusia emas bersamaku

2 Mei 2004
Kuantan, Pahang



HANYA DOA DAN RINDU
: Sempena Hari Ibu 2004
Puisi Arisel Ba

Ibu, kau pergi membawa laramu sekali
teduh pusaramu sekadar tanda cinta kami

aku mengirim doa dan rindu solat semalaman
kepadamu, ibu sepenuh hati kami, mohon kemaafan
tanpa mengharap apa-apa balasan dan ganjaran

aku mengirim doa dan rindu hari ini padamu,
ibu, entah di ujung barzakh yang mana kau beradu?

aku mengirim doa dan rindu kami sekeluarga
ya Allah, cucuri rahmat-Mu kepada ibuku seadanya
ya Allah, makbulkan doa kami moga roh ibu
tenteram selesa bersama roh-roh para mujahid-Mu


9 Mei 2004
Kuantan, Pahang


MENARIK PERAHU
Puisi Arisel Ba

Setiap menjelang mega senja
Anak-anak nelayan Beserah
menarik perahu bapa mereka
dan disadaikan di pinggir pantai
untuk esuk perahu itu akan meluncur
bersama bapa mereka menongkah arus gelombang
memukat ikan untuk sebuah kehidupan

Aku ingin khabarkan kepada mereka,
bagaimana kisah seorang Nuh,
membina bahtera penyelamat umat
dari musibah banjir besar dunia
tiba-tiba hanya berlabuh di puncak gunung.

Mungkinkah suatu hari nanti
bapa kepada anak-anak nelayan Beserah
tidak pulang lagi ke daratan
kerana telah bertemu bahtera Nuh di puncak gunung

Lalu anak-anak nelayan itu
akan berlari ke puncak Bukit Pelindung
dan memanggil-manggil nama bapa mereka
‘ Kembalilah wahai bapa-bapa kami
kemiskinan sedang menjarah hidup di rumah kita’.

9 Mei 2004
Kuantan, Pahang


EURO 2004
Sajen Arisel Ba

Sebelum menonton ASTRO selepas dinihari
Menonton pertandingan bolasepak EURO 2004
Seorang dari penonton itu mengajukan soalan
Kenapa masa perlawanan bolasepak 45 minit,
dan bukannya 30minit bagi separuh masa pertama?

Rakannya yang lain terpingga-pingga
Termasuklah pemain-pemain veteran desa
Gagal memberikan jawapan yang tepat.

Di dalam kebuntuan persoalan tersebut,
Ada seseorang memberikan jawapannya.

Dia berkata dengan penuh yakin
"Sebab mengapa bolasepak dimainkan 45 minit ialah...

Terdapat dua pasukan dalam setiap perlawanan
Dan ada 11 pemain lelaki setiap pasukan.
Setiap pemain mempunyai "2 biji bola" dan
Membawanya setiap masa semasa bermain dalam padang.

Jadi, jumlah kesemua bola dari dua pasukan ada 44 biji bola.
Terdapat sebiji bolasepak yang digunakan didalam perlawanan.
Oleh itu, jumlah keseluruhan ialah 45.


9 Mei 2004
Kuantan

Monday, March 22, 2004
 
DARI BUCU SAJAK
: khas kepada Ah_Yam
Sajak Arisel Ba

Hadir diri semakin dini membaca dendam dalam kontradiksi bergelut berahi ilusi kamu,
tatkala aku menapak dengan akal di alur kebenaran, kamu masih berpijak pada pasak kepalsuan dengan memakai beragam keduk sambil berlagu kidung menjerat ekspresi tersirat darah menghiasi taman kematian kamu berpacu dalam ambisi penuh sperma iri dalam ilu dan iba pada wajah yang lain. Yang kelmarin. Kamu juga masih berada di bucu sajak.

Tatkala aku lena, kamu goyangkan nesan, sedang kematian ditangguhkan untuk membaca kembali alur saraf yang mengalir panas darah menghiasi taman permainan makna. Yang kelmarin. Kamu juga masih berada di bucu sajak.

22 Mac 2004
Kuantan, Pahang




Wednesday, March 17, 2004
 
PENGUNDI MAJORITI SENYAP
: Kepada Pengundi Atas Pagar
Sajak Arisel Ba

Tatkala pengundi majoriti senyap, diam
Politikus dan Calon Pilihanraya tidak duduk diam
Kerana mereka tidak boleh diam
Jika terus melihat pengundi majoriti senyap, diam

Jika di suatu kawasan, ada dua calon dari dua partai
Mereka berlainan ideologi, bertanding, merayu undi
Pengundi majoriti senyap tidak boleh diam
Jika Politikus dan Calon Pilihanraya tidak duduk diam

Diam-diam Politikus dan Calon Pilihanraya, bosor berisi?
Diam-diam pengundi majoriti senyap, dendam atau pedar hati!

17 Mac 2004
Kuantan, Pahang


.


Sunday, March 14, 2004
 
PENGUNDI JUJUR DAN ADIL
Sajak Arisel Ba

Kempen pilihanraya sudah bermula
Sebaik saja calon-calon diwarta
Bendera, poster calon dan sepanduk menggoda
Bijak memilih wakil, gemilang masa depan negara
Dan pengundi didatangi perayu pelbagai rupa

Perayu Pertama:
" Pelikat dan batek untuk kamu dan isteri, ya!
Cuma pangkah calon ini di petak kedua! “

Perayu Kedua:
" Baju T, Topi, Kipas dan Payung percuma
Pangkah disebelah logo partai ini, ya! "

Perayu Ketiga:
" Hamper makanan percuma untukmu sekeluarga
Sokong partai kami, ya! "

Perayu Keempat:
" Ini ada sedikit wang belanja keluarga, ingat!
Pangkah nama calon kita, dia tokoh penyelamat! "

Setiba hari mengundi
Pagi lagi dia dan isteri dalam baris, berdiri
Kata suaminya, “ Jangan lupa pangkah semua
Kerana dua calon itu saudara kita belaka
Mesti kita berlaku jujur, adil dan sama merasa! “ *

14 Mac 2004
Kuantan, Pahang

* Aturan Pilihanraya Malaysia, jika memangkah di semua petak,
Undi itu dikira sebagai undi rusak




Friday, March 12, 2004
 
POLITIK SECAWAN KOPI
: Kepada Semua Ahli-Ahli Partai Politik
Yang Bertanding Dalam Pilihanraya 2004
Puisi Arisel Ba


pagi ini kubaca semua berita akhbar
berita tokoh yang dibersarakan
berita tokoh bakal naik daun
kubaca juga aroma nasihat SPR

berhentilah minum kopi
kopi tongkat ali mengaduk jiwa hari
kerja politik tanpa bersantai atau bercuti
jantung dibakar api, membara emosi

minumlah banyak-banyak air mineral
juga serat segar buah-buahan tempatan
istirehat bila sudah tahu keputusan
dan nikmati mimpi atau menyambung rasa kesal

sambil minum secawan kopi tongkat ali
sambil memerhati siapa lawan siapa, siapa lari?
ada atau tidak kawan makan kawan sendiri?
atau ada baling batu, tangan disembunyi?

13 Mac 2004
Kuantan, Pahang



Wednesday, March 10, 2004
 
KEPADA WAIBEE BARU
: Jika di atas, lihatlah rumput di bumi
Puisi Arisel Ba

Kepada Waibee baru:

Moga mata panoramamu jelas menatap mentari
Terbit dari timur dan tenggelam di barat

Kini kau bagai lampu hati kami
Suluhlah jalan kami menggapai masa depan

Jangan nanti tiada ribut dan angin
Tiba-tiba hujan di tengah hari

10 Mac 2004
Kuantan, Pahang



 
SAJAK KEPADA PESARA WAIBEE
: Jangan Cah Keting
Puisi Arisel Ba


Saat ini aku tidak lagi memanggil : Waibee
Sejak nama-nama mereka terpenggal
Mereka yang tidak terpilih lagi
Mungkin sedang membaca dinding
Ada yang kehilangan peta dan mentari

Maaf, jejariku tidak lagi lincah menari
Dan sajak ini kubacakan kepada mereka
Tinggalkan jejak sebagai penunjuk hala tuju
Wahai pesara Waibee: Pasca 21 Mac
Ada yang kehilangan pengampu dan penghormatan

10 Mac 2004
Kuantan, Pahang



Saturday, March 06, 2004
 
SAJAK PERAHU SONDER SUNGAI
: buat Ramliakil
Puisi Arisel Ba

setiap kali kautambatkan perahu sendiri
sedang sungai melesap ke laut tanpa muara
dan perahumu terbujur kaku menyubur sunyi
merindui sungai telah jauh meredah gelora

sesungguhnya perahu sonder sungai
seumpama batini sonder diri
bumi yang kakimu bersetubuh
hanya memijak senja merentasi subuh

7 Mac 2004
Kuantan, Pahang



 
HANTU PANCING MALAM
Sajen Arisel Ba

Seorang lelaki kaki pancing
Turun dari rumah mahu memacing
Dia ke Sungai Pahang, ikan takmakan pancing
Dia ke Lombong Gambang, ikan takmakan pancing
Lalu dia mengeluh sambil berjalan pulang

Suasana hampir gelap, kaki pancing belum pulang
Isteri di rumah dihasak gelisah, suami masih belum pulang
Selesai solat Maghrib, isteri berdoa selamat si abang sayang

Kaki pancing tiba di sebuah kolam, hari sudah malam
Setiap kali pancing dicampak ke tengah kolam
Dia terus memiuh, berlabu, dapat banyak ikan lampam

Tiba-tiba seseorang mendekati kaki pancing berdiam
"Banyak dapat ikan, kawan?", tanya tuan kolam
"Wah," jawabnya, " Luar biasa! Dapat 20 ekor lampam!”
"Hmmm, awak tahu siapa aku?” sindir tuan kolam
"Tidak?," jawab kaki pancing senyum
"Akulah tuan punya kolam!,"
"Dan anda tahu siapa pula aku?" tanya kaki pancing mesem
"Tidak?" jawab tuan kolam
"Aku hantu pancing malam!…."

Tiba-tiba tuan kolam lari lintang-pukang
Kaki pancing terkejut dan cabut lari lintang pukang
Di kejauhan terdengar suara garau dari arah kolam
“ AKU HANTU PANCING MALAM!…. “

6 Mac 2004
Kuantan, Pahang



 
KOMPUTER PINTAR
Sajen Arisel Ba

Ciptaan terbaru seorang jurutera perisian komputer
Membuatkan komputer cukup pintar
Jurutera itu mahu menjual hak paten perisian komputer
Kepada sebuah syarikat pengeluar komputer.

CEO syarikat itu masih muda belia
Dia mahu uji-cuba kepintaran komputernya
Lalu si jurutera meminta CEO ajukan tanya
"Baik!," kata CEO itu lalu duduk mengetik aksara
….. < 'DIMANA AYAHKU? '> …

Taklama kemudian muncul jawaban di layar monitor
…< 'AYAHMU SEDANG MEMANCING DI PULAU AUR' >...
" Komputer tidak pintar," kata CEO merengus dan sugul,
" Ayahku telah mati 20 tahun lalu!, komputer bahalul!"
Tapi jurutera itu tetap yakin dan percaya
Dengan kepintaran perisian komputernya.

"Cubalah tuan tanya dengan cara lain," usulnya.
CEO itu mengetik sekali lagi aksara,
…< 'DIMANA SUAMI IBUKU?' >…

Komputer itu menjawab di layar monitor
…< 'SUAMI IBUMU TELAH MATI 20 TAHUN LALU.
MANAKALA AYAHMU BARU SAJA MENDAPATKAN
IKAN YU BODOH SEBERAT EMPAT KILO." >…

3 Mac 2004
Kampung Salang,
Pulau Tioman, Rompin


Saturday, February 28, 2004
 
MENGUDAK SANTIRAN
: buat ah_malu
Puisi Arisel Ba

Syukur alhamdullilah!,
Setelah kau robek langsir misteriku, pasrah!,
Saat aku derana, kau sekudung lintah?

29 Februari 2004
Dewan Kediaman YAB Menteri Besar Pahang,
Kuantan, Pahang

Monday, February 16, 2004
 
GELIAT ORANG DESA 1*
Sajen Arisel Ba

Mak Minah dan Pak Mat ada tiga anak perempuan
Siti, Seri dan Suri diberi nama permata kesayangan
Suatu hari Mak Minah dan Pak Mat ambil keputusan
Tiga anak perempuannya mesti segera dikahwinkan

Lalu Siti, Seri dan Suri dikahwinkan serampak
Kenduri kahwin pun diadakan, meriah dan semarak
Selepas diijabkabul, ketiga-tiga anak berbulan madu
Berduka Mak Minah dan Pak Mat tertimpa hutang beribu
.
Siti melancung ke Pulau Langkawi, menjerat rasian
Seri pula ke Pulau Tioman mengecap kelazatan
Suri khabarnya ke Pulau Pangkor menenun angan
Tergiang suara Mak Minah dan Pak Mat berpesan

" Nanti jangan lupa hantar berita”, kata Mak Minah
“ Ceritakan indahnya honeymoon, “ Pak Mat mencelah
” Mesti hantar berita pada kami, “ sambung Mak Minah
“ Hantar SMS, tulis kod iklan, “ Pak Mat memerintah

Seminggu kemudian mereka terima SMS dari Siti
'Standard Chartered' mereka tersenyum membaca berkali-kali
Mak Minah dan Pak Mat segera mencari iklan
‘Besar, teguh dan peramah ‘ - bahagia Si Siti rupawan.

Esoknya terima pula SMS dari anaknya Seri
' Nescafe ' mereka tersenyum membaca berkali-kali
Mak Minah dan Pak Mat segera mencari iklan
‘ Nikmatnya ke titisan terakhir" - bahagia Si Seri rupawan

Tiga minggu kemudian mereka terima SMS dari Seri
' Cathay Pacific ' mereka tersenyum membaca berkali-kali
Mak Minah dan Pak Mat tiba-tiba bertangisan selap
‘ 7 KALI SEMINGGU, 3 JAM SEKALI, NON-STOP! ‘

16 Februari 2004
Kuantan, Pahang

Terima kasih Sdr Mahadi Atan (adie_mma@yahoo.com) kerana berikan idea ini.


Sunday, February 15, 2004
 
BUAH BIBIR FEBRUARI 2004
Puisi Arisel Ba

Februari 2004 gempita gamat
buah bibir rakyat jelata menjadi nyata
sesudah ribuan hari di warung kopi berdebat
isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa

Lalu dua jerung jelmaan algojo hitam
ditampilkan ke gedung pengadilan
seorang bermata sepet mengendung briefcase hitam
seorang lagi VVIP, segak dan tampan

Februari 2004 curiah menyerlah,
masih aku belum menemui betul atau salah
kerana aku seringkali tertipu agenda pemerintah

15 Februari 2004
Kuantan, Pahang




 
BUAH BIBIR JANUARI 2004
Puisi Arisel Ba


Januari 2004 kisah sedih, ilu dan aku terpejung
buah bibir rakyat jelata berkisah puluhan versi
sesudah ribuan hari di warung kopi mendongeng
isu perogol disebat di khalayak ramai atau dikasi

Lalu perogol-perogol berhati haiwan
ditampilkan ke gedung pengadilan
mereka bernafsu iblis bermata syaitan
anak perempuan bawah usia menjadi korban

Januari 2004 menjelma mimpi ngeri,
masih aku belum menemui formula sejati
kerana aku seringkali igaukan upas cemeti

15 Februari 2004
Kuantan, Pahang







Saturday, February 07, 2004
 
TASIK SUBARI*
: Sebahagian dari Sungai Fujikoto di Jepun
Puisi Arisel Ba

tasik itu tiba-tiba mampir di depan mata ini
kilatan sisik ikan mas menghantar makna pelbagai
dan wajahku terserlah di dasarmu berwarna pelangi

ada khabar menyelinap di lereng pergunungan
ada dupa berasap gelisah meresap ke dalam batin
kicauan burung dan desingan unggas tanpa jeda
aku membaca resah menyelinap di wajah senja

nyanyi riak tasik ini menggoncang dada jantanku
kapan aku menumpang awan berarak ke tasikku

7 Februari 2004
Kuantan, Pahang



 
NYAWA ATAU NYAMAN?
: dari emel seorang teman di Bandung, Indonesia
Sajen Arisel Ba

Di sebuah desa di Bandung, Indonesia
Tinggal kesepian seorang janda kaya
Suaminya telah mati di Pahang, Malaysia

Dari hasil hantaran wang setiap bulan
Isterinya di desa itu menjadi hartawan
Malangnya si janda kaya tiada berketurunan

Penampilan si janda kaya amat mengghairahkan
Menjadi siulan setiap lelaki melalui halaman.
Didesa itu juga ada seorang pemuda jemuan
Kerjayanya mencuri wang rupiah dan pakaian

Suatu malam si jemuan mulakan rencana jahatnya
Dia akhirnya berjaya memasuki rumah si janda
Melalui bumbung betul-betul di kamar tidurnya

Apabila si jemuan sudah berada di kamar si janda
Dia melihat si janda sedang tidur berbolen
Dalam hati bajingan itu tumbuh niat yang lain
Dia melangkah menghampir katil si janda

Si janda terkejut terasa ada jari merayap di tubuhnya
Si janda menjerit, segera bajingan menekup mulutnya
Dan mengacukan parang berkilat mengancam si janda
" Jangan menjerit kalo kamu mau aman,
nah kamu pilih, nyawa atau nyaman?…"

Setelah digertak si janda menggigil dan giris
Dengan suara tercungap-cungap lemas:
" Nyaman aje mas!… "

Bila nafsunya puas si jemuan bergegas mau pergi
Niat untuk memencuri wang rupiah sudah dilupai
Ketika memakai celana, parang tertinggal di lantai
Si janda menyambar parang acukan ke leher pencuri

" Mau kemana kamu, sih ", si janda bersuara nyaring
" Pulang….," jawab si pemuda takut dan gamang
Si janda membentak "Mau Pulang atau mau ulang?…"

6 Februari 2004,
Kuantan, Pahang

Tuesday, February 03, 2004
 
GEJALA ORANG KL 4
Sajen Arisel Ba

Pada suatu hari di Jalan Raja Muda
Empat lelaki bercerita kisah isteri masing-masing
Sambil 10 telinga mereka menangkap suara
Tukang ubat kuat mempromosi majun lintah gunung

Lelaki pertama mula bercerita,
"Isteri aku semalam beli dua kilo daging rusa
Padahal sehari kami cuma makan sedikit saja.
Lebih teruk... peti sejuk kami tidak ada".

Lelaki kedua menyampuk,
"Sama macam isteri aku kemaruk.
Semalam dia beli ‘king size’ kain cadar,
padahal kami tiada katil besar".

Lelaki ketiga pula berkata,
"Sama. Isteri aku terpengaruh diskaun harga
dia membeli penyedut debu berjenama,
sedangkan kami tiada karpet atau sofa".

Lelaki keempat bercerita dengan wajah muram,
"Memang, perempuan!, mereka tak berfikir panjang.
Ketika isteri aku meluap api cemburu, meradang
Lalu ditolak kereta aku ke dalam kolam

3 Februari 2004
Kuantan, Pahang



 
MENGUTIP BEBAYANG
Puisi Arisel Ba

Apakah sempat aku membalut keris ini
Tatkala aku menulis puisi historigrafi?
Mentari di ufuk senja semakin cemburu
Pada sang bulan setinggi galah di graha kami
Ketika isteriku membuka kidung berahinya
Dadaku bergemuruh meletus dendam semalam
Kami terumbang-ambing dilamun badai hitam
Dan setiap kali kilatan petir singgah di jendela
Aku menyiapkan sebuah puisi berahi
Kering emosi menanti gerimis sampai pagi
Aku masih mengancung keris terhunus
Dan darah amarah mengucur di jantungnya
Di telaga batini aku mengutip bebayang kami
Tertinggal di sela-sela leca, menangis…

3 Februari 2004
Kuantan, Pahang



Monday, February 02, 2004
 
PAMPHLET OF DARUL MAKMUR
Poem by Arisel Ba
Translated by Airmas_sz

In the era of Zamin Eran and Inderapura
South China Sea nurture the rage
The Tioman Island carving legend
Cini Lake and Bera Lake destination of a journey
Pahang rivers, Jelai, Tembeling with swift current
Cherating shore, Cempedak gulf with lovely beach
Tahan Mountain, Benom Mountain strongly robust
Gelanggi Fort Cave, Senyum Mountain stories of mystery
Kuala Lipis, Cenor, Pekan assigns bloody history

Pahang's Warrior their histories trilling
Notable Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau, Panglima Muda Jempol
In British era defame by coloniser as a rebel
Prominent Ibrahim Yaakub, Ishak Haji Muhammad
Glorious pre-independent Philosophers and poets
Tun Abdul Razak, Abdul Rahman Talib prince of development
Patriotic fighter architects of education with vision
S.Romainor, Sarimah, Sudirman, Siti Nurhaliza
Famed artists idolise by all
Ahmad Kotot, Keris Mas, Ibrahim Omar deliver deed
Eminent laureate brave generating national culture

Drink it, have a bath in water of Pahang river source comes from Jelai, Tembeling, Lipis, Semantan with dragon's tail
Peek at the tragic Terua Depth, Tawar Island, Lintang Mountain
Be nostalgic at Gebuk Hill, Pelang Depth, Mentenang Depth
Peered at Betong Hill, Jong Hill, Old Pahang, Gancong
Evaluate history of Ampai Stream, Koi Stream, Pinang Orchard
Segumpal Hill, Paku Depth, Lamir and Langgar telling story
Have a bath with cold water of Cini Lake and Bera Lake
Climbing to Benom Mountain and Tahan Mountain with skill
At Senyum Mountain and Gelanggi Fort Cave gazing spiritual knowledgeIn Guai, Kawah Depth and Berhala Gantang learn with realism

Let lime-wash the heritage Dagger, spear, benzoin exclaim
For the sake of Islam, deserted Malay soul of Darul Makmur soil
Combating colonisation of borderless globalisation
Everyday emit news of citizen in the firmament
Seven storms from seven oceans, four angle of wind
Darul Makmur strongly robust in the eyes of the world
Darul Makmur in reputable history

September 8 2001 - February 1 2004, Kuantan, Pahang

 
GAYA DALAM PENUKANGAN SAJEN:
ANTARA HUMOR DAN SERIUS?

Oleh: Arisel Ba

PRAKATA:

“ Berapa kalikah kita mengeluh setelah selesai membaca sebuah novel bahawa yang diberikan itu tidak menambah apa-apa pun kepada pengelaman hidup kita? “ demikian tanya Dr Muhamad Haji Salleh dalam bukunya Cermin Diri (1986:141). Pertanyaan itu dijawabnya beliau sebagai berikut: “ Sastera tradisional seperti sastera universal harus membijaksanakan, menolong kita menghayati hidup dengan lebih peka, mempelajari tentang alam dan manusia yang tidak diketahui sebelum itu, atau jika diketahuinya tidak sedalam yang disampaikan oleh sasterawan.” Saya sitir ungkapan di atas walaupun khas untuk novel tetapi rasanya ia juga sesuai dalam memperkatakan sajen.

GAYA DALAM PENUKANGAN SAJEN:
ANTARA HUMOR DAN SERIUS?

Gaya (style) berasal dari bahasa Latin, maknanya sebagai cara penerapan menulis (writing implement). Cara seseorang menulis merupakan cerminan atau ekspresi karakter seseorang. Ekspresi seperti ini yang merupakan cikal bakal teori eskpresi yang berpengaruh dalam sejarah estetika, yang juga disebut teori tanda tangan, artinya karya
seseorang mencerminkan kepribadian (atau karakter) seseorang. Suatu desain adalah expresi dari karakter desainernya. Gaya seseorang dapat dipelajari untuk ditiru dan dipakai. Dengan demikian, dalam konteks ini, gaya bersifat publik, tidak individual.

Gaya dalam citraan retorika adalah bahan baku atau salah satu factor penting dalam memproduksi karya artistik. Seorang seniman dapat memilih gaya yang ada untuk dijadikan media ekspresi karya-karyanya, atau menggabungkan (hibrid) gaya desain yang ada ke dalam bentuk baru. Hal yang terakhir ini melahirkan gaya baru yang sering ditemui dalam sejarah desain seperti neo-klasisisme (menggabungkan desain klasik dengan pendekatan baru), Victorian Gothic (menggabungkan gaya Victoria dengan gaya Gothic) dan seterusnya termasuk bila desainer menggunakan pengaruh gaya desain di luar konteks Eropah seperti dari Cina (chinoiserie) atau Jepun.

Nicos Hadjinicolaou menjelaskan gaya sebagai bentuk tertentu dari keseluruhan ideologi suatu kelas sosial. Ia sebenarnya lebih memilih istilah ideologi visual untuk menjelaskan gaya kerana gaya sebenarnya merupakan ideologi yang divisualisasikan. Dengan memahami perubahan penggayaan yang terjadi dalam perjalanan waktu, seseorang dapat
memahami kunci dari evolusi kebudayaan.

Dalam A Modern Book of Aethetic (Melvin Rader, 1960), Meyer Shapiro, seorang sejarawan seni terkemuka Amerika, mendefinisikan gaya sebagai berikut:

By style is meant the constant form V and sometimes the constant element, qualities and expression V in the art of an individual or a groupV style is, above all, a system of forms K the description of a style refers to three aspects of art: form elements or motives, form relationships, and qualities (including an all-over quality which we may call (expression).

Definisi gaya di atas menunjukkan ciri-ciri pokok yang umumnya terdapat
atau kerananya membentuk suatu gaya, yaitu adanya suatu bentuk tertentu
yang konstan V terus menerus dipakai dalam menciptakan suatu karya yang
terdiri dari elemen bentuk, kualiti dan ekspresi.

Gaya desain memiliki siklus hidupnya seperti juga hal lain yang terdiri dari lahir/masa muda/matang (klimak) anti klimak/menurun dan mati. Sering juga dianalisis dengan cara lain seperti awal, pertengahan dan akhir. Sering juga dihubungkan dengan menggunakan batasan moral seperti dekadensi.

Pada satu sisi, gaya dipandang sebagai suatu ekspresi individual dari seseorang, tapi pada sisi lain, juga merupakan ekspresi dari suatu kelompok sosial. Bagaimana keduanya boleh digabungkan? Ambil contoh, semua orang Malaysia dari berbagai suku bangsa berbicara bahasa Melayu. Masing-masing memiliki ciri atau karakter khasnya masing-masing yang disebut idolek dan pengucapan yang variatif tergantung wilayah masing-masing termasuk aksen dan dialek. Dengan cara seperti ini kita semua menggunakan bahasa Malayu dalam bentuk individual atau kelompok dari gaya yang umum. Dengan contoh seperti ini dapat dilihat bahwa gaya tidak lagi bersifat individual, kerana meski lukisan gaya Kubisme merupakan pencapaian tertinggi Pablo Picasso, ia bekerja bersama dengan Braque dan Gris. Untuk membedakan karya Picasso dan Braque akan sangat
sulit kerana keduanya sama-sama mengembangkan Kubisme.

Kerana proses kreatif yang dikembangkan terus menerus oleh seorang seniman, membuatnya seringkali merubah gayanya dalam berkarya. Seperti Picasso yang terus-menerus bereksperimen yang sering menggunakan lebih dari satu gaya secara simultan. Bila kita menganggap bahwa suatu gaya adalah ekspresi pribadi seniman, akan menjadi sulit bila perubahan gaya ini lalu dianggap perubahan kepribadian sang seniman secara radikal. Perubahan gaya ini sedikit banyak memiliki hubungan dengan perubahan
kepribadian sang seniman. Gaya dalam hal ini juga dapat menjembatani pemahaman terhadap psikologi seseorang, suatu kelompok atau suatu bangsa.

Gottfried Semper (John A. Walker, 1989:161) mencuba membuat rumus algebra untuk menjelaskan gaya dengan rumus: ƒ×= F (x, y,z, dan lain-lain). ƒ×= gaya, F= fungsi atau peruntukan, x, y,z, dan lain-lain = faktor-faktor lain seperti material, alat, bahasa, agama, karakter seniman, dan lain-lain yang kombinasinya menentukan aspek yang diperlukan. Semper percaya bahwa faktor-faktornya dapat berubah sesuai waktu, tapi keperluan manusia tetap sama, sehingga fungsi tidak berubah seperti faktor-faktornya.

Kesimpulan dari tanggapan Semper itu, jika membicarakan soal gaya dalam sajen, ia bukan semestinya seratus peratus humor, tetapi ianya diwajarkan tergabung dalam humor itu ada serius tetapi dalam serius tidak akan tumbuh rasa humor. Melalui laman sajen ini adalah diharapkan penulis sajen meneroka dunia sajen dengan darahnya pada tubuh sajen itu dari kategori humor manakala vitaminnya atau serbuk perasanya adalah keseriusan dari segi bahasa, diksi, pola nada dan irama serta isi atau maksud sajen itu ada terselit kebijaksanaan.

TANGGAPAN:

Dalam tempoh masa 19 hari ( dari 12.1.04 hingga 31.1.04 ), seramai 169 ahli yang melayari Laman Sajen di Komuniti E-Sastera mungkin telah membaca 20 buah sajen yang ditulis oleh sembilan Pensajen. Dari 20 buah sajen, saya akan menebak tanggap 19 sajen sahaja kerana Sajen ‘Dari Cerita Nenek 1’ adalah karya saya sebagai administrator Laman Sajen.

Sebelum saya menebak tanggap 19 sajen yang tampil dengan takbermalunya itu, izinkan saya menyatakan bahawa sajen (sajak jenaka) harus menyatakan kelucuan atau lelucun atau kejenakaan yang mampu menerbitkan rasa senang atau seronok. Kemahiran pensajen harus mempamerkan kecekapan dalam mengamati, memahami atau menyatakan sesuatu yang menyenangkan, yang lantas menghasilkan pula gelak ketawa (sekurang-kurangnya geli geleman dalam hati atau geli hati. Sajen harus terbina dalam pelbagai gaya dan desain hasil daripada pengenalan atau pernyataan keanehan atau kemustahilan yang timbul dalam suatu suara dan perlakuan tertentu. Dan saya amat berharap bahawa sajen bukanlah selamanya berupa sesuatu yang polos, ringan dan menggelikan hati kerana sajen juga mampu memancarkan fikiran dan kiasan disebalik gaya dan nada kelucuannya.

Hasimah Harus tampil dengan sajen ‘PD’ pada 12.1.04 untuk mengalu-alukan perlantikan Abdul Latip sebagai administrator laman Cerpen, katanya:

"Helo, administrator
saya nak bawa radio dan CD!"
akan kami bawa kaca mata gelap dan topi
pen dan kertas juga tak dilupa
sambil berdarmawisata, puisi ditulis juga
di bawah deburan selat.
"Helo. ya... saya di jelebu
untuk ke Parti Durian
jangan tersesat seperti muhamadzakir dulu
sesat di seremban, dia cari jalan pulang."
Oh, rupa-rupanya PD tu Parti Durian
ya salam...
"Helo, jumpa di PD, ya?"
"Eh, nanti... tuan administrator
PD yang mana satu?"
aku buat-buat lupa.
Tapi tetaplah kami akan datang
meraikan Abdullatip, administrator baru.

Pada 12.1.04, Muhd Zakir menulis ‘Panglima Airmas_sz dan MuhammadZakir’ sajen sindir menyindir dengan beliau membalas usikan Airmas_sz sebelumnya dengan berkata:

Panglima Andika Kelakar gelar Airmas_sz
Panglima Bengis Sungguh gelar Muhamad Zakir
Dua panglima berpendekar raja terkenal kacak segak
Seorang bujang ada isteri seorang bujang tiada isteri

Pada 12.1.04. Airmas_sz pula menulis ‘Hikayat Pengembaraan Panglima Bengis’ dengan melontarkan sindiran kepada Muhd. Zakir, katanya:

Arakian tersebut kisah pengembaraan
Panglima bengis yang amat sangat katanya
Hinggakan seluruh gadis dikatanya
Menjadi takut mendengar namanya
Sekalian dikhabarkan namanya
Habis semua pengsan kerana tak tertahan geli ketiak
Kerana gelaran bengis itu sandaran yang tidak bermakna
Kalakian hanya ciptaan empunya sahaja
Kerana tidak mahu dirinya di punya
Takut nanti kena gosok periuk, basuh kain setiap masa
Yang di kala ini dikatakan queen kontrol namanya
Ataupun di bawah kawalan permaisuri

Pada 14.1.04, Haimarea menulis ‘ Demi Negara ‘ mengenai angan-angan untuk menjadi pelumba, angkasawan dan pendaki, tetapi ianya tinggal angan-angan, katanya:

Daku dipelawa daiki Everest ikut Muqharabbin
jejak golongan-golongan elit negarawan
Terharu terus ku kata pergilah kawan
doaku mengiringi ke puncak kejayaan
Salam rerumput buat Raja Banjaran
Bukan,
Bukan kerana mataku kabur, merabun perlahan
Apalah lapan tingkat tangga belapan
Empat tingkat, delapan anak tangga pun
Pandanganku jadi kabur, nafas sesak nak pengsan

Pada 14.1.04 Muhd. Zakir terus membalas sindiran dengan menulis ‘ Panglima Bengis Bertukar Nama’ berkait dengan si bujak yang belum menikah, tulisnya:

Panglima Airmas_sz pembuka kelakar,
Mengenalkan Panglima Bengis Sungguh dengan Negeri Banyak Anak Dara,
Mula-mula malu-malu,
Lama-lama rindu-rindu,
Panglima Bengis Sungguh dipinang sindir berlapik,
Puas menepis ilmu perisai cinta mawar berdozen kuntum,
Yang mana satu pilihan berumahtangga,
Masalah memeningkan kerana terpaksa memilih calon,
Angkara Panglima Airmas_sz pembuka madah,
Siang malam Panglima Bengis dikejar dara jelita,
Bertukar nama menjadi Panglima Segak Igauan Anak Dara....

Tampil pada 14.1.04 Abdul Atan Din dengan sajen ‘Kolej Kedua’ yang mengisahkan bahawa Kolej Kedua bukan di UM tetapi di UPM, dengan nada gurauan beliau berkata:

Wajah-wajah penyair jemputan begitu asing.
Aku canggung bagai tersisih.
Tiada Muhammad Zakir tiada Gravesdigger atau Nimoizty.
Tiada Anjan yang comel atau Dahrie si pembaca mentera.
Tiada Sri Diah yang mashyur dengan "kerikil berbaring"nya.
atau Ibu Alaieffa Tauke Restoran dari Seri Begawan.
Tiada Anbakri yang romantis lewat "surat-surat tak terhantar"nya.
Tiada Pak Latip Raja Lemang,
atau Pak Arisel Demang Lubuk penuh ikan .
Pak Engku yang kaya madah pun entah di mana.
Terkilas juga wajah Airmas_sz tapi salah orang rupanya.
Jerit-jerit juga nama Dr.Victor, tiada satupun sahutku berjawab.

Pelik tapi benar, wajah-wajah asing itu aku kenal namanya
Rentak gendang dipalu Aripin Said amat sedap bunyinya
Itu belum fasih Lim Swee Tin dengan pengucapan alamnya.
Oh Pak Arbak Osman pun tak kurang hebat.
"Di denyut pertemuan" Dharmawijaya terhimpun syahdu.

Pada 14.1.04 muncul pula Abdul Latip menyambut balas membalas sajen antara Muhd. Zakir dan Airmas-sz dengan sajennya ‘ PANGLIMA BENGIS NAK TUKAR JANTINA ‘ dengan berkata:

Kata panglima bengis
dia dah popular kerana publisiti panglima airmas
Setiap hari dia dikerumun gadis cantik
Ada sanggup datang ke rumah
Ada ajak dating
Ada nak masuk meminang
Panglima bengis jadi lebih pemalu
Pobia takut kawin makin menjadi
Akhirnya panglima bengis ambil keputusan
berlepas ke luar negara hujung bulan ini
melanjutkan pelajaran dijadikan alasan
Tapi yang sebenarnya
Panglima bengis nak tukar jantina

Pada 15.1.04 Airmas-sz terus menyindir Muhd Zakir dengan sajen ‘Lari panglima lari’ katanya:

Gempar bergegar satu cakrawala
mendengar berita yang bergema
Dari palu-paluan gendang panglima
Panglima bengis yang malu tapi mahu
Konon cerita hendak membawa diri
Lari jauh ke negeri atas angin
Lari mencari ketenangan dalam diri
Konon jadi buruan gadis-gadis

Kemudian Airmas_sz terus menyambung gurauannya dengan sajen ‘Syarat datuk menteri’ tulisnya:

Mengaru-garu kepala panglima bengis
Akan apakah syarat-syaratnya
Hendak menjadi warganegara
Yang bermenterikan datuk menteri abdlatif
Syahdan di keluarkan gajah diraja
Membawa titah datuk menteri
Dan dicananglah seluruh negeri
Syarat kelayakan yang di tunggu-tunggu
Sebagai ufti datuk menteri
Untuk menjadi warganegara
Di minta semua rakyat jelata
Mengarang cerita pendek tiga serangkai

Pada 18.1.04 Gravesdigger mengisahkan tentang ‘BUNTUT’ iaitu kenapa menjadi buntut kepada Bush dan Blair?, tulisnya:

Buntut tidak pernah ke depan
Buntut tidak akan jadi pemimpin
Buntut hanya menyesuaikan diri dengan kepala
Hmm….!

Kita adalah buntut…
Kita adalah buntut Pak Cik SAM
Kita adalah buntut Mat Salih
Ah-ha…!

Marilah kita terbalikkan
Bush dan gengnya buntut kita
Blair dan juaknya tandas kita
Wow !

Muncul Hasimah Harun pada 18.1.04 dengan sajen ‘ OGHE KITO ‘ yang mengalu-alukan perlantikan Dahri sebagai administrator Berbicara, katanya:

Lilit leher dibelit mafela
oghe kito... dari Besut asalnya
kecek Kelate mace kito
dialah pemuda timur segak bergaya
bermafela.
……
……
Okeylaah...
pemuda itu bernama Dahri Zakaria
sekarang berjawatan administrator di "berbicara"
sekali ni baru geger
sebab Dahri bijak berceloteh sastera
kita doakan sukses untuknya.

Hasimah Harun pada 18.1.04 terus menulis sajen ‘ ASEREHE AIRMAS ‘ untuk mengalu-alukan perlantikan Airmas-sz sebagai administrator Poets dengan katanya:

Satu, dua, tiga, empat
administrator baru kita dapat
nyanyi aserehe kuat-kuat
serentak nada sederap rapat.
Aserehe Damahum, Dahrie, Arisel, Abdullatip, Airmas!
sekalung tahniah seharum cempaka
maju haiku, maju berbicara, maju sajen, maju cerpenis, maju poets
Aserehe eSastera, Aserehe Malaysia!

Pada 19.1.04. muncul kembali Muhd. Zakir dengan sajen di luar dari dunia bujaknya iaitu ‘ BERSAMA DRIRWAN DALAM HUTAN ‘ dengan berkata:

Alam buana sejuk nyaman indah suasana,
Menghijau harum bukit bukau sungainya jernih,
Berkampung MuhammadZakir dengan Drirwan di lembah kedinginan,
Bentong Eco Resort mesranya taman setaman,

Drirwan makan dengan penuh berseleranya,
Masakan ala kampung sedap sungguh tidak tertoleh,
MuhammadZakir sibuk pula mencari pasangan hidup,
Drirwan tidak sedar kerana sibuk makan dan minum,

Pada 21.1.04 Hasimah menulis lagi sebuah sajen yang agak menarik dengan jodol ‘ JDM 86 ‘ iaitu nombor plat kereta Dr Irwan dengan isu kecelaruan, tulisnya:

Jam lima tadi petang Drirwan memasuki get utama UM
pengawal misai melintang arahkan Drirwan ke tepi
ke tepi?
tercengang Drirwan jadi tak pasti
pengawal tadi arah ke tepi sekali lagi
lagi Drirwan tercengang tapi
dia terus ke tepi patuh perintah
pengawal manis wajah tersenyum lebar
terperasan tersilap menyuruh Drirwan memandu ke tepi
cepat-cepat pengawal manis wajah
memberi isyarat untuk Drirwan
meluncur ke destinasi ke mana saja ke dalam UM.

“Tak apalah, kereta kita tak ada sticker
mereka melaksanakan tugas.”

Pada 25.1.04 muncul Airmas_sz dengan sajen dengan bentuk syair ‘Malam ini tidur seorang’ yang mengisahkan keresahan seorang isteri bila sunyi ditinggal suami, katanya:

Malam ini tidur seorang
Fikiranku melayang-layang
Dimanakah dikau abang
Dibawa lari si budak bujang

Budak bujang terlajak jalan
Masih belum berpasang-pasangan
Inilah yang membuat hatiku risau
Silap gayanya mendapat sasau

Demi tugas abang turutkan
Memohon jalan perlahan-lahan
Bawa abang pergi kehutan
Bina semangat dalam urusan

Pada 27.1.04 Muhd. Zakir menyambung kisah bujaknya dengan sajen ‘Panglima Bengis Asyik Berzapin ‘ dan beliau menulis:

Panglima Bengis Sungguh sudah gila dan mabuk,
Selepas solat Isyak kakinya asyik menari-nari,
Apa sudah jadi dengan Panglima Bengis Sungguh,
Rahsianya...,

Panglima Bengis Sungguh sudah tertawan,
Tarian 'Zapin Johor' dia asyik sekali menari,
Angkara anak-anak buahnya dari Johor,
Mengajarnya menari atur gerak langkah zapin berzapin,
Irama Arab dan Melayu bersatu dengan kekemasan tarian,
Panglima Bengis Sungguh berzapin dari malam sehingga dinihari,
Keningnya naik turun kerana dikelilingi lapan dara jelita,
Muar, Pontian, Segamat, Kluang, Batu Pahat, Johor Bharu dan seluruh Johor,
Ada yang berdarah Jawa,
Ada yang berdarah Banjar,
Ada yang berdarah Bugis,
Ada yang berdarah Arab,
Ada yang berdarah India,
Ada yang berdarah Cina,
Jelita sungguh menari lenggok zapin bersama Panglima Bengis Sungguh,

Pada 27.1.04 muncul Abdul Latip dengan sajen ‘ MDZAKIR KE HUTAN PAHANG MENCARI JODOH BAHAGIAN PERTAMA ‘ yang berkisart usikan kepada si bujak Muhd Zakir, katanya:

Di Bentong sekali lagi Mdzakir bermadah
" Hati saya dah lama terpikat."
" Pada siapa?" Drirwan bertanya
" JDM 86, Oh cantiknya…"

Pada 30.1.04 pula Abdul Atan Din menulis sajen ‘ KAIS-KAIS KAKI AYAM ‘ yang mengisahkan mengenai sup kaki ayam, katanya:

kais-kais kaki ayam
seribu rempah
seperiuk aroma
lazat mengapung
empuk daging
enak kuah

kais-kais kaki ayam
sup kaki ayam juga yang kau jamah!

Dan pada 31.1.04, tiba-tiba muncul Tareht membawa angina kelainan dalam sajennya ‘ Buat Lawak ‘ walaupun bahasanya serius, tetapi tersembunyi humor yang bijaksana, tulisnya:

dikilas
dibengkok
dipulas
dipeluk
lidah terjelir

dia tidak puas hati
mana mungkin ini terjadi
dia mesti cuba lagi
berkali-kali

dikilas
dibengkok
dipulas
dipeluk
lidah terjelir

ahhh!
ini misteri antara misteri
dia masih tidak puas hati

dikilas
dibengkok
dipulas
dipeluk
lidah terjelir

akhirnya dia
menyerah diri
sahih!
memang mustahil
untuk menjilat
siku sendiri

Rumusan yang saya dapati bahawa 19 buah sajen yang ditulis dalam masa 19 hari ini masih polos, kecuali Tareht yang berjaya membawa kelainan dan kepolosan. Walaubagaimanapun diksi yang dipilih oleh Tareht amat serius bahasanya yang lambat bagi kita mengesan di mana letak humornya. Walaubagaimanapun saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada sembilan pensajen yang lain yang membungai laman Sajen ini dengan sajen-sajen mereka. Teruskan menulis sajen.

PENUTUP:

Dalam prakata, saya meminjam kata Dr Muhamad Haji Salleh, maka sebagai penutup tanggapan kali ini saya memetik kata beliau dari buku yang sama (hlm.143) agar boleh menjadi renungan kita bersama: “ Sastera kita kurang melihat watak lainnya cara terperinci. Esentrik kampong tidak timbul dan jarang diambil walaupun sebagai pembanding. Tiada bomoh yang berkuasa di dunia magis dan tiada juga penjual kain yang menyusur jalan kampong di akhir bulan. Jarang kita temui guru-guru agama yang bercakap bahasa Arab yang diterjemahkan atau pemanjat kelapa yang sebesar Mat Jenin mitos dan alegorinya. Saya kira saya berlaku adil jika saya katakan bahawa terlalu ramai watak-watak kita agak stereotaip dan beracuan. Mereka tidak dibebaskan untuk mengikut peribadi dan rasa hati sendiri, tetapi dikongkong oleh sempadan dan kebiasaan dalam novel.”

Allah Juga Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana, kekurangan yang wujud dalam tanggapan di atas adalah kelemhan saya sebagai seorang manusia Hamba Allah.

Sekian.

2 Februari 2004
Kuantan, Pahang





Powered by Blogger